/AZCup2017: Pembangunan sejauh mata memandang!

AZCup2017: Pembangunan sejauh mata memandang!

Pada Sabtu 18/11/2017 lepas, Jang mengambil keputusan untuk turun ke padang Institut Perguruan Raja Melewar di Sikamat untuk menyaksikan dan merasai sendiri denyut nadi akar umbi pembangunan bola sepak Malaysia. Sesampai Jang di padang, Jang terus naik ke grand stand untuk berlindung dari kepanasan matahari yang membakar. Di atas teres grand stand Jang memandang jauh kedepan, melihat padang yang cukup luas untuk 8 pasukan bermain serentak dalam 4 padang. OhTuhanku! Inilah keindahan bola sepak!

                                                     

Terdetik dihati Jang, rasanya tidak ada lagi venue di sekitar Seremban yang seluas padang IPGRM ini dan boleh mengisi 4 padang permainan. Mungkin padang KGV atau padang MPS boleh menjadi pencabar tetapi untuk hari ini, padang IPGRM kelihatan sangat ideal untuk AZCup2017. Semoga padang ini terus berkekalan dan dijauhi dari pembangunan (dalam bentuk bangunan fizikal)

Di padang A, Wira Semenyih FC sedang beraksi bagaikan seperti tau Jang ada diatas teres grand stand…power nak mampus! Main bola macam bebudak seusia mereka yang lain bermain spinner, berpusing, bercahaya dan melekat! Jang kepanasan, kenapa mereka bermain bagaikan telah disuntik kedalam badan mereka pil keyakinan? Jang tidak boleh menahan diri lalu turun ke padang dan pergi ke tempat duduk pemain simpanan dan jurulatih lalu mula bertanya itu ini.

                                                       

“oh, ini team B kami, team A tak turun” ujar salah seorang tenaga pelatih mereka. Jang angkat kening! rupa-rupanya ini hanyalah satu permulaan untuk hari yang cukup menggembirakan Jang secara peribadi terhadap bola sepak dan pembangunan khasnya! Jang terus berjalan ke semua padang B,C dan D dan sebab tournament ini di Sikamat (lopak Jang), Jang tenang masuk ke khemah pasukan dan mula soal selidik apa yang patut. Memang mengejutkan! Ada pasukan datang dari Kedah (Qhaleefa FC) beberapa pasukan dari Johor DT (Rambai Muda FC, Remaja Johor FC) Akademi Tunas Petaling Jaya dan Seahawk dari Selangor serta banyak lagi pasukan dari serata Semenanjung. Sekali lagi terdetik hati Jang, kenapa mereka ini sanggup bersusah payah datang? Van Qhaleefa FC dari Kedah rosak di highway berdekatan tol Ainsdale dan pihak pengurusan menyediakan pertolongan bantuan kenderaan lain dan walaupun mereka terlewat, masih diberi peluang bermain. Inilah semangat pembangunan!

                                                       

Bual santai tepi padang.

“Terdapat 32 pasukan yang menyertai AZCup2017 dan mereka datang dari serata Semenanjung Malaysia. Negeri Sembilan sahaja menghantar 11 pasukan. Kami membahagikan mereka kepada 8 kumpulan dan setiap kumpulan ada 4 pasukan dan mereka dapat bermain sekurang-kurangnya 3 kali” Ujar Mohd Zafran Abdul Razak dari S Two FC yang menjadi penganjur kejohanan.

“Ini adalah edisi kedua AZCup dan Alhamdulillah, sambutan kali ini amat memberangsangkan. Di Negeri Sembilan ini tidak ada tournament untuk bawah 12 tahun, jadi kami mengambil inisiatif menganjurkannya sendiri” tambah beliau yang juga merupakan abang kepada pemain kembar kebanggaan Negeri Sembilan, Aidil dan Zaquan.

“Tujuan kami, adalah untuk memberi pendedahan kepada pemain, mencungkil bakat dan secara tidak langsung memperkenalkan atau menjenamakan akademi kami iaitu S Two FC” Ujar beliau.

Jang kemudian berkesempatan menemubual bintang tersohor Negeri Sembilan yang turut hadir, iaitu Aidil Zafuan. (Kan Jang dah kata, ianya hari yang cukup menggembirakan Jang sebagai pencinta bola sepak!) Ada banyak soalan Jang kemukakan kepada beliau yang cukup tenang dan sopan melayan peminat. Setelah berbasa basi dengan beliau tentang AZCup2017, Jang terus kesoalan sedap;

“Aidil, kali terakhir Negeri Sembilan mengeluarkan bakat muda yang menjadi terkenal dan bermain dengan pasukan kebangsaan adalah batch kau dan rakan-rakan pada tahun 2004 iaitu pada Sukma. Selepas itu, bukan tidak ada, tetapi tidak secemerlang kau, Kunalan dan Zaquan. Lebih 13 tahun Negeri ketandusan bakat baru, kat mana silapnya itu atau apa masalahnya?”

“Hmmm.. dulu kita ada banyak program dan cabang seperti Tunas Cemerlang, Akademi Bola sepak dan sebagainya tetapi selepas itu, saya pun tidak pasti mengapa ianya telah tiada. Tetapi inilah diantara tujuan kita buat tournament AZCup2017 ini, untuk mencungkil bakat baru, beri pendedahan kepada pemain dan seperti disarankan oleh TMJ, membuat program akar umbi supaya kita tidak kekurangan bakat” jawapan Aidil yang begitu bijak memilih kata-kata.

“Tetapi Aidil, kita memang ramai bakat, kebanyakannya hilang selepas sekolah, kenapa tu?”

Selain bakat, jurulatih dan kesungguhan, sokongan dan peranan ibubapa sangat-sangat penting. Saya bertuah sebab arwah bapa adalah pendorong utama saya. Kemana saja saya pergi bermain, beliau akan datang memberi sokongan” jawap Aidil

“Betul! Arwah bapa dulu tidak pernah benarkan Aidil atau Zaquan keluar minum, kalau kawan-kawan ajak keluar, mereka akan dijemput datang rumah, kita buat air, nah! minum kat rumah” tambah Mohd Zafran ketawa.

                                                     

Hmmm… inilah disiplin! Jang rasa dah jumpa jawapan kepada permasalahan transisi daripada menjadi pemain akademi ke pasukan remaja sebelum naik pasukan senior, iaitu sokongan padu ibubapa. Perkara ini dikuatkan lagi dan dipersetujui oleh Cikgu Dino dan CEO NFDP, Encik Safirul dalam temubual santai Jang bersama mereka.(Jang asingkan temubual ini dalam artikel lain nanti)

Kembali kedalam padang!

Jika kita lihat pemain cilik ini beraksi, hati kita pasti akan berbunga – ‘inilah pemain yang akan membawa kembali sinar kepada bola sepak negara’. Jang sendiri terpukau melihat bagaimana mereka bermain begitu tersusun, tenang, yakin dan hidup. Seingat Jang, masa Jang bermain diusia muda dulu, tak pernah Jang buat back pass ke penjaga gol dan mula semula bermain dari bawah. Menyerang dari pertahanan dan bertahan dari serangan?

Jang tak hairan dah jika dengar pasukan NFDP yang bermain diluar negara membelasah pasukan anak orang putih. Tidak ada pun pemain kacukan (naturalisasi) dalam akademi ini, semuanya 100% DNA tempatan tetapi mereka boleh saja melambung anak orang putih Sporting Lisbon dan seluruh Eropah. Maknanya apa?

Pelawanan separuh akhir pertama diantara Akademi Tunas Petaling Perdana (ATTP) menentang Stylo Mylo dan kedua diantara Qhaleefa FC (Kedah) menentang SeaHawk FC (Selangor) berlangsung sengit. Separuh pemain ATTP adalah pemain Malaysia yang mengganas di Qatar baru-baru ini. Menariknya, mereka hanya mampu menang 1 gol kosong sahaja keatas Stylo Mylo, itupun gol dijaringkan disaat akhir perlawanan. Begitu juga dengan SeaHawk, hanya menang 1 gol keatas Qhaleefa FC. Ini bermakna, kualiti setiap pasukan yang bertanding adalah hampir sama. Mereka semua adalah rakan sebaya yang gigih menjalani latihan setiap minggu sepanjang tahun. Corak latihan mereka juga mungkin hampir sama jadi boleh Jang katakan, walau dimana mereka bermain selepas ini atau dibawah jurulatih mana pun, mereka tetap akan bermain dengan baik.

                                                    

ATTP muncul juara selepas menewaskan SeaHawk 3-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung dalam padang sedikit becak kerana hujan lebat. Semua berwajah gembira dan puashati menempuh satu hari dalam pertandingan. Tahniah Jang ucapkan kepada penganjur, S Two FC kerana berjaya menganjurkan satu pertandingan yang sangat bermakna untuk semua.

Ingat! Bola sepak kita wajah kita dan ianya seindah mata memandang.

Kredit gambar: Hafis Abd Aziz dari Gawang.my

Kongsi artikel ini: