/Bukan Lionel Messi Tapi Jepun Yang Bakal Gegarkan Copa America!

Bukan Lionel Messi Tapi Jepun Yang Bakal Gegarkan Copa America!

Assalammualaikum, salam sejahtera, salam seantero dunia Alep ucapkan kepada bangsa bola sepak all around the world. Alep datang lagi, kalini dengan sebuah artikel sensasi yang membawa pendapat genius yang menyanggah norma kefahaman bola sepak biasa. Esok 15 Jun 2019, korang tau apa maknanya tu? Maknanya esok tepat pukul 8 pagi waktu Malaysia (Harini!) sebuah pasukan gergasi Asia bakal turun bertandang ke Brazil untuk kejohanan picisan bernama Copa America, sebuah kejohanan yang mengumpulkan pemain yang hebat sedikit saja daripada Mat Yo seperti Luis Suarez, Lionel “Botol” Messi, Alexis Sanchez dan ramai lagi orang benua Amerika Selatan yang Alep ingin nak tahu. Ramai yang dah label kejohanan ni sebagai “Messi’s Farewell”, peluang terakhir untuk Messi menonjolkan magisnya (Sebelum mungkin akhirnya dia kalah final lagi, mungkin lah). Tapi terus terang Alep cakap, bukan Messi yang bakal gegar Brazil tapi Jepun!

“Hah? Jepun? Kau biar betul lep?”

Eh apa pulak tidak? Jepun power apa? Memang lah mereka kalah final Piala Asia tapi pasukan mana je yang tak ada “off day”? Kebetulan ja Qatar menang, itu pun dengan pasukan muda yang dipersiapkan untuk Olimpik. Sengaja Jepun tak turunkan skuad Piala Dunia kerana mereka tahu bakal menang mudah, jadi biarlah anak anak muda Jepun yang menggalas tanggungjawab sebagai Samurai Biru dibumi Brazil nanti. Korang mungkin tertanya tanya, macam mana Jepun nak menang? Kagawa takde, Keisuke Honda takde, Hasebe takde, Nagatomo takde, Maya Yoshida pun takde!

Kenapa mereka tak dipanggil? Simple, sebab ubi muda sedia ada lagi power daripada kuda tua diatas. Kagawa takde? Dah lupa ke Jepun ada Wonderkid bernama Ritsu Doan? Takde Hasebe? Gaku Shibasaki ada, Maya Yoshida takde? Jepun masih ada Tomiyasu dan Gen Shoji. No Honda? No problem, Okazaki ada. Dan yang paling hebat sekali, Jepun bakal diperkuatkan dengan wonderkid Real Madrid, pemain yang bakal menghantar Messi, Suarez, Neymar (Eh, Neymar memang dah balik) pulang menangis teresak esak seperti anak kecil, Takefusa Kubo. Siapa Takefusa Kubo? Hmmm tak manis kalau korang memilih untuk jadi katak dibawah tempurung dalam zaman teknologi dihujung jari. Mungkin korang boleh menonton Youtube atau Highlight reels seperti mana dilakukan oleh penyokong United bila dapat tahu pasal Daniel James.

Rasanya kita semua sudah maklum dengan kebolehan teknikal pasukan Jepun, mereka adalah pasukan yang berdisiplin, bermain bola menggunakan akal serta yang paling penting, mempunyai mentaliti yang cukup jantan, sanggup bertumpah darah (ok tak tapi faham faham je lah) dan tak mungkin akan menyerah sehingga ke tiupan wisel terakhir. Ternyata semangat Captain Tsubasa sudah meresap terlalu jauh kedalam jati diri anak anak muda Jepun sehingga membentuk DNA yang sangat digeruni. DNA yang nampaknya tidak wujud dalam pasukan Amerika Selatan yang kaleng kaleng seperti Argentina atau Brazil yang lebih berminat menjatuhkan diri dan berguling guling daripada bermain bola sepak seperti lelaki sejati. Pendek kata, Alep akhiri artikel ini dengan kenyataan berani mati. Jepun akan menang Copa America dan Messi bakal kempunan sekali lagi!

Jepun datang bertandang ke Brazil,
Pergi ke Sao Paulo membeli kuaci,
Usaha dan kehebatan Samurai sudah pasti berhasil,
Habislah pasukan lain kena ike ike kemochi!

Oleh: Alif Azizan