April 20, 2024

 Berhenti hina 10 lagi pemain dalam padang!

4 min read

Nama Simic kembali disebut-sebut dan diangkat menjadi salah satu kesilapan PBNS. Tambahan pula beliau begitu menjadi di Melaka United dengan menjaringkan lebih 10 gol. Jang secara peribadi menganggap Simic memang berjaya di Melaka tetapi semasa di Negeri Sembilan, mungkin posisi dan game play kita tidak sesuai dengan beliau, justeru terus menyimpan beliau adalah satu persoalan. Percaturan PBNS mengambil langkah menolak Simic dipertengahan musim adalah satu perjudian biasa dalam bola sepak. Dalam berjudi, kau mungkin akan menang atau kalah…tidak ada seri. Tapi itulah, kita bantai seri sampai 8 game! Itu cerita lain tetapi takkanlah sebab seorang pemain keluar, kita jadi pitam? Takkan Simic saja yang tahu tendang bola dan jaringkan gol? Mengatakan ketiadaan Simic sebagai punca kita merudum adalah satu penghinaan kepada 10 lagi pemain lain didalam padang.

Baca artikel Jang yang disiarkan dalam majalah Ultrajang edisi 1, April 2017 tentang pertukaran pemain import semasa pertengahan musim.

Tajuk: Barang yang lepas jangan dikenang, kita talkinkan saja sejarah silam.

Sebagai Buapak Bolasepak Beradat, serba salah Jang dibuatnya. Nak ditolan mati jiwa, nak diluah mati fikiran. Nak dibiarkan, tak manis, nak dilayan tak berakal. Nak disuruh pergi anak buah, nak dilawan Dato Lembago. Mako Jang ambil jalan tongah, adat jangan dibiar mati, bola sepak jangan dibiar tak peduli.

Jang tak mahu bercerita hal musim 2016 kerana ianya bukanlah benda manis yang sedap diulang-ulang makannya. Tetapi anak buah semua mesti ditenangkan, anak buah mesti diberitahu dan anak buah tak boleh dibiarkan terus hidup dengan persepsi. Impaknya akan menjadi lebih buruk jika maklumat tepat tidak disampaikan. Lebih tak sedap jika anak buah anggap Jang sebagai Buapak Bolasepak Beradat yang tak boleh diharap.

Mari kita berbual tentang penukaran pemain, tak kisah musim 2016 atau musim 2017, 2018 dan 2026.

Bagi Jang, menukar atau menjual beli pemain adalah senario biasa dalam bola sepak professional di mana-mana saja liga di dunia ini. Tingkap perpindahan yang dibuka 2 kali (satu sebelum musim dan 1 lagi di pertengahan musim) juga adalah sama seperti mana-mana liga yang mengikut standard dunia. Ingat! Bukan liga kita saja memandai-mandai mencipta ruang tingkap perpindahan ini. Dalam ruang yang sekejap ini akan berlaku penukaran pemain yang dirasakan perlu. Pilihan masa untuk ruang perpindahan ini juga sengaja dicipta pada 2 waktu istimewa ini supaya pasukan mempunyai cukup masa menguji pemain.

Pemain utama seperti Cristiano Ronaldo juga dijual dan Manchester United terus saja boleh menjadi juara inggeris. Diakui dalam beberapa siri perpindahan, ada yang mendapat bantahan penyokong dan pasukan merudum tetapi semua itu bersifat sementara. Ingat! Kekuatan pasukan tidak pernah terletak pada bahu satu atau dua pemain tetapi secara keseluruhannya dari pengutip bola, penyokong, pemain hingga ke pengurusan. (contoh mudah sekarang, kekuatan pasukan kito bukan terletak pada bahu Lee Tuck dan Bruno Suzuki sahaja tetapi semua pemain. Kau ingat Annas dan Nasriq peluk tubuh saje ke kat pertahanan? Kahar pasang ubat nyamuk kat tiang gol?)

Justeru, dipendekkan cerita, adalah tidak manis jika kita masih mahu mengulang dan mengingat perkara yang sudah lepas. Hikmah dari kehilangan rangkaian import Australia, kini kita boleh tersenyum meleret dengan rangkaian import berbagai etnik yang cukup solid ukhuwahnya. Statistik juga menunjukkan kesemua import baru kita mampu menghasilkan gol. Apa lagi kita mahu?

Menjadi tanggungjawab Jang untuk merungkai isu ini, mendapat penjelasan dari sumber yang sah dan betul, seterusnya menguburkan terus trauma yang masih berlegar dikepala penyokong. Jangan lagi kita mudah melatah bila terbaca berita-berita yang bersifat provokasi dan  mengusik dari laman-laman media sosial yang tidak pasti kesahihannya. Ada laman sosial yang tidak bertanggungjawab sengaja menaikkan semula isu ini kerana cemburu dengan prestasi kita. Mereka bukanlah mahu apa pun, hanya sekadar TRAFIK, LIKE dan SHARE sahaja. Jang takpa sebab Jang sentiasa betul. Kannnnn?

Jang faham kalau ada anak buah yang marah atau kecewa. Itulah tanda kau semua sayangkan bola sepak Negeri Sembilan. Soalnya siapa yang tak marah, kecewa dan tak sayangkan bola sepak Negeri Sembilan? Tetapi kito ado adat, kito ada budi bahasa, kita ada peraturan. Kalau adat dan budi bahaso pun kito tinggalkan, apo lagi yang ado dalam diri kito? Wang ringgit? Banyak keeee?

Sebenarnya bukan semua benda dan perkara perlu dijelaskan dari A sampai Z. Ada yang perlu disimpan demi kebaikan bersama. Jika menjadikannya rahsia mampu meringankan beban masalah, maka lebih elok dirahsiakan saja. Umpamanya membasuh pakaian kotorlah… takkan kau nak basuh tengah laman rumah, kan?

“Kok paneh dijemur, kok hujan diangkat, kok kering dilipat”

Maka tak manis kalau Jang nak merosakkan kembali kain baju yang dah berlipat. Benda dah jadi lipatan sejarah, baju baru pula dah ada dan begitu cantik sekali buatannya, kita pakailah. Lagipun, peribahasa begitu indah merungkapkan ‘barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang meranalah diri. Nampak?

Seorang pemain walau bagaimana bagus pun diatas padang tetapi tidak mempunyai attitude atau budi pekerti yang mulia maka ianya tidak akan bertahan lama. Bukankah sikap yang baik, budi pekerti mulia dan menghormati adat budaya begitu dekat dijiwa kita? Bodohlah kita jika terus melayan kerenah dan masalah yang berpunca dari sikap semata-mata mahukan gol untuk pasukan. Begitu juga dengan penyokong, tak guna pasukan jadi juara berganda sampai peringkat Asia tapi bila berbual tentang sikap penyokong – serupa tak sekolah.

Soalnya, adakah akan ada pertukaran pada pertengahan musim nanti? Jawapannya ada! Kita ada ramai pemain dan Jang juga diberitahu yang kita perlukan beberapa pemain untuk menambahkuatkan lagi pasukan. Mungkin akan ada beberapa pemain tempatan yang tidak berpeluang diberi masa bermain disini akan dipinjamkan keluar. Ini bagus sebab takkan kau nak duduk diam saja di bangku simpanan sampai habis musim? Kita kene keluar dari zon selesa dan bersaing merebut tempat diluar. Ini adalah situasi menang-menang kepada pemain dan pengurusan.

Adakah import kita akan ditukar? Buat masa sekarang jawapannya tidak. Adakah import kita akan kekal lagi dimusim depan? Jawapannya; bergantung. Musim masih panjang dan jika prestasi mereka baik hingga habis musim, Jang harap PBNS segera mengikat mereka dengan menyambung kontrak disertakan klausa perlepasan.

Namun jika mereka terbang juga, kita bertenanglah. Pemain memang datang dan pergi, yang kekal disini hanya kita. Kita bersatu dan terus menyokong kerana itulah tugas kita sebagai penyokong.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

2 minggu selepas artikel ini ditulis, PBNS mengambil keputusan menukar Simic.

Sekian.

Jang,

Buapak Bolasepak Beradat

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.