/Arsenal 4-1 Fulham (Matchday 21 EPL 2018/2019)

Arsenal 4-1 Fulham (Matchday 21 EPL 2018/2019)

Walaupun luka kekalahan kepada Liverpool Sabtu lalu masih berbekas, Arsenal turun di gelanggang sendiri dengan semangat untuk mencari kemenangan bertemu Fulham yang dibimbing oleh Claudio Ranieri, jurulatih yang baru memegang Fulham kurang dari dua bulan. Antara fakta menarik tentang Ranieri yang dapat den tangkap melalui ulasan pengulas, Ranieri masih belum meraih sebarang kemenangan ke atas Arsenal selaku pengurus pasukan di dalam Premier League.

Emery melakukan tiga perubahan berbanding perlawanan menentang Liverpool dengan meletakkan Koscielny di bahagian pertahanan menggantikan Lichtsteiner manakala di bahagian hadapan, Guendozi mengambil tempat Torreira dan Lacazette diharap menambah sengat bahagian serangan Arsenal dengan menggantikan Ramsey. Dengan perubahan pemain ini, Arsenal bermain secara pertahanan bertiga dan meletakkan tiga serangkai berada di hadapan, Iwobi-Lacazette-Aubameyang.

Pada awal permainan, Arsenal kerap memulakan gerakan serangan dari bahagian pertahanan dengan Sokratis, Koscielny dan Mustafi akan bermain secara high line dan naik sehingga ke garisan tengah. Ini membolehkan Xhaka dan Guendozi bergerak ke hadapan untuk menghubungkan dengan bahagian serangan kerana pertahanan bertiga telah mengambil posisi mereka. Arsenal punya high line sampaikan satu ketika, Sokratis sendiri berpeluang menjaringkan gol dengan melakukan percubaan tepat ke arah gol.

Strategi ini agak berisiko jika bertemu pasukan yang bermain secara pressing dan mempunyai kelajuan. Benar, ketika turun bertahan Maitland Niles dan Kolasinac akan membentuk pertahanan berlima. Namun dalam situasi counter attack, strategi ini agak vulnerable malah Fulham hampir-hampir menjaringkan gol pendahuluan melalui Sessegnon setelah Sessegnon melepasi perangkap offside di bahagian tengah dan tiada pertahanan yang mempunyai kepantasan untuk mengejarnya. Mujur, curling shot yang dilakukan Sessegnon tidak menuju ke sasaran.

Walaupun Iwobi, Lacazette dan Aubameyang diletakkan di bahagian hadapan, Arsenal seolah-olah bermain secara penyerang berkembar dengan meletakkan Lacazette dan Aubameyang di bahagian hadapan dan meletakkan Iwobi di bahagian sisi kiri. Keadaan ini membolehkan Arsenal mempunyai extra load di bahagian sisi kiri dengan Iwobi sering mendapat bantuan dari Kolasinac. Mereka banyak menggerakkan bola ke bahagian kiri berbanding ke bahagian Maitland Niles dan buktinya, tiga gol Arsenal terhasil dari gerakan di sebelah kiri.

Ketika separuh masa kedua bermula, Arsenal membuat pertukaran awal dengan mengeluarkan Mustafi dan memasukkan Torreira. Dengan Kolasinac dan Maitland Niles turun ke bawah membentuk pertahanan berempat, Arsenal masih memfokuskan serangan mereka di bahagian kiri kerana tiada pemain yang mengambil tempat Maitland Niles di sebelah kanan. Arsenal juga tidak banyak melakukan penetration dari bahagian tengah kerana Guendozi banyak bertindak selaku all round player dan tiada penghubung di bahagian middle third dan bahagian serangan. Cuma kemasukan Ramsey sedikit sebanyak dapat menutup lompong kekosongan di bahagian tersebut.

Gol pertama Arsenal menunjukkan bagaimana kebijaksanaan Xhaka yang berlari dari luar kotak dan masuk ke dalam kotak penalti untuk menerima hantaran Iwobi. Pemain yang membuat larian dari luar kotak ni jarang-jarang pertahanan akan marking kerana mereka akan marking pemain yang berada di dalam kotak, dan dalam kes ini, Lazatte dan Aubameyang. Gol kedua dan ketiga pula den bagi kredit kepada Kolasinac yang bagi den MOTM sebab tak tamak dan melakukan cut back untuk gol kedua dan punca gol ketiga. Malah Xhaka mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua menerusi cut back yang dilakukan Kolasinac di separuh masa pertama. Gol Aubameyang pula sekadar untuk memuaskan hati pemain-pemain Fantasy Premier League yang memiliki Auba dalam pasukan mereka.

Dengan empat gol yang dijaringkan, Arsenal mungkin boleh mengelak sebarang keputusan yang boleh mengejutkan mereka semalam. Namun, Arsenal perlu memperbaiki aspek bertahan. Dengan banyak peluang yang boleh menjaringkan gol disia-siakan bahagian serangan, bahagian pertahanan masih belum berpeluang mendapatkan clean sheet setelah beberapa perlawanan. Malah ketika Fulham menjaringkan gol melalui pemain sensasi Kamara untuk merapatkan jurang 2-1, Arsenal bermain di dalam tekanan dan lambat untuk settle down. Perkara yang sama berlaku ketika bertemu Liverpool. Pertahanan tidak lagi memulakan gerakan dari bawah dan Leno banyak menghantar bola terus ke atas berbanding menghantar ke pertahanan. Mujur gol ketiga muncul dan meredakan sedikit tekanan bukan sahaja pemain, malah penyokong yang menyaksikan perlawanan ini.

 

#COYG

 

Kredit Gambar : FB Arsenal

-Yat-