/Bukan Tentang Mat Zan

Bukan Tentang Mat Zan

“Tidak ada individu yang lebih besar dari pasukan dan tidak ada pasukan yang lebih besar dari Manchester United” – begitulah kata-kata keramat Sir Alex Ferguson yang cukup berbisa dalam ucapan terakhir beliau di Old Trafford. Selepas era Ferguson berakhir, United dibawa pula oleh David Moyes untuk meneruskan kegemilangan pemerintahan Ferguson. David Moyes diberikan kontrak selama 6 tahun, sesuatu yang luarbiasa dalam liga Inggeris, tetapi memberi signal akan keyakinan Ferguson dan United terhadap Moyes. 6 tahun bermaksud beliau diberi cukup masa untuk melakukan pembangunan dan pembentukan mengikut acuannya sendiri. Lagipun, United , dibawah pembangunan Ferguson, memang terkenal menaikkan nama baru seperti The Class of 92.

Belum cukup haul lagi, United mengambil langkah drastik menamatkan kontrak David Moyes kerana prestasi pasukan United ketika itu dianggap buruk. Tidak sampai 365 hari dari 6 tahun. Kenapa? Sebab dalam bola sepak moden yang berasaskan keputusan menang, kalah, pasaran market dan tekanan penyokong, United tidak mampu lagi terus mempertahankan Moyes. Moyes harus dilepaskan untuk meredakan ketegangan dikalangan penyokong. Moyes dianggap gagal.

Tugas pengurus kemudian dipangku secara sementara oleh Ryan Giggs sebelum Jose Mourinho mengambil alih. Selepas 2 musim, Mourinho juga mendapat nasib yang sama dan diganti oleh Ole Gunnar Solsjaer. Prestasi United semenjak 2014 sehingga 2019 (6 musim) terus terumbang ambing dan menjadi bahan jenaka liga Inggeris.

Tiada tangan ghaib

Rata-rata penyokong benci dan menyalahkan Ed Woodward, Ketua Pegawai Operasi Manchester United. Beliau memang seorang yang lemah dan amatur dalam selok belok mengendalikan sebuah kelab bola sepak, apatah lagi sebesar Manchester United. Ed Woodward pada asalnya hanyalah seorang banker yang mengendalikan urusan pembelian United oleh Glazers family dari USA. Agaknya Glazer nampak kebaikkan Woodward ini lalu menawarkan beliau jawatan CEO merangkap wakil mereka kerana sepanjang tahun, Glazer hanya duduk rumah di Amerika.

Bagi Glazer, kedudukan kewangan, untung dan rugi adalah lebih penting berbanding kejuaraan. Jika jadi juara, kira bonus dan dia bertambah seronok. Justeru, Ed Woodward adalah CEO yang baik kepada syarikat walau menjadi bahan jenaka dalam transfer market. Ed Woodward tidak akan disembelih tetapi leher jurulatih atau pengurus sentiasa tersedia untuk disembelih jika berlaku kegagalan. Begitu juga dengan pemain-pemain yang rata-rata merasa selamat dan sentiasa membuat pakatan menentukan hala tuju pasukan jika mereka merasakan telah hilang rasa hormat kepada pengurus.

Pogba secara terangan merasakan beliau lebih berkuasa dari Mourinho. Dia hanya akan bermain cemerlang apabila Mourinho diberhentikan. Pogba membuat pakatan bersama pemain lain, menekan pengurusan dan Mourinho dengan memberi persembahan buruk selagi Mourinho tidak dinyahkan. Hal ini juga terjadi semasa Mourinho di Chelsea apabila pakatan Lampard dan John Terry lebih menguasai bilik persalinan. Hal ini terjadi dimana-mana kelab dalam dunia bola sepak yang berteraskan keuntungan dan pakatan.

Moral of the story; Dalam bola sepak serba segera dan berasaskan menang kalah, masa dan peluang hanya ada jika kita bersama pasukan pembangunan Bawah 8,9,10 sehingga 15 sahaja.

Jang,
‘Les Diables Rouges’.

Buapak Bolasepak Beradat