/6 perkara penting yang penyokong Selangor tak mahu kita tahu.

6 perkara penting yang penyokong Selangor tak mahu kita tahu.

Sabtu lepas Jang berkesempatan ke stadium Paroi menyaksikan perlawanan di antara Selangor AirAsia menentang Selangor (entah apa setan nak letak Selangor lagi? AirAsia saja sudah la). Jang hadir ke stadium sebagai pencinta bola sepak. Di separuh masa pertama, Jang duduk dengan penyokong Selangor. Mereka memang bersemangat dan real. Di separuh masa kedua, Jang beralih duduk pula dengan barisan penyokong AirAsia FC. Mereka memang manis, wangi dan seksi. Kat situ dah nampak pasukan pilihan Jang lepas ini.

OK! Ini ada satu artikel power Jang terima dari Ali Botak a.k.a Ali Boncet. Sila baca sampai habis dan kemudian jerit “Ini Selangor!”

Selangor: Sarkis atau serius?

Seseorang itu bukan peminat bolasepak tempatan apalagi penyokong pasukan yang bersaing di liga M jika tidak pernah tahu atau sekurang-kurangnya pernah dengar katakunci “misi 33”. Umum tahu betapa sinonim dan relevannya ungkapan misi 33 itu dengan pasukan Selangor sekalipun misi 33 itu sudah pun dicapai pada musim lepas (2015). Ibarat kata perbandingan Hijau Kuning itu haruslah Kedah atau “team baru nk up” itu mestilah JDT, begitulah juga relevannya misi 33 itu Selangor pada kacamata peminat tegar liga tempatan.

Apa pun ini hanyalah kiasan perbandingan untuk menunjukkan bahawa tiap pasukan di liga M punya rujukan elemen sinikal di bibir peminat liga M.

Cumanya mungkin Selangor, baik Persatuan penaungnya mahupun penyokongnya, ibarat Liverpool di liga Barclays Premier League, terlalu banyak mengaitkan diri mereka dengan sejarah dan tradisi. Dan mereka kerap lupa yang sejarah serta tradisi ini hanyalah suatu folder bertaraf arkib yang hanya boleh menjadi pemangkin untuk suatu motivasi bagi pencapaian yang lebih gah di masa hadapan.

Tetapi ia akan terus menjadi bahan bualan di dalam suatu sesi mendabik dada di kedai kopi sahaja jika tiada iltizam atau kesungguhan dari persatuan yang memayungi pasukan untuk menjadi lebih hebat dari sejarah lama.

Justeru, seriuskah FAS utk menjadikan Selangor lebih hebat atau mempolemikkan usaha hingga menjadikan usaha itu seakan suatu sarkis utk tontonan juri Maharaja Lawak?

1-Suatu ketika dahulu, tidaklah lama, sekitar musim 2013/14, regim yang di diktatorkan oleh seorang Timbalan Presiden berkuasa sepenuhnya di dalam Persatuan dan memalitkan segala macam sampah di dalam usaha utk merealitikan misi 33 (tidak nampak di masa itu adakah punya misi serta visi lain, merentasi dan menakluk asia-AFC misalnya).

Timbalan Presiden ini membawa masuk seorang Doktor Pakar Telinga, Hidung dan Tekak yang merupakan kenalan rapat anaknya ke dalam Persatuan tetapi lucunya bukan utk membantu urusan perubatan kecederaan pemain atau rawatan berkait dengan keupayaan bersaing pemain tetapi utk mengurus-selia dan mentadbir jawatankuasa pemilihan pemain tempatan & impot pasukan. Aneh bukan? Seseorang yang tiada pengetahuan di bawa masuk utk mengawal selia sesuatu yang sangat asing baginya.Itu kebobrokkan yang pertama yang di cipta Timbalan Presiden itu.

Menandatangani seorang impot hari ini hanya utk menamatkan kontrak impot itu keesokkan harinya serta terpaksa membayar kos ganti rugi, menjanjikan bonus lumayan tanpa ada sumber tabungan yang sahih lantas membuat pemain berasa tertipu, menaikkan gaji pemain sesedap rasa tanpa menilai sumbangan pemain dan melihat kemampuan kewangan Persatuan adalah contoh-contoh sampah sarap yang di palitkan tetapi yang lebih mengujakan, tuli dan bisukah exco atau ahli-ahli jawatankuasa FAS semasa itu? Hanya menganguk sahaja? Jadi kembali kepada persoalan asal, seriuskah atau sarkiskah?

2-Regim ini akhirnya dapat dilenyapkan sekalipun bukan sepenuhnya bila kerusi Presiden beralih tampuk. Ironisnya, adakah Presiden Persatuan terdahulu juga berstatus pepatung sahaja yang gerak tarinya di tentukan Tok Dalang? Dan adakah Presiden sekarang juga bersifat, bersikap sedemikian iaitu melepaskan segalanya kepada watak kepercayaannya yang hanya beragendakan kepentingan agenda politik parti? (umum tahu watak kepercayaan Presiden diplih bukan kerana pengetahuannya dalam sepak terajang bolasepak tempatan tetapi kerana susur galur kaitan politik negeri). Maka sekali lagi, sejauh mana keseriusannya atau semakin lawakkah permainan sarkisnya?

3-Bukanlah semua yang di usahakan wakil Presiden sekarang tidak ada yang berunsur positif; impak kepada penambahbaikkan dana Persatuan, membersihkan segala piutang tinggalan regim Timbalan Presiden terdahulu, menjaga kebajikan pemain memang wajar dipuji, tetapi itu tidak bermakna menggunakan teori “cash is king” dan cekap melebatkan tambahan dana Persatuan bermakna beliau layak dengan bermerit utk campur tangan dalam taktikal pasukan di padang.

Tidak perlulah utk turut sama terlibat dan punya kuasa pemutus menentukan siapa yang akan menyarung warna merah kuning, siapa yang patut disingkirkan dan lain-lain urusan di dalam padang.

Menafikan tempat utk pemain pasukan Piala Presiden dinaik “pangkat” ke pasukan Liga Super hanya atas alasan “tiada pengalaman” memandangkan Selangor akan bermain di kejohanan AFC adalah suatu keputusan yang sangat 50 langkah ke belakang. Mana mungkin seorang pemain muda akan dapat menambah pengalaman jika tidak di beri peluang? Pengalaman tidak datang melalui wahyu atau mimpi ketika berangan-angan tetapi melalui usaha mencuba atas prinsip “try an error”.

4-Tun M pernah ketika menjadi Perdana Menteri dahulu mengunjurkan konsep Pandang Ke Timur sebagai panduan utk suatu perubahan sikap di dalam budaya kerja seharian dan di dalam industri bolasepak kita (jika sudah boleh bergelar industri) sewajarnya kita belajar dari kelab-kelab di Asia Timur apa modul yang mereka gunakan atau sekurang-kurangnya persiapan mereka utk musim-musim mendatang. Inipun jika FAS serius utk terus berjayalah bukan sekadar utk terus mempersembahkan lagak sarkis.

Contoh mudah, pencarian pemain bagi mengisi kelompongan posisi atau jurulatih bagi menghadapi musim mendatang, musim 2017 contohnya, sebaiknya sudah bermula seawal suku pertama tahun 2016 oleh jawatankuasa yang faham dengan kemahuan jurulatih (mengambil kira jurulatih yg sama akan melatih pasukan pada musim 2016).

Bertindak awal boleh mengenal pasti pemain yang didalam ruang lingkup teknik yang dikehendaki; bila tempoh kontrak pemain itu tamat; adakah jika pemain itu di ambil, kosnya kontraknya di dalam kemampuan dana Persatuan; mungkin sedikit latar belakang sosialnya juga boleh diperolehi. Bukannya bila sudah terhantuk baru mahu mengadah. Seriuskah FAS bila mahu mendapatkan pemain utk posisi bek kiri sebagai alternatif kepada Raimi maka S.Subramaniam di ambil hanya kerana sudah tiada pemain yg sesuai yg “available”? Mungkin inilah mungkin contoh sikap sarkis Persatuan dalam keseriusan utk bertanding.

5-Selain itu, jika mahu dilihat sebagai serius utk berdaya saing dan menarik penyokong serta penaja mendekati pasukan, selain persediaan sampingan penswastaan liga, teknologi maklumat dan hubungan awam (public relation) perlulah dikemaskini dan dilihat sebagai seiring dengan peredaran teknologi semasa.

Penyokong dan bakal penaja mahukan respons secara tepat hanya dengan sentuhan dihujung jari. Budaya menunggu sidang akhbar atau edaran media hanya utk mendapat penjelasan mungkin masih sesuai jika aplikasi penggunaan ” smartphone” masih dalam proses inovasi. Mungkin FAS tidak kisah bila masih menggunakan “hotmail” sebagai penyedia atau “server” perkhidmatan emel dan bukanlah masalah kritikal pun kalau masih guna “hotmail” tetapi apa rasanya jika peminat memperlekehkan kecanggihan aplikasi teknologi maklumat FAS bila timbul komen “ehhh masih zaman frenster myspace ke FAS ni? ke admin FAS ni geng-geng mirc je?”

Tunjukkan yang FAS adalah peneraju dan pencipta budaya bukan sekadar meniru apa yang persatuan lain telah buat. Kenapa bila JDT mula mengeluarkan klip video pelancaran jersi baru, maka FAS pun mahu berbuat demikian?

Apa perlunya pas bermusim di jual utk sebuah stadium yang tiketnya tidak pernah pun dapat dijual menghampiri 75% kapasiti stadium? JDT, dan mungkin Kelantan yang terdahulu menyediakan pas bermusim kerana kapasiti stadium mereka kecil dan utk memastikan penyokong setianya tidak terlepas hadir ke stadium hanya kerana gagal mendapat tiket. Di Shah Alam, tidak dapat menonton kerana tiket habis di jual adalah petanda ajaib ke tujuh liga M. Tiket akan “sold out” di Stadium Shah Alam hanya bila membabitkan aksi final.

Memang betul, FAS akan mendapat hasil jualan tiket utk semusim lebih awal bila suatu pas bermusim dapat di jual tetapi apakah persediaan atau tiadakah kertas kerja yang dirangka dalam menghasilkan pas bermusim itu? FAS seolah-olah hanya menjual pas bulanan bermusim bas Len Seng yang mana tiada apa pun keistimewaan yang “wowww!!” dengan pembelian pas bermusim itu selain tiket yg sudah pasti. Memang FAS serius atau sekadar memperagakan aksi sarkis?

Atau sebenarnya ada sesuatu yang “hank panky” di sebalik penjualan atau penerbitan pas bermusim ini kerana ia bukan disediakan atas kemahuan FAS secara total tetapi ada pihak yang beria-ia mahu pas ini disediakan dan perlu disediakan oleh penyedia kad yang sudah ditetapkan. Dalam kata lain, FAS (melainkan wakil Presiden) tidak terbabit atau tidak tahu menahu pun dalam penjualan pas bermusim ini.

6-Jersi Selangor buruk. Simple. (ok ni Jang tambah sendiri tapi benda ini penting juga)

Apapun, simpati juga kepada sekretariat pentadbiran FAS (bukan pengurusan pasukan tapi pentadbiran FAS). Mereka bermati-matian bekerja 28 jam sehari menguruskan pembayaran gaji pemaindan logistik pasukan untuk mematuhi keperluan peraturan FAM dan FMLLP tapi mereka juga yang dibangsatkan masyarakat bangsa ultras.

Oh lupa, ultras bukan tahu apa pun. Siapa pemain yang dijatuhkan, yang mengakibatkan Selangor beroleh sepakan penalti dalam perlawanan Perak vs Selangor pun ultras tak tahu. Apa yang ultras ni tahu adalah sentiasa menyalahkan pihak yang dikatakan salah berdasarkan cerita dari regim Timbalan Presiden dulu.

Harapan aku untuk FAS, seiringlah dengan perubahan zaman dan peredaran masa. Selangor memang hebat semasa di Stadium Merdeka tetapi sekarang Stadium Merdeka hanya layak untuk jadi tapak ekspo konsert fun fair saja.

Artikel ini ditulis dan diemel oleh Ali Botak a.k.a Ali Boncet dari Precint 1, Putrajaya.

Hantar artikel anda ke ultrajangmag@gmail.com. 400-500 patah perkataan (atau lebih) dan guna ejaan seperti anda pernah bersekolah.