/Kenapa Malaysia akan terus gagal ke Piala Dunia?

Kenapa Malaysia akan terus gagal ke Piala Dunia?

Jika bola sepak adalah satu agama atau budaya maka Piala Dunia adalah Hari Raya yang disambut dengan penuh meriah selama satu bulan oleh penganutnya. Pasukan atau negara yang telah layak boleh diangkat martabatnya sebagai negara dan bangsa yang berjaya. Semua negara mahu dilihat dan mengimpikan layak bermain di pentas Piala Dunia. Semua pemain bola mahu bermain di Piala Dunia. Semua penyokong mahu pasukan mereka bermain dipusingan akhir Piala Dunia. Semua, kecuali Malaysia.

Kerana Malaysia telah sesat dan menyesatkan dalam agama bola sepak!

Adakah tuduhan Malaysia telah terkeluar dari ajaran bola sepak ini terlalu berat? Mari kita lihat bersama, ajaran dan falsafah bola sepak yang telah didakwahkan kepada semua lapisan penganut selama ini. Sebelum itu, siapa diantara kita boleh menjawap soalan paling mudah ini; Apakah jenis atau konsep atau DNA atau syariat bola sepak yang kita amalkan? Maksud Jang, kalau ada yang bertanya, Malaysia main bola sepak apa? Attacking kah? defensive kah? Main untuk menang kah? Long ball ke? Tiki Taka short pass nutmeg ke? Apa? Contohnya adakah negara kita ini berfahaman Sunni, Syiah, Wahabbi.atau liberal media sosial? Jika kita kata bola sepak kita berfahaman long ball, fine! adakah kita pernah berjaya dengan long ball? Adakah kita ada pemain atau jurulatih yang cukup terlatih dengan teknik dan seni long ball? Kenapa kita tidak latih lagi Baddrol Bakhtiar agar seni hantaran long ball beliau tepat dan bukan sekadar melepaskan peranan dalam padang saja. Jika kita kata, kita hanya main untuk menang saja, okkkkaaayyyyy! Tapi adakah kita selalu menang saja? Kita ada lahirkan pemain yang bermentaliti ‘bermain untuk menang’? Kenapa kita tidak groom pemain agar mereka faham corak permainan ‘bermain untuk menang’?

Atau kita selama ini tidak pernah ada konsep, syariat, sistem dan hanya bermain tanpa pedoman?

Kita tidak akan ke Piala Dunia kerana kita tidak pernah bercita-cita atau berusaha mahu ke sana. Bola sepak kita telah sekian lama, didakwahkan hanya untuk menang Piala Malaysia, Piala FA atau jadi juara liga. Jika kita tidak menang piala pada musim itu, kita dan pasukan kita dianggap gagal. Jika pasukan kita kalah, kita dianggap gagal. Jika Negeri Sembilan kalah kepada Perak, maruah kita tercalar dan tercabar kepada penyokong Perak. Lebih menyedihkan, penyokong akan memaksa pasukan/persatuan agar berubah tetapi mereka sendiri tiada idea dan tidak mahu terima perubahan.OhTuhanku!

Pada pengurusan, penyokong dan pemain, target mereka hanya itu sahaja dan selepas itu ke saingan AFC. Berilah alasan atau helah apa pun, kalau dah semua pasukan meletakkan pemain import sebagai striker utama, maka 3 piala itulah idaman dan target jelas, tak lebih dan tak kurang. Year in year out, we’re doing the same thing sampailah Abang Jamil kau mampus! Kita langsung tidak beri peluang kepada pembangunan. Kita terlepas pandang bagaimana Korea Selatan dan Jepun membangun dan kini menjadi regular di Piala Dunia. Kita leka ketika Thailand memotong kita dan kita terlalu angkuh untuk melihat bagaimana Vietnam membangunkan pemain mereka dan bakal menjadi kuasa Asia Tenggara (juga bakal dalam ranking bawah 100 FIFA). Yang kita tidak pernah leka ialah berebut jawatan, merehatkan jurulatih, menukar import dan mengecam pengurusan.

Kita tidak pernah tandus pemain hebat, malah kita dah kumpulkan kesemua pemain terbaik Malaysia di JDT. Mereka boleh jadi juara liga tanpa saingan selama lima musim tetapi masih belum konsisten di saingan AFC. Pasukan JDT adalah bayangan Harimau Malaya dan kedua pasukan ini masih gagal diperingkat Asia Tenggara. Maknanya apa? Musim depan JDT akan layak ke AFC Champons League grup stage secara automatik. Adakah ini satu kejayaan yang patut diraikan? Kenapa Hong Kong yang ranking jauh dibawah kita tidak dapat slot automatik itu? Adakah kemasukan Shahrel Fikri secara pinjaman dari PKNP ke Nakhron Ratchasima FC di liga Thailand satu kejayaan manis? Adakah Wan Kuzain yang menjadi pemain pertama Malaysia bermain di MLS menjadi kebanggaan kita semua?

Jika ya, maka kita masih tidak sedar yang kita telah jauh tersesat tanpa pedoman.

Pernah tak kita terfikir kenapa Piala Dunia dilangsungkan 4 tahun sekali, bukan setahun sekali atau 4 kali setahun? Kenapa ada jarak besar itu? Piala Dunia menjana banyak wang kepada FIFA tetapi kenapa FIFA tidak buat selalu? Jawapannya jurang 4 tahun itu, selain dari kelayakan, adalah tempoh untuk negara yang terlibat menyiapkan pasukan. Tempoh 4,8 dan 12 tahun adalah tempoh ideal untuk pembangunan sebuah pasukan. Jika kita ada misi ke Piala Dunia, kita telah sediakan pemain dan liga yang sesuai pada tahun 1990. Kita telah groom pemain seperti Mat Yo, Wan Zack dan ramai lagi untuk jadi berkualiti dan mewakili Malaysia ke Piala Dunia. Tetapi kita terlalu banyak projek dan kesemua projek separuh jalan dan short term. Apabila projek gagal, semua bintang kembali kepada pasukan negeri dan puashati mengutip gaji mahal dan memandu BMW. Mereka hilang selera untuk ke Piala Dunia.

Apa solusi untuk masalah ini? Siapakah pendakwah yang akan berjaya membimbing kita kembali semula ke jalan yang benar? Apa pedoman kita dalam bermain bola sepak selepas ini? Adakah penyokong bersedia berubah untuk lebih fokus kepada pembangunan, atau terus mengejar keindahan final Piala Malaysia, FA dan liga serta layak ke AFC? Adakah program pembangunan NFDP mampu mengubah hala tuju kita? Atau adakah mereka umpama kanak-kanak tahfiz yang diajar mengaji dan menghafiz dan apabila keluar dari sekolah tahfiz, mereka kembali menjalani hidup biasa dan sekadar jadi Imam muda jemputan TV berbayar, Imam jemputan sembahyang tarawih dibulan Ramadan atau lebih teruk, dipanggil datang ke rumah untuk majlis taranum, doa selamat dan dapat sampul wang hadiah saguhati?

Jika begitu, ilmu bola sepak mereka hanya sekadar cukup untuk jadi juara Piala Malaysia, FA dan liga bersama penyerang import warga asing.

Adakah kiblat bola sepak kita salah? Jika ya, maka selamanyalah pasukan negara kita tidak akan ke Piala Dunia.

TAGS:
Kongsi artikel ini: