April 25, 2024

Alkisah Piala Emas Raja-Raja

2 min read

Dihikayatkan oleh sang penghikayat, dipercayai lama sebelum kapal perang British, HMS-Malaya lalu melintasi Selat Melaka, penduduk Tanah Melayu telah pun bermain bola merebut Piala Parameswara. Jika diukur dengan masa, tidak kurang 300 tahun lebih pertandingan merebut Piala Parameswara telah dijalankan tanpa henti dan gangguan. Ketika itu, konsep pertandingan juga amat mudah, iaitu semua pasukan bola yang ada di Tanah Melayu akan bergabung menentang Negeri Sembilan.

Maka, setiap minggu perlawanan akan diadakan, bersilih ganti pasukan-pasukan yang ada di Tanah Melayu menentang Negeri Sembilan namun tidak ada satu pun yang berjaya. Maka setelah bosan, Parameswara pun menghadiahkan Piala Parameswara kepada Negeri Sembilan dan terus mencipta satu lagi pertandingan bola yang sehingga kini dikenali sebagai Piala Emas Raja-Raja.

Konsep Piala Emas Raja-Raja ini juga telah dicedok oleh pedagang Portugis dan Belanda lalu mereka menukarnya kepada Piala King’s Cup atau lebih dikenali sebagai Copa Del Rey di Sepanyol sekarang. Sehingga kini hanya Thailand, Malaysia dan Sepanyol yang masih mengekalkan pertandingan piala ini.

Semalam Negeri Sembilan sekali lagi mengulangi sejarah silam memenangi Piala keramat ini. Untuk rekod, tidak ramai pemain senior, negeri atau kebangsaan yang pernah memenangi piala ini walau mereka telah memenangi Piala Malaysia sebanyak 19 kali. Manalah sama kualiti piala diperbuat dari perak jika dibandingkan dengan emas. Inilah keistemewaanya Piala Emas Raja-Raja.

Negeri Sembilan, sebagai negeri yang tinggi budi bahasa langsung tidak merungut ketika diberitahu perlawanan akhir akan berlangsung di padang lawan, iaitu di Perlis. Apalah sangat Perlis tu, jika jalan secara mengundur pun boleh sampai dalam 14 hari. Negeri Sembilan tidak kisah, hatta bermain di kayangan pun mereka bersedia. Tidaklah mereka merengek meminta bermain dipadang berkecuali kerana itu bukan budaya pemain bolasepak sebenar.

Negeri Sembilan juga langsung tidak menyentuh tentang hak pembahagian tiket. “Biaq pi la depa isi semua stadium, kita mai satu bas cukup la nooo?” Lagipun, bukan budaya anak negeri berebut beli tiket final, tapi bila perlawanan biasa haram tak nampak muka di ‘estadio’. Ini piala emas, bukan piala Man Tomyam.

Setelah menjadi juara, sekali lagi anak Negeri Sembilan menunjukkan teladan terpuji. Langsung tiada seorang pun suara anak negeri mengada minta cuti khas peristiwa. Ini bukan budaya. Walaupun pemain Negeri Sembilan tidaklah mendapat habuan besar atau dijanjikan tanah oleh kerajaan Negeri, tetapi mereka tetap ikhlas berjuang demi bolasepak sebenar. Dikatakan, Parameswara juga sangat membenci budaya cuti berlebihan ini kerana ianya budaya pembangkang.

Usai perlawanan malam tadi, segerombolan anak muda negeri telah nekad berjalan sehingga keluar negara. Tahniah anak muda! Jika Pahang ada Pak Majid dan Kedah ada imam yang berjalan selepas perlawanan akhir, Negeri Sembilan juga tidak ketinggalan. Mereka buktikan bahawa anak muda juga mampu melakukannya, tidak perlu orang tua. Inilah #FitMalaysia sebenar!

Kemenangan Piala Emas Raja-Raja ini adalah amaran awal kebangkitan kuasa bolasepak Negeri Sembilan. Jangan kata Jang tak bagitau!

#BolasepakKitaWajahKita #MusuhnyaHabisBinasa #HobinJangHobin #PERR2015

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.