/Bajet FA negeri mesti dirombak semula (bukan rompak)

Bajet FA negeri mesti dirombak semula (bukan rompak)

Minggu lepas, dalam satu meshorat PIBG sekolah yang Jang juga adalah AJK, pihak sekolah berbincang menganjurkan satu sukan tahunan yang akan diadakan pada bulan Mac  nanti. Segala hal sukan ini akan pihak sekolah uruskan, cuma AJK PIBG dipanggil bermeshorat untuk meluluskan peruntukan sukan dari tabung PIBG. Sebagai AJK yang dilantik secara undian ramai, Jang luluskan peruntukan yang diminta.

Tapi masih belum cukup sepenuhnya, maka pihak sekolah bercadang mahu mengutip derma dari ibubapa dan orang ramai, membuka booth jualan dan sebagainya. Ini baru sukan balapan, lari 100 meter, 200 meter dan lari berganti-ganti. Sukan pula diadakan pada hari Sabtu, itupun setengah hari saja.

Senario sama berlaku dalam FA negeri. Bezanya sukan bolasepak dimainkan dalam tempoh lama untuk semusim. Perbelanjaannya juga sangat kasar, tapi bagaimana mereka mendapat wang peruntukkan? Baca ulasan Professor Han Oryza, tentang apa yang sepatutnya FA Negeri buat atau bagaimana mereka harus menjana wang demi kelangsungan bolasepak.

Ekonomi Bolasepak yang FA negeri perlu tahu- Han Oryza

“Mujur dia nak taja, duit dia, biarlah dia nak buat apa pun, kalau dia tak taja, siapa nak bayar gaji pemain” – ini adalah antara komen paling banyak datang dari ultrasVida

Kenyataan di atas jelas mendedahkan tanggapan tipikal di kalangan penyokong bola sepak kita mengenai sumber dana utama kebanyakan persatuan bola sepak negeri (FA) di Malaysia.

Benar, duit tiket ialah satu-satunya sumber pendapatan FA paling real yang dijana sendiri. Itupun perlu dibahagikan kepada pihak pengurusan stadium yang majoriti bernaung di bawah Kerajaan Negeri. FA mungkin ada sumber pendapatan real lain seperti jualan jersi dan barangan cenderamata, tetapi apa yang pasti semua itu sekadar menyumbang 20 peratus (mungkin kurang) daripada keseluruhan bajet tahunan.

Tidak tahulah kot-kot FA kita ada sumber pendapatan lain seperti projek cari gali minyak atau pelaburan hartanah. Rasanya macam tak ada sebab setiap tahun ada saja FA yang berdepan masalah nak bayar gaji pemain mereka.

Hakikatnya, 80 peratus bajet tahunan FA di Malaysia datang daripada 4 penyumbang utama:

1. FAM (subsidi bakal dimansuhkan seiring penswastaan Liga-M)
2. Kerajaan Negeri (yang tersepit lalu terpaksa kontra projek dengan penaja)
3. Tajaan korporat. (yang menyepit untuk mendapat pulangan lebih besar dari penajaan)
4. Kerabat Diraja (hmmmmm..)

Namun, masalah berlaku apabila salah satu entiti di atas mula menarik balik suntikan dana mereka atas sebab tertentu. Boleh jadi sebab kontrak tamat, krisis politik, prestasi pasukan merosot atau sudah tidak bernafsu dengan bola. Ataupun tak ada sebab apa-apa pun. Iya lah, sudah itu duit dia, ikut suka dialah.

Maka kucar-kacirlah FA berkenaan. Lalu dijemput wartawan serata negeri hadir ke sidang media. Mulalah kalut menulis surat mencari penaja. Akhirnya, syukurlah. Berjumpa juga seorang tauke kaya-raya lagi dermawan yang sudi menaja. Malangnya, dikenakan pula aneka macam syarat seperti wajib menggaru telur sambil melaung, “Barulah oh yeahhhh!!!” setiap kali menjaringkan gol.

Iyalah, apo nak dikato, sudah itu duit dia. Kenalah ikut apa dia suruh. Maklumlah, FA sudah buat yang terbaik, tapi duit tak ada nak bayar gaji. Harap duit tiket berapa sen sangat. Jangan risau, kalau penyokong marah, FA boleh saja tuduh FAM sebab mansuh subsidi. Mujur ada FAM untuk disalahkan 100%.

Itulah ragam pihak FA kita yang jarang-jarang mahu berfikir diluar kotak penalti. Selain duit FAM, mereka juga cenderung melihat penajaan korporat sebagai ‘messiah’ bola sepak. Seolah-olah jika tiada tauke sudi melabur puluhan juta, maka pasukan mereka akan melingkup. Gagal total.

Habis, FA buat apa sebenarnya? Ada tugas hakiki lain agaknya?

Silapnya, kita tidak melihat bola sepak dari sudut pembangunan ekonomi. Kita melayan bola sepak sekadar sukan semata-mata, sekali gus membuatkan kita melayan dunia bola sepak profesional sama seperti karnival sukan peringkat sekolah, kampung dan jabatan. Maknanya, setiap tahun kita harus cari mana-mana tauke untuk menaja pasukan 100 peratus. Kemudian mengulangi benda yang sama pada tahun-tahun berikutnya. Ingat kata Einstein, hanya orang gila saja yang anggap dia dapat keputusan berbeza dengan ulang hal yang sama.

Jadi, mahu tidak mahu FA mesti berfikir bagaimana mahu buat duit dengan bola, bukan cari orang bagi duit. Mesti bertindak dan bekerja hingga dapat hasil pendapatan yang mampu menampung separuh perbelanjaan pasukan. Atau sekurang-kurangnya dapat tampung gaji pemain dan kos perlawanan. Sebaliknya, duit subsidi dan tajaan pula dijadikan sebagai bonus tambahan untuk beli pemain berkualiti, naik taraf fasiliti, bonus pemain dan pembangunan akar umbi. Dalam erti kata lain, kalau tidak ada penaja pun pasukan kita masih kekal stabil dan bagus. Kalau ada penaja, sudah tentulah pasukan jadi semakin mengancam.

Paling celaka, ada FA jadikan duit penaja sebagai duit bayar gaji. Kalau tak ada penaja, mulalah sangkut bayar gaji. Mulalah keluar ayat-ayat sedih. Setan apa ini? Malulah sikit. Kau tu bos, takkan hal nak bayar gaji pemain sendiri pun harap orang lain bagi duit. Mana letak maruah kau? boom!

Fikirlah apa yang patut (dan yang tak patut) Letak tabung depan pintu stadium, ambil sewa tapak pasar malam, caj yuran sekolah budak, buat konsert, klinik bola, seludup rokok, curi pasir atau apa saja kaedah penjanaan wang yang difikirkan sesuai. Mesti fikir dan buat. Takkan nak suruh aku tulis dokumen 6,000 muka surat macam TPPA untuk bagitau satu persatu macam mana buat duit dengan bola!

Malulah sikit kena paksa garu telur dan jerit oh yeah bolaaaa!!!?? Tak ada maruah ke apa?