/Gajoh Hilang Gading

Gajoh Hilang Gading

Apa dah jadi dengan Pahang FC? DNA apakah yang telah meresap kedalam jiwa pemain mereka sehinggakan prestasi mereka begitu teruk ketika di padang? Apa CEO Pahang FC telah buat? Bersalahkah beliau? Kenapa ramai penyokong Pahang tidak berpuashati dan ada yang telah mula ‘menyerang’ CEO Pahang FC? Siapa beliau sebenarnya dan apakah kelayakannya sehingga terus dilantik menjadi CEO? Berbagai persoalan akan mula timbul apabila prestasi pasukan Pahang merudum, walaupun liga baru saja memasukki gear 4.

Penyokong tidak mahu (atau tidak sabar) dengan pembaharuan? Adunan pemain baru dan lama tidak menjadi? Kenapa Zainal Abidin Hassan keluar dan menarik sehingga 6 pemain utama Pahang sehinggakan Pahang menjadi begitu tempang? Adakah Pahang seperti Chelsea, begitu kuat musim lepas dan tiba-tiba berada dikedudukan bahaya musim ini? Adakah Pahang ‘rindu’ untuk bermain di liga Perdana?

Peminat tegar Pahang yang menggelarkan dirinya Pepol Zainuddin ada jawapannya!

GAJAH HILANG GADING. oleh Pepol Zainuddin

Mungkin ketika ini, individu yang paling “kurang digemari” di negeri Pahang ialah seorang CEO yang bernama Fahrizal Hassan. Beliau ini bukanlah seorang CEO sebuah syarikat perlombongan bauksit yang bertanggungjawab menjadikan Kuantan seolah-olah planet Marikh tetapi beliau adalah seorang CEO kepada sebuah pasukan bola sepak yang pernah menyebabkan seorang warga emas berjalan kaki beratus-ratus kilometer demi meraikan sebuah kejayaan.

Ketepikan dahulu soal keaslian logo dan juga jersi kosong tanpa logo penaja kerana masalah Pahang atau nama barunya, Pahang FC ini jauh lebih besar dari dua isu tersebut. Pahang FC kini sedang tersadai di dasar Liga Super dengan mencatat hanya satu mata selepas seri sekali dan tewas dua kali untuk tiga perlawanan pertama. Sedikit sebanyak perkara ini menggusarkan para penyokong Tok Gajah yang merasakan, tidak selayaknya pasukan gergasi seperti Pahang FC berada di kedudukan seperti ini.

Jari pantas dituding kepada tuan CEO yang bertanggungjawab merencana satu rombakan secara besar-besaran yang kemudian dinamakan sebagai DNA PFC. Hanya beberapa orang pemain lama dikekalkan dan kontinjen besar pemain muda dibawa masuk meliputi para pemain dari pasukan seperti Harimau Muda C, Piala Presiden Pahang, Shahzan Muda dan juga dari pasukan-pasukan lain. Tindakan ini jelas menimbulkan keraguan kepada para penyokong Tok Gajah yang risau pasukan Pahang FC tidak akan mampu memberi saingan untuk musim baru ini. Mungkin tuan CEO berpendapat, kegagalan membawa pulang sebarang trofi pada musim lepas adalah satu kegagalan “total” dan satu perubahan “total” juga perlu dilakukan bagi membetulkan keadaan.

Walhal, jika diimbas kembali prestasi pasukan Pahang FC pada musim lepas, ia tidaklah seburuk mana. Pahang FC mendahului Liga Super untuk hampir keseluruhan musim sebelum dipintas oleh JDT pada saat akhir. Pahang FC berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir Piala AFC. Jika tidak kerana Zainal Abidin Hassan yang menurunkan pasukan kedua ketika menentang Istiklol FC di pusingan pertama suku akhir sehingga dibelasah teruk, mungkin kita akan ada dua wakil pasukan dari Malaysia di pentas akhir Piala AFC. Umum juga mengetahui bahawa Pahang FC sungguh tidak bernasib baik untuk tewas di separuh akhir bagi Piala FA dan Piala Malaysia. Pusingan pertama separuh akhir Piala FA di Darul Makmur ketika menentang pasukan Kelantan FA (ketika ini belum dipinang jutawan kosmetik), Pahang FC hanya berjaya menang tipis walau punyai deretan peluang. Perkara sama turut berlaku ketika pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia menentang Selangor, entah berapa kali palang dan tiang dicium oleh bola, tidak termasuk beberapa aksi menyelamat tidak masuk akal yang terpaksa dilakukan oleh Norazlan Razali bagi memastikan perlawanan berkesudahan seri kosong kosong.

Jika diamati secara keseluruhan prestasi pasukan Pahang FC pada musim lepas, kegagalan memenangi sebarang trofi ini boleh dikaitkan dengan tiga perkara utama iaitu keletihan dan kecederaan. Pembabitan di dalam pertandingan Piala AFC telah menyebabkan Pahang FC berdepan dengan jadual yang sangat padat. Rata-rata pemain Pahang FC juga tidak berpengalaman bermain sehingga tiga perlawanan dalam tempoh seminggu. Kedegilan Zainal Abidin Hassan untuk “rotate” para pemain semakin menambah luka kepada pasukan. Beliau cenderung untuk menggunakan muka-muka sama untuk hampir setiap perlawanan dan dengan corak permainan yang lebih fizikal digunakan, keletihan memang betul-betul merosakkan pasukan. Buktinya dapat dilihat pada lima perlawanan terakhir Liga Super sehingga menyebabkan Pahang FC hilang cengkaman di tangga teratas dan seterusnya bersorak gembiralah penyokong di Selatan sana.

Faktor kedua yang cukup besar ialah kecederaan. Sebelum bermula saingan Piala Malaysia, Pahang FC kehilangan dua midfield yang diakui boleh mengubah retak perlawanan iaitu Norazam Azih dan Azidan Sarudin kerana kecederaan ACL. Kehilangan dua pemain tengah ini jelas memberi tamparan hebat kepada pasukan Pahang FC yang sudah sedia kekurangan pemain ini. Penghijrahan Faizol Husin dan polemik Gary Steven Robbat di awal musim menyebabkan Pahang FC hanya bergantung harap kepada Hafiz Kamal dan Zesh Rahman untuk mengemudi bahagian tengah. Rizua Shafiqi bukan natural midfielder. Keterbatasan yang dialami oleh Pahang FC ini jelas ketara ketika dibelasah 4-1 oleh pasukan Penang dan PKNS FC di saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia. Lebih mengharukan, tiada pemain di bangku simpanan yang boleh dimasukkan untuk mengubah kembali keadaan.

Jadi, tindakan tuan CEO untuk melakukan rombakan secara besar-besaran kepada sebuah pasukan yang tidak seburuk mana ini adalah sangat berisiko. Tidak salah untuk melakukan transformasi kepada pasukan tetapi seeloknya transformasi itu dilakukan secara berperingkat. Pemain muda perlu diperkenalkan secara berperingkat ke dalam pasukan. Pasukan sedia ada pada musim lepas seharusnya disuntik dengan beberapa pemain muda berpotensi. Mereka ini harus menggantikan beberapa orang pemain di bangku pemain simpanan yang langsung tidak setaraf dengan pemain kesebelasan utama sebelum ini.

Proses untuk mematangkan sesebuah pasukan itu mengambil masa yang lama. Malah, pasukan Pahang FC sendiri sudah beberapa kali melalui proses ini. Jadi, tindakan menggunakan hampir keseluruhan pemain muda ini agak kurang tepat memandangkan Pahang FC bersaing di dalam liga tertinggi dan paling sengit iaitu Liga Super. Pasukan lain yang sudah sedia berpengalaman dan lengkap sudah tentu mempunyai kelebihan yang cukup ketara terhadap Pahang FC yang baru hendak bertatih ini. Akhir kata, ucapan khas buat tuan CEO “selamat berjaya di dalam pertarungan menentang penurunan liga”

Tulisan: Pepol Zainuddin

Hantar artikel anda ke ultrajangmag@gmail.com. 400-500 patah perkataan (atau lebih) dan guna ejaan seperti anda pernah bersekolah.