/Bolasepak kita, wajah kita.

Bolasepak kita, wajah kita.

Sudah banyak kali Jang mengulangi motto bolasepak ini yang Jang cedok dari motto asal “filem kita wajah kita” yang digunapakai dalam satu program hiburan TV. Tapi seperti filem juga, orang kita masih mengagungkan filem luar berbanding filem kita sendiri. Tapi Jang masih boleh bersabar lagi dengan filem sebab ianya terlalu luas dan mempunyai berbagai genre. Tetapi tidak kepada bolasepak!

Tak manis kalau Jang nak bercerita hal bola bangsa eropah bila bolasepak kita juga tak kurang meriahnya. Ketika ini sedang berlangsung Piala Supermokh di MSN Bukit Jalil. Adik-adik NFDP kita sedang berjuang membawa nama negara menentang banyak pasukan pilihan seluruh dunia. Kenapa kita tidak turun dan memberi sokongan? Kan Jang dah bagitau dulu, pasukan NFDP ini adalah satu-satunya pasukan yang berjaya buat pemain bangsa inggeris berpeluh mengejar bola. Inilah satu-satunya pasukan yang membuat malu kepada banyak akademi bola di eropah. Inilah satu-satunya pasukan yang bakat mereka diasah dan dipantau sedari kecil.

Bukankah itu yang kita mahukan selama ini? Bukankah ini semua cita-cita dan impian bolasepak kita? Jadi kenapa bila pasukan ini sudah ada, dan sedang bertarung di bumi tercinta ini, kita buat tak peduli dan masih mahu berbicara hal bola eropah? Mana budi bahasa kita?

Ketika ini juga, pasukan Kodah dan Selangor sedang bersiap untuk perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung sabtu ini di Shah Alam. Ramai penduduk akar umbi Kodah sedang bergembira dan tak sabar hendak turun ke Shah Alam. Mereka gembira bagaikan baru lepas menuai padi yang sedang masak dan menjadi. (tak ramai tau feel tuai padi yang sedang masak dan menjadi sebab tau beras tiba-tiba ada di pasaraya)

Jang baca dan lihat didada akhbar kemeriahan ini dan sebagai peminat bolasepak sejati yang mendahulukan bola dari pasukan, Jang ikut merasa debarannya. Kenapa tidak kita semua raikan kemeriahan ini? Jang dah bagitau dulu, kita minat bolasepak dulu baru kita pilih pasukan negeri kita, jadi bila bukan pasukan negeri kita yang layak, tak semestinya kita tak boleh meraikannya. Inilah namanya kemeriahan bolasepak dan untuk melihat bolasepak kita sedap, kita mesti mejadi sebahagian dari kemeriahan itu. Tak kisah la kita puji, sindir, kutuk, maki dan sorak, semua ini mesti ada untuk jadikannya sesedap rasa.

Bolasepak nun jauh di tanah eropah yang takda kene mengena dengan kita pun kita meriahkan, kenapa kita nak berkira dengan bolasepak di tanahair sendiri? Kita sanggup bangun dan berjaga sepertiga malam untuk melihat bolasepak eropah, kenapa kita nak berkira dengan bolasepak di MSN atau stadium Shah Alam?  Sedih Jang dengan nasib bolasepak kita. Kadang-kadang Jang tak faham dengan kehendak peminat bolasepak Malaysia, tapi Jang selalu diamkan sebab Jang percaya pada selera masing-masing. Ikut hang la nak lagu mana.

Bila sebut tentang kemeriahan bolasepak kita, Jang teringat pada acara FIESTA MEDIA IDOLA yang dianjurkan oleh Tengku Muda Pahang dan diadakan di Kuantan, Pahang. Ianya satu program sukan diantara artis menentang pihak media. Jang harap Tengku Muda dapat anjurkan lagi program sebegini. Jang dengar penduduk seluruh negeri Pahang begitu gembira dengan kemeriahan program tersebut. Khabarnya Azammudin Akil pun menyedari bakat bolanya ketika menonton perlawanan diantara pasukan KRU menentang wartawan. Entah ya entah tidak..Jang pun tak pasti.

Hmmmmmm….