/WCQ | Brendan Gan, Penakluk Gelora Bung Karno

WCQ | Brendan Gan, Penakluk Gelora Bung Karno

Tahniah Harimau Malaya memenangi perlawanan pertama kelayakan World Cup Qatar 2022. Kita berjaya membawa mata penuh daripada stadium Gelora Bung Karno dengan kemenangan tiga berbalas dua terhadap Indonesia. Perlawanan sengit ini sudah pasti akan meniupkan semangat kepada pemain-pemain dan juga penyokong-penyokong Harimau Malaya ke perlawanan seterusnya. Artikel kali ini abang Tom buat bukan bertujuan untuk menganalisa penuh tentang perlawanan Indonesia menentang Malaysia. Biarlah analisa penuh dibuat oleh Kid, Yat ataupun Jang pada waktu yang lain. Bagi penulisan kali ini abang Tom ingin beri lebih penghargaan terhadap Brendan Gan yang pada penilaian kami bermain sangat cemerlang pada perlawananan malam semalam. Kami di Ultrajang percaya apa yang kami luahkan ini mewakili isi hati semua rakyat Malaysia yang cintakan bola sepak negara.

Sudah lama kita mengeluh tentang Malaysia tidak bermain seperti pasukan bola sepak yang sebenar. Asyik-asyik long ball sahaja, itu yang kita selalu dengar daripada mulut penyokong-penyokong bola sepak negara. Tetapi dalam masa yang sama apabila pemain mula bermain secara sabar dan teratur ramai pula yang maki suruh hantar bola ke depan cepat-cepat. Ini bab lain tapi pada dasarnya bola sepak perlu sesuai dengan zaman dan moden adalah zaman waktu sekarang. Dalam bola sepak moden, posisi defensive ataupun central midfielder perlu wujud untuk mengekalkan fluid build-up sesebuah pasukan bila berada di atas padang. Atas dasar kesedaran itu, Malaysia sudah mula mewujudkan pemain-pemain seperti ini baik di peringkat liga tempatan malah juga di peringkat kebangsaan.

Pemain seperti Akram Mahinan dan Brendan Gan mula menempa nama bagi mengisi posisi tersebut lantas memberi option kepada jurulatih untuk mengaplikasikan taktik-taktik bola sepak moden seperti yang kita selalu lihat digunakan di Eropah. Tugas utama pemain seperti  Brendan Gan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menghentikan permainan pihak lawan dan terus mengatur serangan balas dengan cepat. Sebab itu nama gelaran mereka adalah Anchorman. Simple pass, control the tempo dan memastikan setiap posisi berada dalam keadaan sedia untuk tugasan masing-masing. Oleh sebab ini, keharmonian build-up sesebuah pasukan akan terhasil. Maka tiada lagi sepak bola lambung ke depan dan tunggu striker sepak bola ke gawang gol.

Namun jika kita lihat pada separuh masa pertama, tugas pemain tengah Malaysia di atas padang tidak  seperti yang diterangkan di perenggan sebelum ini. Jika perlawanan berakhir pada waktu ini maka kita semua boleh katakan tiada build-up yang wujud langsung kecuali bola lambung terus kepada Safawi Rasid ataupun Norshahrul Idlan Talaha sahaja (Bukan bermaksud salah mereka tapi salah pada taktik). Kita juga sudah tahu pengakhirannya bahawa bola tersebut akan dapat kembali kepada pihak lawan. Pihak Indonesia sentiasa mengasak pertahanan Malaysia sehinggalah gol pertama mereka dapat dihasilkan oleh Beto Goncalves. Walaupun ketinggalan, Brendan Gan masih tidak lupa akan tugas sebenar beliau iaitu untuk menghentikan permainan pihak lawan setiap masa. Pada firasat abang Tom, di sinilah kesilapan Indonesia bermula kerana Brendan Gan berjaya membuat pemain-pemain tengah Indonesia penat.

Mereka tidak sedar dengan situasi ini dan masih menyerang dengan sepenuh tenaga. Selepas gol pertama, Malaysia masih lagi diasak tanpa belas kasihan namun ianya banyak kali dapat dipatahkan. Apabila bola hilang Brendan Gan cepat-cepat datang untuk collect bola tersebut dan sentiasa berlegar-legar di bahagian tengah untuk memastikan fluid build-up Malaysia akan terhasil jua. Pada minit ke 37, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan satu sama hasil jaringan Mohamadou Sumareh dengan kuisan cantik menewaskan penjaga gol Indonesia Andritany Ardhiyasa. Sayangnya selang beberapa minit kemudian Indonesia menjaringkan gol kedua hasil gerakan solo Beto Goncalves. Keputusan berakhir dua berbalas satu pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua Indonesia sudah mula kelihatan penat. Pada waktu ini Brendan Gan adalah raja di atas padang. Build-up Malaysia makin jelas kelihatan dan Indonesia tidak dapat bermain dengan baik. Hantaran-hantaran mereka selalunya tidak sampai ataupun dipintas dengan mudah. Garuda bagaikan dicabut sayapnya. Hal ini disedari sendiri oleh penyokong-penyokong mereka dengan tiada lagi kedengaran sorakkan gemuruh daripada penyokong-penyokong berbaju merah. Manakala lagu Ekor Harimau Sejati lebih didengari oleh kami mat-mat TV di rumah masing-masing. Pada minit ke 66, Syafiq Ahmad menanduk masuk bola hasil hantaran cantik Safawi Rasid. Pada waktu ini, kami di Ultrajang sangat yakin permainan akan berakhir antara menang ataupun seri. Indonesia hanya mampu berharap wisel ditiup secepat mungkin dan kemasukan Akhyar Abdul Rashid telah mengeruhkan keadaan.

Gol kemenangan dijaringkan pada minit-minit akhir perlawanan oleh Mohamadou Sumareh hasil hantaran Matthew Davies yang dimulakan oleh tidak lain tidak bukan dari our number six Brendan Gan. Penilaian kami tentang Brendan Gan masa perlawanan menentang Jordan tempoh hari ternyata benar. Mohamadou Sumareh tanpa bantahan adalah man of the match untuk perlawanan malam semalam. Nevertheless, Abang Tom memilih Brendan Gan pula sebagai man of the moment untuk penulisan kali ini. Dia telah Veni, Vedi, Vici kan stadium Gelora Bung Karno seperti seorang penakluk zaman silam. Walaupun dia bukanlah pure Malaysian, abang Tom yakin hatinya seratus peratus berjiwa Malaysia. 

-Tom Bombadil, peminat kumpulan Dewa 19-