/EKSKLUSIF: Apa yang ada pada Shalin Zulkifli (dan tiada pada kebanyakan ahli sukan lain)

EKSKLUSIF: Apa yang ada pada Shalin Zulkifli (dan tiada pada kebanyakan ahli sukan lain)

Melihat kepada beberapa siri ‘kegagalan’ atlet/pemain dalam acara sukan masing-masing (diperingkat Kebangsaan atau Asia) memaksa Jang menukilkan artikel tentang Psikologi Sukan. (kegagalan adalah satu perkataan berat tapi Jang tak jumpa satu kata nama ganti yang sesuai). Psikologi sukan ini juga bukanlah hal ringan-ringan yang mampu Jang ulas melalui pemikiran Jang sendiri, kerana dia macam agama juga, kalau memberi pendapat melalui pemikiran sendiri tanpa rujukan, dikhuatiri akan menyesatkan. Sesungguhnya sesat itu neraka. Kan?

Mengikut pembacaan Jang, psikologi sukan ini bukanlah satu benda baru. Ianya telah lama dan sama wujud bersama lelaki pertama yang bertanding dalam sukan Olimpik di Greece. Kajian pertama tentang psikologi sukan pula dilakukan oleh Norman Triplett pada tahun 1898. Kemudian banyak lagilah kajian, penubuhan dan penemuan yang menguatkan lagi teori psikologi sukan ini sehinggalah ianya diperkenalkan di Malaysia diawal 1980an dalam kursus Pendidikan Jasmani di Universiti Pertanian Malaysia. (sumber: eyubackoff.blogspot)

Apabila melihat prestasi pasukan Negeri Sembilan di liga Super, pemain badminton kita yang tidak menyerlah di Sukan Asia dan pasukan Sepak Takraw kita yang tidak lagi menggerunkan seperti dahulu, Jang terfikir, secara amnya tidak mungkin kita ketinggalan dari segi skil, stamina, fasiliti, latihan, gaji dan pemakanan. Malah kita adalah kuasa besar dalam ketiga-tiga sukan tersebut sebelum ini. Jang melihat ada satu pattern yang kita telah tiada atau tidak diperkuatkan iaitu aspek psikologi. Kita kalah sebelum masuk gelanggang, kita menyerah sebelum menentang, kita pasrah dengan kegagalan, kita duduk bersimpuh tetapi jauh dibelakang.

Kali pertama Jang melihat ‘psikologi sains’ ialah ketika pemain bowling ternama negara, Shalin Zulkifli didalam satu perlawanan akhir secara live dikaca televisyen lama dahulu. Jang tak ingat tournament apa tetapi ianya berlangsung di luar negara. Kanada atau Madrid atau England, tak ingat. Hanya tinggal 2 pemain sahaja untuk merebut title juara. Hampir kesemua penonton dimasa itu menyokong pemain lawan dan mereka berada betul-betul dibelakang pemain. Skil balingan dan menjatuhkan pin kedua pemain adalah sama tetapi Jang lihat satu perkara yang ada pada Shalin dan tiada pada pemain lawan – determination untuk menang.

Sangat jelas dikaca TV, (Jang terpaksa menggunakan ayat paling sesuai disini) ;- Shalin just dont give a damn to the opponent, their fans or country. Shalin hanya fokus pada lane dia sahaja. Masa itu Jang lihat Shalin bagai berseorangan dalam dunia dia sendiri. Mungkin sedikit berlebihan, tetapi bagi Jang perlu ada sedikit rasa angkuh dan menganggap pemain/pasukan lawan adalah hina. Dalam kes Shalin, Jang nampak aura ‘I’m the best, you are nothing to me’ sehingga perlawanan tamat dan Shalin dinobatkan sebagai juara dengan beza jatuhan pin yang minimal. Maknanya yang membuatkan Shalin menang adalah mental dia kerana semua pro bowlers adalah lebih kurang sama, kecuali hero Jang, The Dude dalam filem The Big Lebowski.

Semalam, buat pertama kali Jang menghubungi Shalin untuk mengesahkan dan bertanya tentang ‘kelebihan’ itu.

Saya memang suka sports psychology dan saya apply apa yang saya belajar pada diri saya sendiri” ujar Shalin memulakan perbualan.

“Perlukan banyak kerja dan latihan untuk menguatkan mental kita, kita belajar dari kesilapan kita sendiri. Saya tidak boleh komen bagaimana atlet lain tetapi bagi saya semangat patriotik itu perlu berkobar-kobar dalam diri. Secara peribadi saya memang suka sports psychology kerana ianya adalah subjek utama saya dalam pengajian ijazah Sains Sukan. Saya juga tidak kata ianya mudah tapi maa benda lain juga, insyallah kita boleh lakukan”

Menjawab soalan Jang, adakah atlet zaman kini dengan latihan sukan yang telah dimodenkan menyebabkan pendekatan dan cara latihan menjadi sedikit manja kepada mereka, Shalin menjawap;

“Di zaman atau era mana sekalipun kita dilahirkan atau dibesarkan, ianya tidak menjadi kisah kerana bukan itu penentunya. Ianya menuntut jumlah masa, usaha, kesungguhan dan pengorbanan yang sama. Disetiap zaman, ada sahaja atlet yang sambil lewa. Mental game perlukan masa untuk menjadikannya kuat, ianya tidak mungkin terjadi dengan ajaibnya. Sama seperti skil, perlu diasah untuk menjadikannya hebat”

Nah! psikologi dan kekuatan mental ini sangat-sangat penting. Perhatikan pada mana-mana atlet yang berjaya, nescaya kita akan dapat melihat kekuatan mental dan jiwa mereka kerana psikologi ini adalah benda yang boleh diterjemah melalui gaya mereka. Mengambil contoh, lagenda sepak takraw negara, Adnan Saidin dizaman gemilangnya, beliau begitu digeruni lawan. Libasan maut beliau telah menghantar ramai pemain ke hospital kerana ianya terlalu kuat. Adnan Saidin, dengan misai tebalnya, melibas bola bagaikan mahu memecahkan lantai konkrit pasukan lawan. Siapa sanggup naik untuk memblok, dipersilakan tapi ingat! telah ramai yang sesak nafas, kulit bedarah, muka pecah akibat hentaman bola rotan yang cukup berat itu. Secara psikologinya, pasukan lawan sudah gentar dan tahu siapa Adnan Saidin, Raja Sepak Takraw Asia 1986 dan ini satu kelebihan kepada pasukan Malaysia.

Begitu juga dengan Nicole David dan Lee Chong Wei. Selain bakat, latihan keras berterusan, kekuatan mental mereka telah teruji dan mereka sedia berhadapan dengan siapa sahaja pencabar dan mereka masuk ke gelanggang dengan satu tekad, mahu menang. Aspek psikologi sukan ini bukan tidak ada langsung diberi kepada atlet tetapi mungkin pendedahan dan latihan itu belum mencukupi. Dalam kesebelasan utama pemain Malaysia U23, mungkin level kekuatan mental mereka berlainan dan turun naik, tidak stabil jadi keputusan dan gaya permainan juga sentiasa berubah-ubah. Itu belum lagi kesebelasan utama pemain Negeri Sembilan, Jang yang saiko dengan team Negeri Sembilan ini. Mental penyokong pulak yang kene kuat. Hmmmm

Terima kasih Shalin Zulkifli.

*Semasa Shalin menjadi juara Tenpin World Masters 2001 di England, beliau menjadi pemain wanita pertama yang menjadi juara, mengalahkan pemain lelaki dari Finland, Tore Torgerson dengan jatuhan pin 455-450. Komentator berkata “Shalin Zulkifli, showed phenomenal, mental, discipline and toughness to overcome Tore Torgerson”