/BOXING DAY: Keunikan Bola Sepak Inggeris

BOXING DAY: Keunikan Bola Sepak Inggeris

Tanggal 26 haribulan Disember setiap tahun akan diadakan perlawanan yang dikenali sebagai Boxing Day Match. Perlawanan ini sering kali ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak Inggeris baik di England mahupun di luar negara tersebut. Mungkin ianya bukan suatu yang fancy pada peminat bola sepak sepak tanah air, tapi di kepulauan Great Britain ianya merupakan perlawanan yang penting. Jadi apa yang unik tentang Boxing Day ini? Kenapa ianya hanya ada di Great Britain dan bekas negara jajahanya tapi tidak di negara lain? Biar abang ceritakan satu persatu, korang hanya perlu tenang dan baca.

Tarikh ini di Asia Tenggara lebih dikenali sebagai tarikh terjadinya kejadian tsunami yang mengorbankan ramai manusia di Acheh, Thailand dan kepulauan Hindi. Ianya juga dikenali sebagai Black Friday versi Great Britain bagi para wanita di sana (Pada hari tersebut harga barang sangat murah). Manakala bagi peminat bola sepak, Boxing Day dikira sebagai unik kerana terdapat perlawanan bola sepak pada waktu cuti umum sehari selapas hari Natal. Boxing Day bermaksud hari membuka hadiah. Bukan hari bertumbuk seperti jawapan kawan abang Tom bila ditanya tentang apa itu Boxing Day dengan yakinnya.

Ianya bermula dengan perlawanan Sheffield menentang Hallam pada tahun 1860 (Kepada siapa yang tidak tahu, Sheffield dan Hallam diiktiraf sebagai kelab bola sepak tertua di dunia selepas kelab Sungai Ujung). Tradisi ini diikuti oleh kelab-kelab lain sehinggalah ke hari ini. Biasanya, perlawanan Boxing Day ini akan diadakan dengan derby match sebagai contoh Liverpool menetang Everton, Arsenal menentang Spurs dan sebagainya. Namun, kerana fixtures sudah ditetapkan secara rawak menggunakan komputer, jarang-jarang kita mendapat perlawanan Boxing Day yang kita idamkan pada liga perdana Inggeris zaman kini. Oleh sebab itu juga, abang masih tak faham kenapa Jose Mourinho masih menuduh kelab-kelab lain mendapat jadual yang senang pada bulan Disember tidak seperti kelabnya.

Boxing Day ini khas untuk sukan bola sepak sahaja ke? Untuk pengetahuan adik-adik sekalian, sebenarnya Boxing Day tidak terikat pada bola sepak sahaja. Ada juga sukan lain seperti ragbi dan kriket malahan hoki ais, bergantung pada populariti sukan tersebut di tempat masing-masing. Tarikh Boxing Day jatuh pada musim sejuk, jadi tidak logik pula orang di England untuk bermain boling padang ataupun kriket pada waktu itu. Mungkin Boxing Day di Australia dan New Zealand lebih sesuai untuk bermain kriket dan boling padang.

Bagi pengurus pasukan yang bukan berasal daripada England, biasanya mereka akan merungut tentang perlawanan ini. Mereka mengatakan perlawanan ini akan mengakibatkan pemain mudah penat dan kecederaan senang berlaku. Kelab-kelab Eropah lain akan berehat pada waktu ini, ianya dikenali sebagai winter break. Malahan ada yang mengatakan walaupun kelab-kelab liga perdana Inggeris dibarisi pemain-pemain bertaraf dunia, masih tidak dapat beraksi baik di pentas Eropah kerana kepadatan jadual pada bulan Disember.

Oleh demikian terdapat beberapa pihak yang cuba memberi cadangan untuk memansuhkan Boxing Day ini di liga perdana Inggeris. Ironinya, jika dibandingkan daripada kapasiti bilangan kelab yang memenangi kejuaraan Eropah, ianya di dominasi oleh kelab-kelab England dan mendapat tempat kedua paling banyak menguasai kejuaraan Eropah dibawah Sepanyol (Berkongsi dengan Itali).

Manakala padangan abang Tom yang mengutamakan tradisi di dalam bola sepak, Boxing Day perlu diteruskan. Sebagai pemain bola sepak yang bermain di England, abang Tom yakin mereka professional dan bersemangat untuk bermain pada bila-bila masa. Cuma pengurus kena lebih bijak dalam menguruskan kesebelasan utama apabila tiba bulan Disember. Jika Negeri Sembilan pun boleh rotate pemain dan menang dengan Selangor inikan pula Manchester United yang belanja beratus juta tidak boleh menukar-nukar pemain mereka. Betul ke tak ni?

 

P/S: Kalau kat Malaysia main Liga Super hari raya kedua orang marah tak?

Tom Bombadil – Windsor Castle, Istana Musim Sejuk, 2017