/Hail Mehmet Durakovic!

Hail Mehmet Durakovic!

Tiada idea yang buruk dan semua pendapat adalah tidak salah. Jang dah tulis lama dahulu dalam artikel lepas. Kesemua artikel dalam ultrajang adalah tentang pendapat, pandangan, idea dan  paling terutama adalah berdakwah tentang bolasepak Malaysia. “opinions are like assholes, everybody’s got one and everyone thinks everyone else’s stinks” – ungkapan dalam banyak filem. Tapi itu tidak bermakna Jang akan periksa semua pendapat masing-masing. Kita diberi kebebasan bersetuju untuk tidak bersetuju dalam semua hal.

Jang mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan pendapat Mika Rot dalam artikel beliau ini tetapi ultrajang meraikan kebebasan memberi pandangan dan idea, jadi Jang siarkan dengan senang hati. Bolasepak Malaysia harus dimeriahkan walau dengan membaca, kerana membaca itu mudah. Menulis tidak mudah, kalau tak percaya, kau hantar satu artikel ke ultrajangmag@gmail.com untuk Jang siarkan.

Hail Mehmet Durakovic! – oleh Mika Rot

Minggu lepas merupakan klimaks pada liga bola underground Malaysia, pancutan padu kemenangan dan ke-power-an anak-anak buah Mehmet Durakovic melakar kemenangan bermakna ke atas Kedah setelah 10tahun menunggu, menunggu dan terus menunggu dan akhirnya Hazwan Bakri menjadi pembuka kunci kepada segala penderitaan yang dialami di kem Selangor selama ini. (Engkau balik Labuan nanti, kita joget sampai pagi bro!)

Selang berapa jam selepas trofi besar Piala Malaysia dibawa pulang ke Selangor, pasukan power dari Kota Manchester, menghadap sebuah pasukan kerdil yang baru sahaja dinaikkan ke Liga terpower Inggeris, iaitu Bournemouth dan seperti biasa atau sudah menjadi rutin harian sejak beberapa menjak ini, kalau bukan seri maka kalah la jawapnya, yang menghairankan Van Gaal tak sekolah ke pasal lawan yang nak ditentang? Nasib kalah dengan Bournemouth bukannya Liverpool, kalau tak dimana nak aku letak muka aku yang persis seperti Carrick kacukan Indonesia ini.

Ugh! Itu aku tak buka cerita lagi bagaimana United terkeluar dari saingan merebut Piala Teragung Kelab-Kelab Eropah, sungguh tragis minggu lepas bagi fans Manchester United diseluruh dunia dan tempias kegagalan United di pentas eropah terbang jauh hinggalah ke Sabak Bernam dan Ulu Langat. Dan seakan seluruh dunia sedang mengertawakan United apabila di undi menentang sebuah pasukan yang aku pun tak tahu bagaimana nak sebut dengan betulnya dalam saingan piala dimana Liverpool bermaharajalela dengan jayanya dalam beberapa musim ini.

Ketika sepak mula di Shah Alam Stadion dimulakan, Van Gaal pastinya tak menonton perlawanan itu disebabkan sibuk mencari kertas A4 untuk diconteng masa perlawanan, dan praktikkan bagaimana nak duduk dengan selesa di seat pasukan yang disediakan. Entah apa-apa yang dicontengnya itu, mungkin gambar burung yang dijinakkan oleh gergasi agaknya. Entahlah, hanya Ryan Giggs yang tahu misteri ini.

Di Shah Alam Stadion ketika ini, kelihatan Mehmet Durakovic berteriak kepada Nazmi Faiz agar menukar hantaran pendek dengan pantas lagi dan membuat beberapa ‘killer pass’ ke atas target man mereka, mula-mulanya aku tak berapa yakin dengan taktikal Mehmet Durakovic ini disebabkan padang bola dah persis seperti sawah padi yang dah dituai hasilnya tapi aku percaya kepada Mehmet Durakovic yang beliau dah mengukur keseluruhan padang dengan tepat, dimana ada lopakan air lumpur, dimana engkau perlu bermain hantaran lambung dan juga dimana engkau berlari membawa bola dengan selesanya, semuanya dah dikaji oleh Mehmet Durakovic. Jika Sir Alex Ferguson boleh membentuk Paul Scholes menjadi jentera tengah yang power dan Mehmet Durakovic berjaya mendisiplinkan dan men-power-kan level kehebatan Nazmi Faiz di bahagian tengah Selangor, mengapa Van Gaal gagal membentuk seorang pemain tengah yang power untuk Setan Merah sekarang?

Jawapannya sangat simple, Van Gaal tak belajar ilmu bola dari Sir Alex Ferguson dan Selangor. Van Gaal perlu mempelajari teknik tradisi bagaimana sesebuah pasukan power itu beroperasi.

Berbalik kepada kisah 20 tahun dahulu, 3 tahun sebelum Setan Merah melengkapkan kejayaan abadi merangkul 3 piala sekaligus dalam semusim. Skuad Setan Merah sanggup turun beribu batu jauhnya menaiki perahu besar dari tepian sungai Bandar Manchester dan menuju ke sebuah pelabuhan yang pesat ketika itu di Asia Tenggara, Pelabuhan Klang. Tak lain tak bukan kedatangan Skuad Setan Merah ketika itu adalah menuntut ilmu bola level 9 dari sebuah pasukan yang power di Asia dan Malaysia, bukan JDT, tapi Selangor!

Diriwayatkan dalam kitab bola lama, yang beberapa pemain United mengalami mabuk laut ketika dalam perjalanan itu antaranya Nicky Butt, Scholes serta Steve Bruce. Selangor ketika itu tak lokek dengan ilmu bola, bermacam-macam ilmu bola diturunkan kepada skuad United, dan hasilnya United berjaya merangkul gelaran juara Liga Inggeris sebanyak dua kali berturut-turut selepas pulang menimba ilmu bola di Selangor. Era itu, Alan Shearer dan David Seaman betul-betul power!

Nasib baik ilmu bola yang dipelajari di Selangor dahulu cukup berbisa untuk menangkis serangan dari mereka berdua. Perghh!! Liverpool? mereka masih di takuk lama, tak berminat nak bersaing dan masih dibuai dengan kejayaan lalu. Dasar KLMJ! Chelsea? ibarat ‘chipsmore’ kadang ada kadang tiada dan Manchester City pula terkenal dengan kugiran Oasis kala itu, bola sepak? Jauh sekali.

Memetik kata-kata Mehmet Durakovic selepas pasca memenangi gelaran ke-33 buat Selangor seraya berkata “Selangor ibaratkan Manchester United versi Malaysia, dan tempat kami adalah di atas!”

Dan “Manchester United ibaratkan Selangor versi Inggeris, dan tempat kami adalah di atas!” kata kakak yang berniaga jersi bola semasa final Piala Malaysia tempoh hari disebabkan melihat aku memakai jersi pasukan United datang ke stadium. Aku tertewas oleh kecantikan dan keayuannya maka aku membeli dua pasang jersi pasukan Selangor tanpa berfikir panjang. Power!

Sesungguhnya, “bola sepak kita, adalah wajah kita”.