April 24, 2024

Adakah VAR relevan untuk bola sepak Malaysia?

3 min read

Cuba kita bayangkan dunia tanpa teknologi pada hari ini. Tiada kuasa eletrik untuk menyalakan lampu. Lemah kuasa kuda untuk jentera berat. Putus wayar internet bagi menayang Netflix. Adakah kita akan dapat apa yang sudah kita capai sekarang? Teknologi membantu kita untuk terus melangkah jauh. Ini termasuklah penggunaan pada bola sepak seperti VAR yang kini sudahpun digunakan secara meluas. Dalam masa sama, kontorversi juga ikut selari dengan penggunaannya. Tapi persoalan yang paling utama untuk kita. Adakah ianya sesuai untuk negara kita?

Bola sepak merupakan sukan tua. Tidak seperti Dodge Ball atau American Eggball, bola sepak mempunyai tradisinya yang tersendiri yang boleh di rujuk kembali dari zaman lelaki Eropah sebagai lelaki budiman sehinggalah ke zaman lelaki Korea sebagai lelaki kegilaan. Banyak undang-undang bola sepak telah pun berubah sehinggakan sampai ke hari ini masih ramai yang keliru untuk kira 13 ataupun 20 jumlah kejuaraan. Namun, kebanyakan perubahan-perubahan tersebut bersifat minor dan masih mengekalkan nilai-nilai bola sepak itu sendiri.  

Tidak perlulah abang Tom menceritakan secara khusus tentang VAR. Pernah dibualkan pada artikel sebelum ini. Cuma kita nak bincang adakah ianya sesuai untuk bola sepak Malaysia. Bola sepak dan teknologi ini bukanlah perkara baharu di dalam bola sepak dunia. Goal line technology telah pun kita pakai bertahun-tahun dengan jayanya. Contoh lain radio komunikasi di antara pengadil-pengadil di atas padang. Semuanya secara am berjaya membantu pengadil-pengadil untuk membuat keputusan.

Hatta dengan adanya teknologi ini, permainan bola sepak moden pun dapat dimainkan dengan laju dan kecederaan dapat dikurangkan. Ini kerana pemain lebih fokus untuk bermain kerana rasa lebih selamat. Pengadil juga tidak teragak-agak untuk membuat keputusan sekaligus meningkatkan mutu dan kualiti permainan. Mungkin ini yang masih kurang pada bola sepak Malaysia.

Tambahan pula masalah keputusan-keputusan pengadil yang ada pada liga tempatan sekarang semakin menjadi-jadi. Oleh sedemkian, apakah yang menghalang kita daripada menggunakannya? Dari segi teknologi, sukar untuk kita menidakkan VAR ini. Khabarnya banyak pakar-pakar IT dari Bangalore dan Silicon Valley merayu-rayu mengidamkan peluang kerja di Cyberjaya. Malah pakar IT tempatan juga tidak kurang hebatnya.

Hanya ada satu sahaja penghalang utama iaitu wang ringgit. Harga VAR jika hendak diaplikasikan adalah lebih kurang 6.2 juta US Dollar. Lebih kurang 25.8 juta Ringgit Malaysia. Sebab ini juga liga Brazil telah menolak untuk menggunakan VAR. Tidak balik modal untuk liga bola sepak Malaysia. Gaji pun susah nak bayar. Inikan pula untuk melabur ke dalam VAR.

Tiap-tiap evolusi mesti dibelungi dengan kecacatan sebelum ianya menjadi sempurna. VAR pun tidak terkecuali. Kita dengar peminat bola sepak menyebutnya tiap-tiap minggu. Seolah-olah VAR ini  satu kesilapan. Berikan VAR peluang. Pada waktu ini kebanyakan kesalahan VAR disebabkan human error. Bukan pada VAR itu sendiri.

Walaupun dengan segala kelebihan yang ada pada VAR, bagi abang Tom Malaysia masih belum bersedia untuk menggunakannya. Radio komunikasi sesama pengadil pun tiada lagi. Bak kata pengadil dari Seri Menanti kepada abang Tom ketika blow game di padang daerah. An effective communication is the key to be a successful football referee. Jadi perlu kita perbetulkan pada yang ada dahulu. Tak perlu kita perbetulkan benda yang belum ada jika rosak di depan mata diabaikan. Daripada cempedak baiklah nangka.

P/S: Mana tahu lepas ni pengadil pun pakai robot.

-Tom Bombadil, Pengadil Utama Liga Tarik Tali Tadika Cumi Ciki-

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.