April 20, 2024

1989 – Klasik Stadium Perbandaran Seremban

4 min read

Kisah ini berlaku di tahun 1989.

Aku turun dari bas Labu – Seremban ketika menara jam tinggi di Terminal bas menunjukkan ke pukul 5.10 minit petang. Tanpa menoleh kiri kanan, aku berjalan laju terus ke belakang tandas Terminal untuk menukar baju Batik sekolah dengan sehelai tshirt polo Lacoste bundle yang di beli di Kodai Sopan lama dahulu. Kemudian, aku terus berjalan dengan lebih laju lagi ke arah Stadium Perbandaran Seremban yang jauhnya hanya kira-kira 300 meter dari Terminal bas. Keputusan untuk tidak terus mengambil bas United untuk balik ke Kuala Pilah telah lama aku buat ketika membaca jadual perlawanan di akhbar semasa di perpustakaan sekolah. Walau keputusan itu boleh mengundang masalah kerana jika silap percaturan, berkemungkinan besar aku akan tertinggal bas terakhir yang akan meninggalkan Terminal sekitar pukul 7.00 malam. Tetapi semangat bolasepak aku telah lama mengatasi masalah dilema pengangkutan.

Nanti, pandai-pandailah tumpang orang balik ke Kuala Pilah.

Sementara menunggu lalu lintas di Jalan Yamtuan reda, aku memandang ke pintu plat besi hitam yang besar dan berat itu. Itulah pintu masuk utama Stadium Perbandaran Seremban. Bersebelahan pintu utama terdapat kaunter tiket yang saiz tingkap kaunternya cukup-cukup sebesar muka penjual tiket. Jika tidak kerana sorakan manusia di dalamnya, mungkin ada yang tersilap mengatakan stuktur bangunan ini adalah sebuah penjara.

Aku suka kedudukan Stadium Perbandaran Seremban ini. Ianya betul-betul di tengah bandar Seremban. Ini memudahkan peminat untuk datang dengan menaiki kenderaan awam. Di zaman itu, majoriti penyokong datang dengan menaiki bas, motorsikal, basikal, berjalan kaki atau keretapi. Tiada siapa datang ke stadium dengan memandu kereta kerana tiada pun ruang meletak kenderaan disediakan.

Peminat dari Gemas dan Tampin datang dengan menaiki keretapi. Stesen keretapi dan Stadium Perbandaran Seremban hanya dipisahkan oleh sebatang jalanraya bersaiz sederhana besar. Stadium – jalanraya dan stesen bas – stesen keretapi ini adalah kombinasi infra baik yang banyak di tiru oleh negara eropah ketika mula membina stadium bolasepak mereka. Namun tiada kredit di berikan kepada Negeri Sembilan.

Disebelah kanan stadium pula adalah Pejabat Pos Besar negeri berkongsi dengan padang sekolah KGV yang luasnya memuatkan 2 padang bola dan 1 padang ragbi. Di utara pula ialah restoren makanan segera A&W, berjiran dengan Masjid Negeri dan taman tasik yang luas. Sementara disebelah kanan stadium pula adalah sebuah kolam renang awam serta kuil hindu yang kecil (kini besar), padang MPS dan juga Wisma Punca Emas.

Lokasi ini sangat strategik dan lokasi strategik adalah satu alergik kepada pemimpin berjiwa rakyat yang cintakan kemajuan dan laparkan pembangunan.

Gegak gempita di dalam stadium dengan sorakan penyokong memendekkan akal aku lalu mula melintas di celah-celah kereta yang entah bila surutnya. Aku tidak mahu ketinggalan banyak masa perlawanan yang sebenarnya telah bermula jam 4.45 petang tadi. Aku terus ke kaunter tiket. Tiada siapa yang beratur pun kerana semua sudah masuk ke dalam.

Harga tiket RM5  untuk semua tempat duduk. Aku masuk di celah pintu kecil yang juga diperbuat dari plet besi hitam yang berat. Tiada pemeriksaan badan dari beberapa pegawai Polis yang bertugas. Aku menegur dan berbual kecil dengan Abang Polis, sempat juga aku bagitau kaler uniform mereka ini tak cantik, macam pudar aje. Tak sangka teguran aku itu di bawa ke peringkat atas dan uniform Polis pun di tukar warna, semakin kemas dan cantik sekarang.

Aku perhatikan setiap inci tempat duduk di grandstand telah penuh. Begitu juga di tempat duduk bertingkat jauh di sebelah kanan padang. Kedudukan tempat duduk di dalam stadium ini ibarat ladam kuda atau bentuk U, bukan bulat seperti kebiasaan stadium. Aku kini berdiri di sudut bawah U tersebut. Menariknya, Stadium Perbandaran ini khas untuk bolasepak sahaja. Tiada trek larian seperti kebanyakan stadium sekarang, jadi yang memisahkan di antara padang dan penonton, adalah pagar hijau setinggi 5 kaki yang bolehlah dianggap simbolik sahaja. Mana mungkin pagar setinggi dan selemah ini mampu menghalang ribuan manusia yang sedang di kawal oleh gelora perasaan?

Simbolik kerana penyokong bolasepak negeri tidak pernah membiarkan perasaan menguasai diri. Jiwa telah penuh dengan tata tertib tinggi amalan budaya didikan adat Perpatih. Hidup beradat ini bak kata orang Minang, nan indak lakang dek paneh, indak lapuak dek hujan, diasak indak layua, dibubuik indak mati. Maka tidak ada satu umat negeri pun yang melangkah pagar keramat hijau ini walau setinggi mana perasaan mereka di lambung gelora. Begitu tinggi disiplin penyokong bolasepak anak-anak negeri.

Rupanya bahagian dalaman stadium ini juga di tiru sepenuhnya oleh banyak stadium di negara eropah…

..bersambung!

 *Cerita ini di tulis pada bulan Disember 2011 asalnya untuk di muatkan ke dalam buku ‘Cerita Bolasepak Malaysia, yang di terbitkan oleh Dubook Press pada tahun 2012. Walaubagaimanapun ianya disiarkan dalam buku Jang bertajuk Karya Agong (2015) sebuah koleksi cerita pendek yang power nak mampus!

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.