/EKSKLUSIF! Temubual bersama Kahar, benteng terakhir maruah Negeri.

EKSKLUSIF! Temubual bersama Kahar, benteng terakhir maruah Negeri.

Setelah beberapa musim dibayangi oleh penjaga gawang utama, musim 2017 menyaksikan anak jati kelahiran Felda Kepis kito ini menjadi benteng terakhir pasukan Negeri Sembilan.  Untuk rekod, Kahar adalah pemain paling lama berkhidmat bersama pasukan Negeri Sembilan. Mula bermain dengan pasukan Presiden pada musim 2009-2010 dan kemudian diserapkan kepasukan senior semenjak 2011. Setelah 2 tahun menjadi pilihan ke tiga dan kemudian naik menjadi pilihan kedua pada musim 2014-2016 akhirnya, berkat kesabaran dan usaha berterusan, Kahar dinobatkan menjadi penjaga gawang no.1 Negeri Sembilan.

Jum kita buat percubaan ke gawang beliau.

Jang: Lama Kahar menjadi penjaga gawang nombor dua tetapi Kahar tetap setia menunggu peluang bersama Negeri Sembilan. Bagaimana Kahar begitu yakin peluang akan muncul?

Kahar: (tersenyum) Saya bermula sebagai penjaga gawang ke 3 dan pada waktu itu usia saya sangat muda. Bagi saya waktu itu adalah untuk mencari pengalaman dan melihat serta belajar dari penjaga gol yang lebih berpengalaman. Dulu saya suka melihat kegigihan Farizal Haron berlatih. Dia idola saya waktu itu. Kemudian saya berada dibelakang Badrul Zaman, Helmi Eliza dan Syed Adney. Peluang akan muncul jika saya teruskan usaha dan latihan.

Jang: Bolehkah Kahar anggap sekarang ini Kahar adalah penjaga gawang no.1 Negeri Sembilan?

Kahar: Insyallah. Beri yang terbaik kerana dalam jangka masa panjang kita tak tahu.

Jang: Bagaimana Kahar memulakan  karier sebagai penjaga gawang? Memang nak jadi golkeeper ke semenjak kecil atau bagaimana?

Kahar: (ketawa) Jujurnya masa sekolah dulu minat tu takda pun, saya suka main diposisi atas sebagai attacking player. Masa tu saya sekolah di Teknik Juasseh dan kami takda penjaga gol lalu saya disruh jadi keeper, terus melekat sampai sekarang.

Jang: Maknanya Kahar menjadi penjaga gawang untuk pro saja lah, kalau main petang-petang nak jadi striker?

Kahar: Ya! Hahaha

Jang: Siapa penjaga gawang idola Kahar?

Kahar: Iker Casillas! Saya selalu tengok video beliau sebelum perlawanan.

Jang: Apa Kahar akan lakukan apabila melihat pemain pertahanan seperti leka atau membenarkan pemain lawan melakukan percubaan?

Kahar: Maki jugak! Hahaha. Dalam padang siapa buat mistake, mesti kene tegur. Jangan ambil hati. Masing-masing ada peranan dan kene mainkan peranan tu. Jika saya yang salah, mereka pun akan tegur.

Jang: Penyokong sekarang sudah pandai berkira dengan statistik, clean sheet dan bocor. Adakah semua ini memberi tekanan kepada Kahar?

Kahar: Kadang-kadang pressure jugak. Jika mistake saya, saya akan terima. Kadang-kadang bukan salah saya , tetapi penyokong marah juga dan saya jadi tension. Setiap game yang saya main, dalam otak saya mahukan clean sheet sebab clean sheet ini bermakna kita seri atau menang.

Jang: Ramai penjaga gawang Negeri Sembilan sebelum ini dapat menyarung jersi kebangsaan, apa peluang Kahar?

Kahar: Kalau kita lihat, Negeri Sembilan juga kerap mengambil bekas penjaga gawang Malaysia untuk bermain menjadi no. 1 disini dan itu sebab peluang saya nak jadi no,1 sedikit susah. Hahaha. Tapi insyAllah, saya menunggu juga call up Malaysia.

Jang: Apa nasihat Kahar kepada penjaga gawang muda diluar sana, mungkin kata-kata semangat?

Kahar: Training..work hard, jaga disiplin, lakukan latihan extra. Fokus..ya, fokus penting.  Strength and reflection sangat penting untuk penjaga gol. Kedua ini saling memerlukan.

Jang: Apa harapan masa depan  dan target Kahar sendiri dan pasukan Negeri Sembilan?

Kahar: Tahun ini akan layak ke liga Super dan kalau jadi juara Piala lain tu kira bonus. Saya gembira dengan sokongan penyokong sekarang. Naik bulu roma bila lihat stadium penuh, tapi bila kene maki kecut pulak. Saya kene pandai kawal emosi la.

Jang: Kata-kata akhir..

Kahar: Walau kalah atau menang, teruskan menyokong. Saya bermain  untuk lencana didada saya sebagai anak jati Negeri Sembilan. Sekarang kita ada 8 ke 9 pemain anak jati dalam pasukan jadi saya yakin semua pemain mahukan Negeri Sembilan menang.

Terima kasih dan selamat maju jaya Kahar.