/Bukan LTK yang cipta Kroos dan Muller di Jerman

Bukan LTK yang cipta Kroos dan Muller di Jerman

Mula-mula Jang biarkan sahaja berita-berita LTK yang tiba-tiba mencanak naik dalam banyak portal berita sukan dan bukan sukan. Jang dah malas nak baca dan ambil port. Bagi Jang, cukup artikel-artikel lama yang Jang dah tulis tentang NFDP semenjak 2015. Tidak perlu analisa lagi. Tapi hati lelaki bola sepak Jang ini tidak puas kalau Jang tak klik dan baca untuk mengetahui apa yang ‘trending’ tentang LTK. Jelas, ianya masih hal lama yang direcylce dan diputar kembali tanpa rasa bersalah. Lebih mendukacitakan, ada yang kata LTK dijadikan buah catur dalam peperangan diantara dua kuasa besar di Malaysia.

Jadi Jang terpaksa mengulas dan menulis semula tentang LTK, NFDP dan pembangunan mengikut pandangan Jang sendiri.

1.LTK mangsa politik

NFDP dan LTK adalah satu idea recycle atau penjenamaan semula yang dibawa secara total oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Samada ianya secara ikhlas atau untuk politikal mileage, itu nombor 20. Nombor satunya, apabila ianya diangkat oleh seorang ahli politik, maka ianya berisiko untuk ditendang keluar mengikut jangka hayat politik orang tersebut. Ini fakta dan budaya politik di Malaysia yang kita semua tak perlu nak geleng kepala. Semua lantikan baru akan bawa idea mereka pula, atau sekurangnya, mereka akan rebranding semula. Pertama, untuk mengurangkan jenama KJ dalam NFDP dan kedua untuk bawa nama mereka pula. Contohnya, Tun M dengan Wawasan2020 dan Najib sailang dengan idea T50. Mujur Tun M pangkah balik. Phew! Itu belum cerita F30, Next50 dan sebagainya. Hurmmm.

2. Bukan LTK yang mencipta Muller dan Kroos.

Ramai yang mempertahankan LTK dan mahu beliau dikekalkan menerajui NFDP. Bagi mereka, ilmu LTK perlu diperturunkan sepenuhnya kepada pembangunan bola sepak negara. Pengalaman LTK di Munich dijadikan alasan kukuh untuk menjadi aset penting pembangunan. Nama pemain ternama seperti Tony Kroos, Thomas Muller dan Philips Lahm dipetik sebagai bintang yang dilahirkan oleh LTK semasa menjadi jurulatih akademi di Bayern Munich. Bagi Jang, ini hanyalah separuh betul. Memang LTK latih mereka tetapi yang menjadikan mereka berjaya dan bintang ialah sistem bola sepak di Jerman yang sehat dan maju. Sebelum LTK ada di Jerman lagi mereka telah lahirkan ramai bintang. LTK boleh jumpa 10 orang Kroos, Muller dan Lahm di NFDP tetapi adakah mereka akan menjadi bintang dengan sistem bola sepak kita yang kecil dan bersifat semusim ini? Untuk rekod, setiap tahun kita dah lahirkan ramai pemain muda berpotensi dan cemerlang lama sebelum NFDP dan LTK diwujudkan tetapi akhirnya pemain ini kendur sebelum orgasm. Kenapa? 

Jadi, sistem bola sepak kita hendaklah diperbetulkan dahulu, peluang mestilah diperbesarkan, liga mestilah tip top, sponsor berebut masuk tak nak keluar-keluar. Masa itu, LTK jalan tak pakai seluar pun kita tak kisah dah. Sekarang ini pool of player kita lebih besar dari keperluan liga. Jadi nak lahirkan lebih ramai pemain untuk liga yang kecil nampak seperti menganiaya pemain muda.

3. Siapa mati dulu, Do atau Minah?

Bagi Jang, jika sistem yang dibawa oleh LTK adalah sistem yang benar dan boleh melahirkan ramai bintang, maka sesiapa pun boleh menggantikan LTK. Tiada sistem yang terlalu bergantung kepada hanya seorang individu. Jika ada, itu bukan sistem, itu rahsia awet muda. Sebuah sistem mestilah bersifat mampu berdiri dengan sendiri dan mampu diajar dan dikawal oleh oang lain. Kita jangan terlalu bergantung kepada LTK sangat atau dengan sesiapa pun. Bagaimana jika LTK dipanggil mengadap Tuhan? Sistem corrupted? Sistem of a Down? Sistem kaput? Password gone? Takda password recovery? Takda buat Disaster Recovery ke?

Setiap sistem ada ESC plan. Setiap sistem yang bagus tidak boleh jadi sempurna kerana ianya mesti boleh diupgrade. Bola sepak Malaysia mesti berhenti dari terlalu bergantung kepada seseorang individu sahaja kerana ianya umpama menggunakan satu password untuk semua jenis akaun. Akaun bank, akaun gmail, akaun FB, akaun twitter, akaun IG. Bila lupa password, habis semua benda hilang dan menggelabah.

Jadi, NFDP mestilah ada sedikit maruah dan ketegasan juga. Jangan la nampak sangat macam NFDP ini dicipta untuk tarik LTK balik Malaysia dan akan mati bila ditinggalkan LTK. Buat la back up sistem yang solid. Walau bagaimana besar pun jasa dan ilmu, takkanlah LTK akan menjadi lebih besar dari NFDP? Sir Alex Ferguson dalam ucapan terakhir beliau ada mengatakan, “tiada individu lebih besar dari kelab” kerana mahu kelab Manchester United move on, bukan bersedih mengenang jasa beliau.

Jika NFDP mati selepas ditinggalkan oleh LTK, bermakna sistem yang dibawa oleh LTK selama ini adalah sistem yang gagal. Sistem yang baik, mesti boleh diteruskan dan diupgrade oleh engineer lain pula. Tetapi Jang secara perbadi anggap, LTK datang bukan sekadar bawa sistem, tetapi sikap. Bila bercakap hal sikap, Jang angkat tangan, Jang kalah!

4. LTK ke JDT?

Pergilah. Bagus juga untuk lihat pembangunan yang sehat bermula dari sebuah kelab, bukan negara.

5. Adakah LTK aset atau liabiliti?

Inilah sebenarnya persoalan yang selalu bermain difikiran Jang, bukan hanya kepada LTK, malah kepada ramai lagi figura bola sepak negara kita. Jang selalu ingin tanyakan kepada ramai orang, adakah si polan dan si polan ini aset atau liabiliti kepada bola sepak negara? Jika aset, apa yang dibawa dan apa yang dijananya? Jika tidak menjana, sebaliknya menghancurkan, maka itu sah liabiliti. Contohnya, mungkinkah dengan ketiadaan seseorang individu itu, bola sepak kita akan jadi lebih meriah, lebih kaya dan lebih bermaruah? Hmmmm. jika ini didebatkan, maka siang malam lah media sosial pungpang pungpang berkenduri pendapat. Masak!

Jadi adakah LTK aset atau liabiliti? Bagi Jang secara peribadi, LTK adalah aset tetapi jika tidak digunakan dengan betul, dia akan menjadi liabiliti. LTK adalah aset tetapi jika beliau menarik lebih banyak bad news, maka dia adalah liabiliti. Setiap aset ada susut nilai, jadi bagi Jang, LTK mesti dilepaskan sementara ada harga. Mesti dilepaskan dengan baik sebagaimana kita jemput dahulu. Jangan masa kita mahu khidmat beliau, kita bentang kapet merah, masa tak nak, kita halau tanpa maruah. Itu bukan sikap terpuji.

Jika mahu kekalkan LTK, janganlah diikat kakinya dan dijadikan buah catur.

Jang,
Minat Lim Teong Kim era 80an dan 90an..

 

Buapak Bolasepak Beradat