/Adakah Jose Mourinho anti pembangunan pemain muda?

Adakah Jose Mourinho anti pembangunan pemain muda?

Ketika ini masih belum ada pengumuman sah mengenai perlantikan Jose Mourinho sebagai pengurus baru Manchester United. Boleh jadi akan ada berita pada minggu ini dan boleh jadi terus gagal. Chelsea pula terus keluar berita mengatakan mereka masih memegang hak nama Mourinho pada beberapa produk seperti belon, sudu plastik dan mug untuk dijual sehingga kiamat. Begitulah hinanya kelab tanpa tradisi ini. Harap nak jual barang saja.

Kenapa Jose selalu dikaitkan dengan instant sukses tanpa mempedulikan pembangunan pemain muda? Bagi Jang, jika diikat kontrak selama 3 musim sahaja, dan mesti mencapai kejayaan, maka pembangunan terpaksa dikemudiankan. Apa yang Alex Ferguson lakukan sepanjang 20 tahun karier beliau mengemudi Manchester United tidak dapat dilakukan oleh pengurus lain dalam masa 3 musim. Impossible!

Baca ulasan padu Roro tentang Jose Mourinho dan pembangunan pemain.

Hose Maurinyo!

Sepanjang kerjaya gemilang beliau, hanya satu kritikan yang sentiasa dilemparkan kepada pakar taktikal itu, bahawasanya beliau tidak pernah memberikan peluang kepada pemain muda. Majoriti kritikan tersebut datangnya daripada dua musim beliau di England bersama Chelsea. Tidak adil untuk kita lemparkan semua kritikan pada Jose Mourinho untuk rekod beliau di Chelsea setelah tiada pemain muda yang mendapat peluang di bawah pengurus yang lain seperti Andre Villas Boas, Carlo Ancelotti dan Roberto Di Matteo. Jadi kenapa beliau dikritik hebat tentang hal ini? Adakah kerana satu kecacatan kecil ini kita boleh ketepikan rekod pencapaian luar biasa beliau? Ya. Ianya telah diperbesarkan ke tahap yang tidak masuk akal kebelakangan ini kerana spekulasi yang berkembang bahawa Jose Mourinho akan menjadi pengurus Manchester United yang seterusnya. Manakala Louis van Gaal telah memperkenalkan beberapa bakat muda ke skuad utama seperti Marcus Rashford, Timothy Fosu-Mensah, Cameron Borthwick-Jackson, Donald Love dan Joe Riley kerana kecederaan dan prestasi naik-turun pemain utama yang bergaji mahal di kelab. Namun begitu, alasan ini tidak cukup teguh dan kukuh untuk menidakkan kewibawaan Jose Mourinho.

Di Manchester United, rekod pemain muda diperkenalkan ke skuad utama cukup hebat dan kami cukup berbangga dengan rekod itu. Ia adalah satu rekod yang luar biasa jika dibandingkan dengan kelab-kelab lain di seantero Eropah sejak beberapa tahun terdekat. Kebanyakan penganalisis bola sepak dan wartawan terlepas padang bahawa Jose Mourinho juga mempunyai rekod yang baik dalam memperkenalkan pemain muda ke dalam pasukannya. Walaupun rekod itu tidak sehebat Sir Alex Ferguson tetapi ia adalah rekod yang agak baik dan sudah tentu bukan seperti yang diwar-warkan.

Di Inter, Jose Mourinho dianggap sebagai salah seorang pengurus terbaik dalam sejarah gemilang kelab. Dalam jangka masa beliau memenangi Liga Juara-Juara bersama Inter, Mourinho menyatukan dua pemain muda berbakat Itali, Mario Balotelli dan Davide Santon sebagai persediaan ke skuad utama. Kedua-duanya mendapat kepercayaan Jose Mourinho. Dalam kes Mario Balotelli, setelah apa yang dilakukan sepanjang kerjayanya, ianya menjadi sukar buat Mourinho untuk menguruskan beliau sehingga memaksa Mourinho menjualnya. Namun begitu, kedua-dua pemain memenangi ‘treble’ di bawah kendalian Jose Mourinho di Inter kerana Jose Mourinho mengambil keputusan untuk meletakkan kepercayaannya kepada dua pemain muda yang berbakat besar itu.

Selepas kejayaannya di Inter, Jose Mourinho menjadi pengurus di Real Madrid yang sememangnya terkenal dengan polisi ‘Galacticos’ mereka. Tetapi pembelian pemain pertahanan remaja, Raphael Varane dari kelab Perancis, Lens pada tahun 2011 menunjukkan Jose Mourinho juga percaya kepada bakat muda dan memberikan peluang kepada mereka. Jose Mourinho menganggap Varane sebagai aset masa depan Real Madrid dan beliau juga pernah bertelagah dengan Pepe di Real Madrid kerana Mourinho lebih gemar menggunakan Varane berbanding Pepe di musim akhir beliau bersama Real Madrid. Jose Mourinho juga pernah meletakkan kapten Iker Casillas di bangku simpanan untuk memberikan debut kepada penjaga gol muda Real Madrid, Antonio Adan. Selain itu juga, beberapa pemain remaja yang masih kekal di Real Madrid juga diberikan debut oleh Mourinho termasuk Jese, Carlos Henrique Casemiro dan Nacho Fernandez. Jose Mourinho juga menjadi kunci utama dalam perkembangan awal Alvaro Morata yang kini beraksi di Juventus kerana beliaulah yang memberikan debut dalam skuad utama selain memainkan peranan penting dalam perkembangan Morata untuk menjadi salah seorang penyerang muda terbaik di Eropah ketika ini.

Dalam musim kedua beliau dengan Chelsea, Jose Mourinho mendapat kritikan yang hebat kerana kurangnya peluang pemain muda beraksi di bawah kendalian beliau. Ketika musim kedua di Chelsea, Jose Mourinho memberikan penampilan sulung kepada pemain akademi kelab seperti Ruben Loftus Cheek, Dominic Solanke dan Isaiah Brown. Selain itu, Mourinho juga membeli beberapa bakat muda Eropah seperti Marco van Ginkel dan Kurt Zouma. Mereka juga dipilih oleh Jose Mourinho pada perlawanan akhir Piala Capital One dan menjadi salah satu pilihan dalam senarai pemain pemain di bawah Mourinho di Chelsea. Ya, rekod beliau membawa pemain muda ke Chelsea tidak begitu baik tetapi ia tidaklah seburuk yang disangkakan kerana Chelsea adalah sebuah kelab yang tidak mempunyai pelan pembangunan jangka masa panjang, jadi di manakah peluang Mourinho untuk membangunkan lebih ramai pemain muda?

Semua kelab yang diurus oleh Jose Mourinho mempunyai wawasan jangka pendek dengan mengharapkan kejayaan segera. Dengan kata lain, Jose Mourinho tidak pernah mempunyai masa yang cukup di kelab untuk membawa sejumlah besar pemain muda ke dalam pasukannya. Walau bagaimanapun selama beliau bersama kelab-kelab tersebut, anda boleh melihat bahawa beliau percaya kepada pemain bakat pemain muda, mempromosikan dari akademi dan juga mencari peluang untuk membawa bakat muda terbaik ke dalam pasukannya. Manchester United sedang mencari manager yang sesuai untuk diberikan masa dan wang untuk dibelanjakan. Jose Mourinho sangat berkelayakan. Jika beliau diberi bajet yang cukup dan peluang seperti yang diterima oleh Louis van Gaal, nescaya beliau mampu membangunkan pemain muda dan memberi mereka peluang beraksi dalam skuad utama, selain memperbaiki kelemahan mereka. Memphis Depay adalah contoh pemain muda yang memerlukan pengurus baru untuk membimbing beliau. Saya yakin, dengan sentuhan magis Jose Mourinho, pemain berbakat besar dari Belanda itu mampu berkembang jika beliau bersedia untuk menerima falsafah Jose Mourinho. Peminat Manchester United perlu menerima hakikat tiada yang setanding Sir Alex Ferguson kerana beliau adalah seorang pengurus yang luar biasa dan sukar dicari ganti. Mungkin tiada yang mampu menjadi seperti Sir Alex Ferguson yang cukup terkenal dengan pembangunan pemain muda yang berbakat tetapi Jose Mourinho juga memberi peluang dan akan memberikan peluang kepada pemain belia. Secara tuntasnya, Manchester United tidak boleh mengambil risiko kehilangan pengurus berbakat besar dan hebat seperti Mourinho hanya kerana beliau dikatakan kurang berjaya dalam polisi pembangunan pemain muda.

Sekian.

Roro, Stretford End