/Barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang…

Barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang…

Sehari dua ini Jang selalu terjumpa dan terbaca beberapa komen yang dimuat naik tentang beberapa nama pemain import Negeri Sembilan yang dikatakan bagus dan telah berjaya bersama pasukan baru mereka. Antaranya dan popular buat masa ini ialah Simic, Lee Tuck dan Andrew Nabbout. Marco Simic telah pun menjadi dewa di Persija Jakarta tetapi perlu diingat, tarikh liga mereka pun belum ditentukan lagi untuk musim 2018 ini. Lee Tuck juga sedang berbahagia di Terengganu sementara Andrew Nabbout, selepas menunjukkan prestasi cemerlang di Newcastle Jets, mendapat tawaran bermain untuk kelab no.1 J- League, Urawa Reds.

Baguslah!

Macam Jang kata sebelum ini, itulah tanda kita telah memilih import berkualiti untuk pasukan Negeri Sembilan selama ini. Bukan sekadar import mengisi kuota sahaja. Belum ada lagi kita ambil penjual jam atau student UIA sebagai pemain import dan selepas semusim, mereka kembali semula menjual jam. Samada mereka perform atau merudum semasa atau selepas bersama Negeri Sembilan adalah satu perkara yang kita tidak boleh kawal. Faham?

Dalam dunia yang indah pada mereka yang mahukan keindahan, ada satu perkara yang mereka pegang, iaitu; ada benda kita boleh kawal, ada benda kita tidak boleh kawal. Tumpukan tenaga dan masa kita kepada perkara yang kita boleh kawal. Contohnya, mengawal masa kerana tidak mahu sampai lewat ke tempat kerja. Kita bangun awal, siap awal dan keluar awal. Itu semua adalah perkara yang kita mampu kawal dan lakukan sebagai seorang manusia sempurna akal fikiran dan fizikal. Ada pula perkara yang kita tidak boleh kawal seperti ada kemalangan di jalan raya mengakibatkan jalan jem teruk, hujan lebat jadi banjir dan sebagainya, jadi kita lewat juga sampai ke tempat kerja. Nampak tak 2 benda yang kita boleh kawal dan tak boleh kawal ni?

Jang selalu mengambil kaedah menumpukan tenaga dan masa kepada perkara yang Jang mampu kawal, seperti kawal emosi, kawal cara berfikir, kawal mata jangan kantoi usya makwe dan kawal makan.

Dalam hal Nabbout yang menular semalam tentang pengalaman dia bermain bola dari awal karier sehingga bersama Urawa Reds di Jepun, beliau ada menyebut pengalamannya ketika bersama Negeri Sembilan. Hmmmm.. bagi Jang apa yang dia bongkarkan itu adalah hak dia lah dan dia boleh kata apa saja. Ingat! kita tak boleh kawal apa yang dia mahu cakap. Tapi kita ini janganlah cepat melatah dan melompat apabila ada seorang pemain mat saleh yang pernah bermain dengan pasukan kita kene keluarkan dalam musim 2016. Dah 2018 kita masih tak move on dan masih nak meroyan macam takda pedoman langsung.

Bukan kita saja yang melepaskan Nabbout, kalau kau baca artikel penuh dalam bahasa inggeris, kelab dia sebelum bersama Negeri Sembilan, Melbourne Victory pun melepaskan dia tanpa mana-mana kelab. Dia melalui fasa tertekan (depress) sehingga kene jalani rawatan kerana tidak ada kelab mengikat kontrak bersamanya, sebelum mendapat peluang bermain bersama Negeri Sembilan. (Masuk menggunakan agen Australia dan sub agen Malaysia)

Jang akui, dia memang seorang yang bagus dan mempunyai kemahuan tinggi dalam padang. Statistik gol dan assist dia juga membuktikan dia memang ‘perform’. Apa yang berlaku sehingga dia digugurkan pada pertengahan musim adalah misteri dan hanya PBNS sahaja yang berhak menjelaskannya, bukan Jang. Benarkah dakwaan beliau bahawa ada arahan dari presiden untuk menukar beliau dan Joel Chianese? Itu bukan dalam kawalan atau pengetahuan Jang tetapi tuduhan itu amat berat. Sama berat jika Jang tuduh ramai warga Australia (dan naturalisasi) datang bermain disini kerana wang dan sudah tidak ada tempat di Australia. Mereka bukan nak bantu liga kita, pandang sebelah mata ada la. Liga kita pada anggapan mereka tidak bagus, hanya sekadar tempat persinggahan, batu loncatan nak buat duit dan kemudian balik. Betul ke? Itu la namanya tuduhan, entah betul entah tidak tapi jika kau senaraikan nama, kau akan perasan.

Jang kecewa, disaat kita mahu menumpukan kepada prestasi pasukan yang sedang dalam keadaan struggling, ada pula berita lain yang boleh merosakkan mood yang baru nak elok. Andrew Nabbout sedap dan sejuk di Urawa, Simic dah move on di Persija dan Lee Tuck bahagia dia Terengganu. Kito? Tak selosai lagi? Sampai bilo? Tak habis-habis nak tunjukkan garang dan rebel kat komen facebook? Boleh aje..kan Jang kata itu hak peribadi yang Jang tak boleh nak kawal.

Sebenarnya tak manis Nabbout nak petik presiden atau sesiapa saja nama dan memburukkan situasi di sini. Dia pemain pro dan faham akan ada kaedah jual beli dan kontrak. Tidak mengapa jika tidak mahu ucap terima kasih kepada Negeri Sembilan, tetapi ingat, disaat dia sedang depress, tidak mempunyai kelab, Negeri Sembilan ambil dia, walau sekejap, tetapi beliau akui, disini dia banyak belajar mengenal dirinya. Efek dari penguguran dia dari Negeri Sembilan, dia menjadi seorang pemain yang 3x lebih bagus dan gigih sehingga dapat call up Australia dan mungkin bermain di Piala Dunia. Banyak lagi perkara positif dalam artikel terbitan playersvoice itu tentang beliau dan bola sepak yang rasanya lebih besar dari hal Negeri Sembilan. Nabbout tidak dapat mengawal kelab mana yang mahu gugur atau mahukan dia tetapi dia dapat menumpukan masa dan tenaga mengawal kualiti permainannya. Dia fokus pada hal yang dia boleh kawal.

Lagi satu Jang nak kata, lepas ini kalau Simic atau Lee Tuck atau Kim Do Heon atau Velez atau Ozzy Osbourne sekali pun mengata hal keluarga kita, jangan la kau sebagai ahli keluarga pun ikut sama menyebelahi orang luar jadi nasi tambah. Orang luar cakap pasal kudis kat kaki kito saja, kito pulak pergi bagitau satu dunia tentang kurap belakang badan. Kito cari ubat dan uruskan sendiri, sudahlah.

Jang,

Buapak Bola sepak Beradat