Bola Sepak Terhenti, Tetapi Bukan Pada Semangatnya

Tidak dinafikan bala Covid 19 ini bersifat serangan total. Ramai di antara kita tidak dapat lagi keluar untuk beriadah apatah lagi menyaksikan perlawanan bola sepak ataupun bermain bola sepak. Kesan Covid 19 begitu jelas impaknya pada ekonomi, sosial dan bola sepak dunia. Kerajaan Malaysia telah mengumumkan beberapa pelan seperti tangguhan enam bulan pembayaran pinjaman dan sebagainya. Sebagai seorang bukan pakar ekonomi tapi ramai kenalan dari golongan mereka, abang Tom faham tujuan benda ini diadakan. Ini sebenarnya bukanlah berita gembira malah bibit-bibit kemelesetan ataupun recession dalam bahasa Kuala Pilah kemungkinan besar akan berlaku. Begitu besar impaknya Covid 19 ini terhadap seluruh umat manusia.

Bola sepak juga tidak dapat lari dari rasukan Covid 19. Kalau tidak semua hampir sembilan puluh peratus perlawanan bola sepak dunia telah dihentikan. UEFA juga telah memutuskan untuk melambatkan UERO 2020 kepada 2021. MFL juga tidak ketinggalan. Kesemua liga tempatan telah dihentikan. Desas desus kemungkinan liga akan dibatalkan juga telah mula kedengaran. Bola sepak mungkin tidak lagi akan sama selepas ini. Bak kata orang Senaling, there are two sides of the same coin. Ini mungkin berita baik pada pasukan yang tidak bermula dengan baik dan berita kurang enak pada pasukan yang sedang cantik momentumnya. Ataupun sebaliknya.

Begitulah juga kesannya pada bola sepak tempatan. Kita sudah dengar berita-berita masalah gaji tidak berbayar. Bayangkan bila stadium penuh pun ada pasukan yang tidak mampu melunaskan tanggungjawab mereka kepada pemain. Inikan pula tanpa income daripada tiket. Mungkin juga pihak sponsorship sudah mula menimbang tara untuk mengurangkan harga pembayaran mereka. Ada pasukan akan terkesan teruk kerana terlalu berharap pada penaja untuk bayaran gaji pemain-pemain import mereka. Ada pasukan mungkin tidak mengalaminya. Jadi apakah persediaan kita dan kelab untuk membantu pasukan kita nanti apabila bola sepak bermula semula nanti?

Ini bukan kali pertama bola sepak diuji sebegini. Pada tahun 1914 sehingga 1918, Liga Perdana Inggeris pernah terhenti kerana peperangan dunia pertama. Tetapi pada waktu itu perlawanan memang sudah pun tamat. Jadi tidak ada masalah untuk menghentikan liga dengan mudah. Pada tahun 1939 hingga 1945 sekali lagi bola sepak Inggeris diuji dengan perang dunia kedua. Kali ini sedikit berbeza kerana liga pada waktu itu telah bermula dengan empat perlawanan. Akhirnya kerajaan British memutuskan untuk void kan liga dengan segera seperti yang diharapkan fan Manchester United tetapi bukan oleh kelabnya seperti waktu sekarang. Ini juga pernah berlaku pada Sepanyol ketika perang saudara beberapa tahun sebelum itu. Jelas sama sekali bola sepak boleh terhenti atas sebab yang lebih penting seperti perang, pandemik, akademik dan matematik.

Walaubagai manapun semangat bola sepak tidak pernah pudar. Pada perang dunia pertama, petempuran pernah terhenti seketika dan memberi laluan untuk pasukan British dan Jerman untuk bermain bola sepak di antara mereka di No Man’s Land. Hanya untuk beberapa jam tapi sudah cukup untuk menaikkan semangat para pecinta bola sepak yang sebenar. Begitu juga Liga Waktu Peperangan pernah di wujudkan di England untuk menggantikan Liga Perdana Inggeris. Lagenda Newcastle Jackie Milburn, juga memulakan debutnya pada waktu itu. Malah bola sepak juga telah dimainkan di dalam kem Auschwitz disaksikan dengan pembunuhan kejam. Bola sepak masih lagi boleh diteruskan tanpa mengenal erti bencana dengan semangat yang sama.

Desakan seperti mana pun malapetaka dunia kepada bola sepak, ia tetap utuh sebagai satu medium pembakar semangat dan hiburan untuk umat manusia. Abang Tom yakin bola sepak akan kembali menyinar walaupun mungkin tidak lagi akan sama. Tidak mungkin Tik Tok akan gantikan bola sepak pada waktu petang dan malam minggu. Tidak adil PUBG hadir untuk menamatkan keunggulan bola sepak. Bola sepak mungkin telah terhenti, tetapi bukan pada semangatnya. Ianya bersifat sementara dan akan kembali semula. Mungkin tidak lagi sama ataupun mungkin akan jadi lebih baik. Seperti yang dikhabarkan sebentar tadi, terdapat dua sisi pada syilling yang sama. Diharapakn sisi yang baik jatuh pada bola sepak.

P/S: Betul ke Mat Manchester United gunakan Astro dan selebriti Akademi Fantasia untuk serang Liverpool?  Lemah!

Tom Bombadil

The coolest kid on the block

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *