Bolasepak Hitam Putih

Bola sepak kita tiada warna selain hitam dan putih. Terlalu rigid – tidak boleh dibengkok dan dilentur. Terlalu bermotifkan kalah dan menang, maki dan sorakkan, gaji dan perlembagaan, kejuaraan dan kekecewaan. Bola sepak kita juga terlalu tua dan anti muda. Terlalu berahsia, anti-informasi dan berdendam. Berhakkan dan berantakkan. Bolasepak kita juga tidak pernah ada kepastian lalu dibiar berspekulasi, tertanya-tanya dan garu kepala. Sedikit kebodoh-bodohan dan banyak pula berkepentingan.

Semua ini dikitar dan diputar setiap masa tanpa rasa muak, apatah lagi mual, kepeningan.

Bayangkan liga tanpa garis panduan, pasukan tanpa hala tujuan, penyokong tanpa didikan. Gelap! bagaikan berada di dalam gua yang hanya berdengung apabila mendengar jeritan sendiri, echo! Kita merasa meriah walhal kita berada dimajlis pengebumian. Kita berasa gah walhal ada yang diperah. Tiada persoalan untuk diberi jawapan dan tiada jawapan untuk dipersoalkan.

Aku duduk diteres memerhati pasukan Negeri Sembilan menentang Selangor FA di Paroi. Perlawanan pemanas badan sebelum liga disambung selepas lama berehat dari kepenatan covid dan kepenatan hitam putih (yang telah lama menjadi wabak tanpa dicari vaksin) Aku melihat pemain bermain tanpa rasa tertekan, mungkin kerana ketiadaan penyokong. Sesekali coach Sathia menjerit “what the fuck are you doing there?” memarahi pemainnya yang sedikit terleka.

Aku jadi tersedar. Bolasepak tanpa penyokong memberi lebih aksi dan kepuasan kepada corak permainan. Teres batu membisu lebih memberi ketenangan kepada jiwa. Ini salah dan ganjil tetapi itulah yang aku rasa. Mungkin aku terlalu kecewa – bukan dengan penyokong yang kerap memaki, tetapi segelintir penyokong yang hanya tahu mahu menang, naik liga dan jadi juara. Tiada lain dalam kamus bolasepak mereka. Bukanlah bermaksud aku inzal dengan kekalahan yang memanjang. Tetapi aku teringin melihat pasukan Negeri Sembilan terjerumus ke liga FAM atau amatur kerana ketika itu, hanya yang benar-benar alim dan tawaduk sahaja akan kekal menyokong dan bersama pasukan.

Sebab lagi satu, aku percaya warna boleh ditambah kedalam bola sepak jika kita telah hancur dan kembali menapak dari lembah yang bawah (tiada lembah hina dalam liga, yang hina hanya mentaliti) Pada masa sekarang, kita tidak dapat menambah warna kerana kita dilekakan dengan kehitaman dan keputihan, kejuaraan dan kekalahan, kemakian, KeLuqmanan, kenaturalisasian dan kemelut gaji, hutang dan sponsor. Diulang-ulang sehingga Abang Jamil kau dibangkitkan dari alam baka.

Bolasepak kita suka menunggu. Tunggu la tahun depan. Tunggu la sponsor masuk. Tunggu la jersi keluar. Tunggu la presiden bertukar, tunggu la parti kalah, kerajaan tergolek dan MB baru beri janji palsu, tunggu la semi final, tunggu la Rambo mengamuk, tunggu la ultras buat tifo, tunggu sekejap, tunggulah sampai hujan berhenti, tunggu dalam pelukan asmara ideologi. Tunggu FA jadi FC walhal jadi FZ pun masih bertuhankan hitam dan putih.

Sesekali aku meroyan kerana aku mual tetapi tidak pula rasa mahu muntah, bagaikan ibu tua yang mengandung anak ke 6 dan tidak boleh mengidam, nanti segan dan dikata buang tebiat.

Aku tidak marah kepada bolasepak kita kerana jelas, sukan bolasepak bukan budaya di Malaysia. Ianya lebih kepada cultural appropriation (atau misappropriation) dari Inggeris, umpama orang Melayu makan roti canai dan Cina makan nasi lemak serta Mira Filzah pakai sari. Itu sebab kita hanya kagum bila Leeds kembali ke EPL selepas 16 tahun turun liga. Kita mendabik dada dan menuding jari mengatakan United tidak pernah menang EPL dan berbahas tentang penjenamaan EPL. Kita huhahuha dengan EPL kerana apa? Kerana mereka berwarna warni bagaikan rama-rama yang bebas dari kepompong. Siapa tidak suka keindahan warna pelangi? Walau jauh dikaki langit namun kita puja dan ceria.

Walau pelangi jauh, namun masih boleh dilihat oleh semua orang kerana HAK MELIHAT PELANGI adalah hak semua insan. Mulakan warna pada bolasepak kita dengan memberi hak menonton (secara langsung diTV) kepada penyokong dengan mudah. Tambahkan warna dan keceriaan kepada bolasepak, terima pembaharuan dan jangan hanya berpaksi kepada pasukan senior sahaja. Bolasepak bukan sekadar kalah menang tapi juga pembangunan masa depan.

Oklah, dah meraban.

Jang.

Jang

Buapak Bolasepak Beradat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.