April 24, 2024

EKSKLUSIF! Temubual bersama YAB Menteri Besar Negeri Sembilan yang datang sebagai penyokong berbayar.

4 min read

Harapan untuk melihat aksi pertama Negeri Sembilan bermain cemerlang dibawah jurulatih dan pemain baru terus kempunan apabila diberitahu mereka masih gagal untuk didaftarkan kerana pihak FMLLP (dan kita semua) bercuti panjang sempena kemenangan bersejarah kerajaan Pakatan Harapan. Untuk rekod, kesemua pemain import baru dan coach Mario sampai ke Seremban pada 9hb (Rabu) dan kita terus bercuti sedap hingga Ahad. Jadi Angel dan Rowley tidak dapat diturunkan dan pasukan dibawa oleh jurulatih sementara, Asri Ninggal.

Suka Jang nyatakan disini, waktu pendaftaran baru pemain liga Super untuk jendela perpindahan kedua ini telah berubah iaitu dari 7hb Mei hingga 3 Jun. Seperti biasa, Negeri Sembilan telah mengambil langkah awal dengan menghantar coach Azraai dan Asri ke Filipina untuk melihat dan membeli pemain. Mereka ke Filipina pada awal bulan lepas dan diberitakan Azraai berminat mengambil seorang pemain yang sedang terikat dengan pasukan lain. Kos tebus kontrak pemain dan gajinya agak tinggi untuk ditanggung pasukan jadi pemain tersebut terpaksa dilepaskan. Mengikut sumber yang rapat dan boleh dipercayai, Negeri Sembilan harus mengambil pemain pada kadar segera atau terpaksa melalui beberapa perlawanan mendatang tanpa pemain baru. Mengambil pemain yag sedang diikat kontrak akan mengambil masa (berunding) selain kos tambahan yang tidak relevan.

Atas padang, tidak banyak yang menarik untuk dibincangkan dalam perlawanan menentang Kedah, namun suka Jang nyatakan disini, kemasukan pemain muda seperti Fauzi Latiff, Kalai dan beberapa lagi nama sebagai pemain utama adalah satu tanda positif pasukan. Bagaimana mereka bermain itu cerita lain yang kita semua nampak. Maksud Jang, kekadang Jang sendiri tidak faham kehendak penyokong, mereka mahu pemain muda dan anak jati Negeri Sembilan diberi peluang bermain, diberi perhatian dan sebagainya. Apabila mereka dimasukkan, kita tidak beri mereka peluang langsung! Kalai sampai hilang keyakinan diri dan tidak mahu dimasukkan untuk separuh masa kedua. Apa ertinya semua ini? Kita nak teh o, dan apabila dihidangkan teh o, kita mengamuk baling kerusi kerana teh o kita kurang manis. Sabarlah sikit orang muda. Apa salahnya kita beri sedikit sokongan kepada pemain muda kita agar mereka kembali bersemangat. Mereka masih muda dan dalam proses belajar menjadi pemain matang. Pada masa kritikal ini mereka perlukan sokongan dari kita dan makian serta cacian keras mungkin tidak membantu.

Kepada pemain pula, apabila pasukan telah memberi peluang untuk bermain, gunalah peluang itu sebaik-baiknya. Buktikanlah yang kau ada kualiti untuk menyarung jersi Negeri. Bermainlah bagaikan ayam sabung yang ada taji. Usahalah lebih sedikit dari pemain lain kerana kau masih muda. Jika tidak, tahap permainan dan kemajuan diri tidak kemana.

Bagi Jang, aksi luar padang lebih mengujakan. Kehadiran Menteri Besar baru, YAB Tuan Haji Aminuddin yang masuk sebagai penyokong berbayar seperti memberi sinar baru kepada penyokong. Ketika beliau masuk dan berjalan diteres bawah, ramai penyokong bangun dan bertepuk tangan serta bersorak sebagai tanda menyokong. Tak kurang melaungkan kata-kata seperti “MB, tolong ubah pasukan!” dan sebagainya. YAB Menteri Besar duduk diteres biasa bersama penyokong sehingga perlawanan tamat. Selepas itu ketika beliau berjalan untuk bertemu pemain, semakin ramai berdiri dan menyatakan sesuatu. Biasalah, semua sedang emosi, baik dalam hal bola dan juga hal luar.

Krew Ultrajang sempat menemubual YAB Menteri Besar selepas beliau bersalaman dengan pemain Negeri Sembilan. Ikuti temubual EKSKLUSIF wartawan UltrajangTV, Kid dengan YAB Tuan Haji Aminuddin yang Jang ambil dari rakaman video.

Kid: Macam mana dengan persembahan pasukan Negeri Sembilan malam ini?

Menteri Besar: Saya rasa pemain kurang semangat. Mungkin mereka perlukan semangat yang lebih. Beberapa pemain kelihatan seperti kurang pengalaman dan sedikit defensive sehingga mereka tidak menyerang. Jadi penyokong nampaknya tidak berpuas hati dengan permainan malam ini.

Kid: Jadi kalau YB masuk dalam PBNS, apa yang YB akan buat?

Menteri Besar: Kita bukannya boleh mengubah secepat mungkin ataupun segera. Kita kena melihat bahawa perlu ada peningkatan dan melihat secara menyeluruh undang undang persatuan itu sendiri. Kita akan perbaiki pasukan untuk memastikan  maruah Negeri Sembilan akan dikembalikan.

Kid: Adakah YB akan turun ke stadium setiap kali perlawanan Negeri Sembilan di Paroi?

Menteri Besar: Selepas Hari Raya Insyaallah saya akan pastikan saya akan hadir pada perlawanan di sini bersama dengan penyokong untuk menyemarakkan bola sepak Negeri Sembilan yang lebih baik dan kita mendapat keputusan yang baik. Tahun ini juga kita cuba perbaiki kedudukan kita dan tahun depan kita akan pastikan kita ada pasukan bola yang lebih baik.

Kid: Terima kasih YB.

Jang secara peribadi merasa teruja kerana YAB Menteri Besar sudi meluangkan sedikit waktu untuk ditemubual. Harapan penyokong, pemain dan pasukan agar sesuatu yang positif dapat dilakukan oleh Menteri Besar dalam usaha mengembalikan semula maruah dan kepercayaan semua terhadap bola sepak kita. Bagi Jang, fokus kepada kemajuan sukan, terutama bola sepak bukanlah agenda atau perkara utama kerajaan negeri, namun sedikit tumpuan yang terbuka mampu memberi impak yang besar.

Semua orang mahukan perubahan untuk menjadi lebih baik. Menjadi penyokong yang baik, pemain yang baik, pasukan dan negeri yang baik.

Jang,

Buapak Bola sepak Beradat

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.