/Gothia Cup 2018: SMDAS Tg.Ipoh lunas dendam!

Gothia Cup 2018: SMDAS Tg.Ipoh lunas dendam!

Phew!! Bukan sedikit terik mentari yang membakar panas tengkuk Jang ini tetapi atas nama pembangunan bola sepak, Jang bertahan selama 2 hari di padang KGV, Seremban untuk menyaksikan sendiri pertandingan Gothia Cup 2018. Hmmm..semenjak balik dari eropah, Jang memang tak tahan sangat dengan cuaca panas Malaysia ini, tapi itu cerita lain.

Untuk yang tidak tahu, Gothia Cup ini anjuran kilang SKF yang terletak di Nilai dan berpengkalan di Sweden. Ianya adalah pertandingan bola sepak remaja terbesar dunia dan setiap tahun diadakan di Sweden. Tahun lepas, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Za’ba telah menjadi juara kejohanan dan menjadi wakil Malaysia ke Sweden. SSN Za’ba telah berjaya mendapat tempat ke 3 dari 215 pasukan kategori Bawah 14. Tidak kurang 1700 pasukan dari 80 negara mengambil bahagian dan mereka bermain 4500 perlawanan dalam 110 padang. Sekarang kau percayo tak Jang koba ianya pertandingan bola sepak remaja terbesar dunio?

Terdapat 13 pasukan yang dibahagikan kepada 4 kumpulan, A,B,C dan D (4 pasukan). Jika kau tertanya-tanya, biar Jang sebutkan beberapa nama sekolah yang terlibat; STJ Gentam, STAD, SSN Za’Ba, SMDAS, MRSM Kuala Klawang, MRSM Serting, SMK Bukit Kepayang, SMK Sedia Raja, SMK Pasir Besar, SMK Senawang, SMK Seri Ampangan dan beberapa buah sekolah hebat lain. Kesemua sekolah adalah sekolah yang berada di dalam Negeri Sembilan, semestinyalah kerana SKF juga berada dalam tanah adat.

Hari pertama berlangsung perlawanan saingan awal untuk mencari juara kumpulan. Jang lihat kesemua pasukan menampilkan persembahan yang menarik, sangat kompetitif tetapi dalam masa yang sama, sudah jelas dan dijangka, pasukan hebat seperti SSN Za’ba, STAD serta SMDAS akan ke perlawanan separuh akhir. Hari pertama lebih kepada mencari pasukan mana yang akan melengkapkan saingan suku, semi dan final yang akan berlangsung pada hari kedua. Ternyata pasukan MRSM Kuala Kelawang berjaya melakukan kejutan kerana layak sehingga separuh akhir.

Reputasi STAD sebagai sebuah sekolah projek ternyata berakhir apabila tewas 2-0 kepada SSN Za’ba dalam perlawanan separuh akhir. STAD bukan lagi sekolah sukan no.1 di Negeri Sembilan tetapi telah lama beralih kepada SSN Za’ba. Untuk pengetahuan semua, STAD kini berstatus sekolah Pusat Latihan Daerah atau PLD yang dibawah kelolaan NFDP, sama seperti SMDAS iaitu sebagai PLD untuk daerah Kuala Pilah. Pembangunan sukan bola sekolah sekarang tidak sama macam zaman dulu lagi. Cara mereka berfikir dan bermain juga sudah jauh berbeza.

Sementara itu MRSM Kuala Kelawang ternyata bukan lawan SMDAS yang menang 3-1 untuk bertemu SSN Za’ba di perlawanan akhir. Untuk rekod, ianya adalah perlawanan final ulangan tahun lepas dimana SMDAS kalah penalti kepada SSN Za’ba lalu mereka kempunan untuk beraksi di negara sejuk dan sedap, Sweden. Kali ini mereka turun sebagai underdog tetapi akan lakukan apa sahaja untuk menang. Yup! lakukan apa sahaja untuk menang!

Sangkaan Jang, satu perlawanan akhir yang amat hebat serta dahsyat akan berlaku dan dapat memuaskan nafsu bola sepak Jang ini, tetapi ternyata meleset teruk apabila SMDAS memilih untuk bertahan sepanjang perlawanan! Taktikal ultra defensive SMDAS mengakibatkan permainan berlangsung separuh padang. Kesemua pemain SMDAS berkampung di dalam kawasan penalti mereka, bagaikan bas United dan Starise sama-sama sampai ke bus stand Pilah. Padat! Jang sedikit kecewa kerana Jang tahu kemampuan pasukan SMDAS bermain. Mereka telah tunjukkan dalam saingan awal hingga ke separuh akhir.

Tetapi setelah melihat aksi pemain SSN Za’ba, Jang bersetuju dengan taktikal ultra defensive SMDAS. Bagi Jang, pemain Za’ba berada dalam kelas tersendiri dan luar biasa. Mereka bermain bola begitu indah dan ‘fluid’ bagaikan menghirup cendol ditengah panas. Begitu bersahaja pemain tengah (DM no.8) mengemudi pasukan bagaikan dia dilahirkan untuk bermain diposisi tersebut. Begitu juga barisan pertahanan SSN Za’ba dibawah kawalan kapten mereka (no.4), yang cukup tenang. Bagi Jang, mereka ini sudah cukup masak dengan perlawanan bola kerana mereka juga bermain dalam liga KPM satu Malaysia. Tak kurang 4 ke 5 orang pemain SSN Za’ba menonjolkan kualiti luar biasa dan mempunyai masa depan cerah.

Bermain secara terbuka melawan SSN Za’ba boleh mengundang padah dan SMDAS mengetahui hal itu selepas melihat bagaima STAD dikalahkan Za’ba kerana bermain open game. Bijak juga barisan kejurulatihan SMDAS ini yang diketuai oleh Cikgu Abdul Hamid, Cikgu Syed Salim dan dibantu oleh Fairuredza Kassim. Mereka seperti mahukan permainan berakhir dengan tendangan penalti kerana yakin dengan kemampuan penjaga gawang mereka. Walaupun SSN Za’ba melakukan serangan bertubi-tubi tetapi barisan pertahanan SMDAS cukup berdisplin mengekang asakan lawan. Sehingga wisel penamat ditiupkan, hanya sekali shot on gol dari SMDAS dan permainan terpaka diputuskan dengan sepakan penalti.

Tendangan pertama SSN Za’ba ditepis keluar penuh bergaya oleh penjaga gawang SMDAS. Memang kelas kau dik jadi keeper! Siap ada ritual pegang bola sebelum diberi kepada pemain lawan untuk ditendang. Dari tepisan pertama dah tau yang SMDAS akan menang dengan kehebatan penjaga gawang. 2 kali kau save dik! Kesudahannya, SMDAS menang 4-3. Momen satu pasukan menangis kegembiraan dan satu pasukan lagi menangis kesedihan ini yang buat sebak hati Jang yang lembut ini. Gembira kerana dendam musim lepas dikalahkan (juga melalui tendangan penalti) kini terbalas dan paling utama, akan menjadi wakil Malaysia ke Sweden pada bulan Julai nanti.

Untuk adik-adik SSN Za’ba, bertabahlah dan fokus pada liga KPM pula. Kan dah pergi Sweden tahun lepas dan jadi buah mulut warga eropah. Tahun ini bagi SMDAS pergi pulak. Okla tu, Jang ni setakat sampai Ikea je, tu pun yang kat Cheras. Tahniah seluruh warga bola sepak SMDAS! Bak kata Sir Alex Ferguson; Attack wins you game, defence wins you titles. Tahniah semua pasukan, penganjur, urusetia kejohanan dan SKF. Ada tiket lebih tak untuk Jang ke Sweden? Jang berdiri dalam kapal terbang pun takpa.

#DenyutNadiAkarUmbi

Kongsi artikel ini: