/Apa sebenarnya yang penyokong mahu?

Apa sebenarnya yang penyokong mahu?

Sebelum pergi lebih jauh, Jang ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada TMJ atas usaha beliau selama menjadi presiden FAM. Jang akui, dalam setahun jagung, ada beberapa perkara dan usaha yang beliau lakukan sangat baik untuk kemajuan bola sepak kita. Hak penyiaran, perlesenan, denda, ketegasan, penajaan, visi dan beberapa perkara (walau sekecil mana pun) tetap memberi impak sangat besar kepada sejarah bola sepak kita. Tetapi Jang tak faham, kenapa beliau mengundurkan diri? Kenapa separuh jalan? Kenapa tidak habiskan sehingga benar-benar menjadi?

Persoalannya, dimanakah salah dan silapnya bola sepak kita ini sehinggakan kita terpaksa melalui fasa sebegini? Wajarkah atau memang selayaknya kita menerima nasib tidak menentu ini? Menariknya, jawapan kepada persoalan ini ada dalam kepala masing-masing dan semua orang tahu masalahnya. Cuma kita memang sentiasa tidak bersetuju dengan jawapan dan pandangan orang lain, atau jika bersetuju pun, ianya habis begitu sahaja.

Apa yang dibawa oleh TMJ kepada bola sepak kita bukan benda baru atau pelik. TMJ bukan inventor. Ianya benda yang dah dipakai diliga luar untuk kemajuan dan pembaharuan.  Sebelum itu, mari kita lihat bilakah pengurusan liga secara professional mula menerjah ke fikiran orang putih di liga luar; Bola sepak inggeris bermula pada tahun 1888 dan hanya pada tahun 1992 baru mereka pandai menguruskan liga mereka secara professional lalu tertubuhlah EPL. La Liga pula bermula pada tahun 1929 dan mula diuruskan secara professional (Liga de Futbol professional) pada tahun 1984, Sementara itu, Bundesliga bermula pada tahun 1963 (baru 55 tahun poit!) dan mula menguruskan liga mereka secara professional (Deutsche Fußball Liga) pada tahun 2000. Semua ini ada di wikipedia. Liga kita ini baru 2,3 tahun sahaja nak dijalankan secara professional, maka ada beberapa tindakan FAM dan FMLLP yang mendapat bantahan ramai. Kelab tidak berlesen diturunkan liga, kelab lambat daftar pemain didenda dan sebagainya. Semua ini dilakukan atas nama professional tetapi mungkin ramai yang terkejut kerana sudah terlalu lama bermain dibawah liga yang diuruskan secara ‘budi bicara’ dan ‘tutup sebelah mata’.

Begitu juga penajaan, lama sebelum TMJ berminat dengan bola sepak tempatan, kita takda isu penaja pun. Dunhill dah lama bersedia menjadi penaja (sekarang semua syarikat rokok nak bungkus dah) Tetapi penajaan jenis bagaimana? Taja untuk dapat diskaun cukai atau taja untuk market brand mereka? Ada penaja yang ingat, selepas cat stadium, orang ramai akan beli produk mereka di stadium. Bila ini tidak berlaku, dia tarik diri. Ada penaja, belum masuk duit sudah minta itu-ini. Maka bukan semua syarikat korporat boleh dan faham dan mahu menaja. Ada koporat kaya yang sepatutnya lebih baik jadi penaja tapi memilih untuk ada pasukan sendiri pulakkkkkkkk! Yokohama ada berjuta duit taja Chelsea, bukan Yokohama buat pasukan nak lawan Chelsea.Tak ke pelik jenis penajaan yang wujud di Malaysia ini? Usaha TMJ melantik satu syarikat untuk membuat marketing dan penajaan adalah satu langkah awal. Usaha ni sama seperti SukanSea dapat penajaan RM100 juta dan Ajinomoto menjadi penaja utama.

Antara EPL, La Liga dan Bundesliga, hanya EPL sahaja yang menjana kewangan paling solid melalui penajaan dan hak siaran TV. Kelab dikedudukan no. 20 EPL mengaut lebih banyak wang dari kelab besar di La Liga (kecuali Real dan Barca) melalui hak siaran TV. Bundesliga pula hanya pada tahun ini sahaja (2018) mula memakai strategi baru dalam penajaan dan hak siaran langsung yang mampu melonjakkan pendapatan kelab mereka namun masih jauh dibelakang EPL (kau cari la artikel pasal hal hak penyiaran di Bundesliga ni, apa mereka buat untuk kekal bersaing dan jana duit) Sebelum ini hanya kelab Bayern Munich sahaja yang boleh menjana kewangan tinggi melalui hak siaran langsung (melalui Champions League), kelab lain di Bundesliga hanya menjana wang melalui kutipan tiket dan penajaan. Untuk rekod, penyokong Bundesliga mencatat jumlah kehadiran tertinggi dalam ketiga liga ini.

EPL berjaya kerana marketing yang power dan berciri glamour. Mereka cepat memasarkan bola mereka ke negara luar, terutama Asia. Baru-baru ini sahaja La Liga cuba memancing market Asia dengan mengubah jadual perlawanan mereka agar bersesuaian dengan waktu kita tetapi sudah terlambat. Ini yang TMJ mahu lakukan. Mendapatkan hak penyiaran dan memasarkan bola kita ke negara Asia (dahulu) dan idea ini bagus, cuma perlu sedikit masa (dan kerja keras) untuk berjaya dan paling utama, ianya mesti seiring dengan kemahuan pasukan lain. Soalnya seiringkah kemahuan ini dengan pasukan lain?

Jika dilihat sekali imbas, hanya JDT sahaja yang seiring dengan kemahuan ini. Pasukan lain masih pisat-pisat, sama seperti La Liga yang kesiangan dalam menangguk pasaran Asia. Ada pasukan tidak memenuhi kriteria perlesenan, ada yang lambat membuat submission, ada yang tercari-cari padang permainan dan sebagainya. Situasi ini memberi kesan negatif kepada penaja. Siapa mahu taja liga yang pasukannya kucar-kacir dan berperang sesama sendiri? Siapa mahu libatkan diri dan habiskan wang dengan pasukan yang secara langsung beri kesan negatif kepada brand dan produk mereka?

Bagi Jang, marketing, broadcasting rights, sponsorship ini faktor luaran sahaja yang sangat bergantung kepada isi. Kalau isi sedap, macam durian, walau luarnya berduri tajam tetapi berbau wangi lalu berebut orang nak beli dan makan. Durian yang gred bagus, harganya mahal. Samalah dengan bola sepak kita, kalau semuanya elok, bersih, lancar dan ada kualiti, berebut orang nak libatkan diri sebagai sponsor. Berebut syarikat korporat mahu logo dan brand mereka terpampang pada jersi/stadium dan sebagainya. Pemain dan kelab yang hebat atau gred bagus, sudah tentu mendapat tajaan yang lebih besar secara terus. Ini bukan roket sains tapi copypaste dari idea luar. Masa itu jika lantik Ahmad Idham jadi presiden FAM pun takda masalah.

Malaysia tidak perlu orang yang berpengaruh atau berkuasa untuk menerajui FAM dan menjadikan bola sepak kita kembali bermaruah. Sukan kurang popular dan tidak ramai pengikut seperti bola keranjang steady saja kelab Malaysia Dragons bermain dalam Asian Basketball League. Badminton pula menganjurkan Purple league, tanpa pengaruh dan tanpa kecoh berjalan secara professional. Sepaktakraw juga sudah mula setahun dua ini bermain secara liga. Kenapa sukan bola sepak, sebagai sukan no.1 Malaysia, begitu sukar untuk disatukan?

TMJ sudah pun meletakkan jawatannya, maka exco semua tak payah la nak buat rayuan. Move on dan ikut pesanan terakhir TMJ iaitu menaikkan Dato Hamidin sebagai presiden. Jang lebih suka begitu. Jang lebih suka membayangkan JDT terus berkuasa dan maju kehadapan sementara kelab lain boleh terus lena atau sibuk bergaduh. Lama-lama nanti, kita penyokong pun akan sedar, iaitu untuk memajukan bola sepak, kita kene ubah pasukan kita sendiri dulu, kita kene paksa pengurusan kita melakukan perubahan jika mahu terus bersaing. Baru ada akal. Jika kita terus sibuk dengan pasukan orang, maka itu memberi peluang dan lebih masa kepada pengurusan pasukan kita untuk tidur.

Biri-biri perlukan pengembala yang tahu dan tahan bau busuk kambing, kenal taik kambing bulat-bulat dan paling penting, jujur dan baik hati. Pengembala tidak akan membiarkan mana-mana anak kambingnya tersesat ke dalam gua. Jika Dato Hamidin boleh menjadi pengembala biri-biri yang jujur dan ikhlas, pasti bola sepak kita akan kembali bermaruah. Ini bukan roket sains tapi Jang tengok dalam cerita Ahmad Albab.

Benar kata TMJ, hal biri-biri bukan urusan Harimau. Harimau yang boleh tinggal bersama biri-biri adalah harimau yang tidak bergigi dan berkuku. Apa sebenarnya yang penyokong mahu? Mahu perubahan kepada bola sepak Malaysia? Kita ubah sama-samalah. Atas, bawah, depan dan belakang.

Jang,

Negeri Sembilan punya!