/Ada apa dengan Admiral

Ada apa dengan Admiral

Seperti yang anda semua telah maklum, Negeri Sembilan tidak lagi menggunakan jersi Rhino pada tahun hadapan. Jersi yang sinonim dengan gah dan cantik tetapi jata senang tercabut itu tidak lagi menjadi kebanggaan penyokong-penyokong skuad Rusa untuk ditayangkan di pasaraya-pasaraya hebat seperti IKEA dan Mydin lagi. Masih terngiang-ngiang di hujung fikiran abang Tom waktu perasmian jersi Rhino pada tahun 2018 yang lalu. Penuh dengan sorakan dan acara tersebut disambut dengan penuh gilang gemilang. Dihadiri pemain-pemain, penyokong-penyokong, kami dari Ultrajang dan yang paling penting artis seksi Zizi Kirana. Ini jelas menunjukkan bertapa gahnya jersi Negeri Sembilan waktu diperkenalkan dahulu. Ramai orang luar dari Negeri Sembilan baik musuh mahupun lawan memuji kecantikan jersi tersebut. Malah ada yang mengatakan “Dengan jersi sahaja Negeri Sembilan dah leading satu kosong”.

Namun peristiwa ini hanya tinggal sejarah. Tiada lagi jersi yang ada untuk kita banggakan. Hampir pasti kita akan menyarung jersi dari jenama Admiral tahun hadapan. Sebuah jenama sukan yang mungkin asing pada golongan muda namun bukannya rahsia pada yang berumur. Sebagai ejen rahsia di Ultrajang, Abang Tom ditugaskan oleh Jang dan Kid untuk menyelongkar rahsia di sebalik kehebatan jenama Admiral ini. Apakah sejarah Admiral ini sampai Negeri Sembilan menolak jenama yang hebat seperti Rhino, Adidas dan Nike lantas memilih Admiral sebagai jersey kempen Liga Perdana 2020 pada tahun hadapan?

Sedikit sebanyak yang abang Tom siasat dan analisakan, jenama ini sebenarnya pernah diguna pakai oleh banyak pasukan-pasukan hebat seperti Leeds, Manchester United dan paling terkenal pernah dipakai oleh skuad kebangsaan England. Seperti Negeri Sembilan, jenama Admiral ini ada naik turunnya. Mereka pernah muflis pada waktu dahulu dan kemudian bangkit semula di zaman 20 an dan kekal sehingga ke hari ini walaupun dihimpit dengan nama-nama besar yang lain. Ciri-ciri tidak mahu mengaku kalah mereka memang menyentuh jiwa abang Tom. Memang sifat yang diperlukan untuk pasukan Negeri Sembilan pada waktu ini.

Abang Tom juga pernah memakai jaket buatan Admiral pada ketika dahulu. Dihadiahkan oleh ayah abang Tom ketika lawatan sekolah ke Cameron Highland. Pada waktu itu ramai di antara kawan-kawan abang Tom yang menggayakan jaket-jaket daripada jenama-jenama hebat seperti FILA, Umbro dan malah ada yang memakai jenama Adidas dan Nike! Mereka memandang rendah terhadap jenama- jenama seperti Admiral, Adibas, Aditas dan Adibayor lalu tidak mengajak kami untuk duduk di belakang bas ketika dalam rombongan. Tidak cool kata mereka walaupun pada waktu itu mereka menyebut Nike sebagai Naaaiiiik seperti nama penceramah terkenal Zakir Naik. Abang Tom tetap mendiamkan diri dan membenarkan mereka memandang rendah terhadap abang Tom sepanjang perjalanan. Abang Tom yakin Admiral akan menang di akhirnya kelak.

Ketika di puncak, Admiral mula menunjukkan taringnya. Jaket-jaket berjenama yang dipakai oleh mat-mat duduk belakang tadi tidak lain tidak bukan hanyalah Adidas dan Nike pasar malam. Kain mereka lebih nipis dan tidak berkualiti. Admiral abang Tom tadi walaupun tidak berjenama tetapi ianya berkualiti dan benar. Kainnya lebih tebal dan kalis angin. Mat-mat duduk belakang bas tadi menggigil kesejukan tidur pada malam tersebut. Abang Tom pula tidur dalam keadaan lena dibuai mimpi. Jaket itu lebih ikhlas untuk dipakai walaupun tidak terkenal.  Itulah jiwa Admiral yang sebenar. Worn by the legends bak kata mereka dalam loghat Senaling.

Walau bagaimanapun abang Tom seorang yang realistik dan percaya pada logik akal. Jujurnya, Admiral adalah jenama orang kebanyakkan dan bukan jenama yang hebat di dalam arena sukan. Ianya bukan petanda Negeri Sembilan semakin dipandang tinggi oleh sponsor-sponsor di luar sana malah sebaliknya. Namun Admiral adalah jenama yang degil dan tidak cepat mengalah. Justeru, ianya lebih ikhlas untuk bersama pasukan Negeri Sembilan dan penyokongnya. Sesuailah dengan jati diri pasukan Negeri Sembilan yang bermula dari bawah dan naik perlahan-lahan bersama penyokong mereka. Apa guna jersi yang cantik kalau permainannya hambar. Pedulikan cacian-cacian penyokong lain dan mereka yang tidak bersama. Shahurain Abu Samah akan menyusup di sayap pertahanan lawan. Almir Neto pasti mencium jata Negeri Sembilan selepas meledakkan jaringan. Biarlah Admiral menjadi saksi. Saksi kepada titik mula kebangkitan Negeri Sembilan di dalam bola sepak Malaysia. Insyallaaaah.

 

-Tom Bombadil, belia benci pembuli di sekolah-