/Hillsborough Disaster: Apa Yang Boleh Kita Pelajari Part 1

Hillsborough Disaster: Apa Yang Boleh Kita Pelajari Part 1

Salah satu elemen penting dalam bola sepak ialah keselamatan di dalam stadium. Bayangkan berpuluh-puluh ribu manusia berkumpul di satu tempat yang padat. Jika ada berlaku kemalangan, kesannya pasti besar dan mengerikan. Maka langkah keselamatan perlu menjadi isu utama yang perlu diambil perhatian. Adakah keselamatan stadium-stadium di Malaysia ini semuanya selamat? Secara jujur, abang rasakan tahap keselamatan stadium-stadium di Malaysia adalah memuaskan. Jadi jika selamat kenapa perlu peduli tentang semua ini? Memetik kata-kata Lord Justice Taylor dalam laporannya. “Complacency is the enemy of safety” ataupun dalam kata lain sifat cepat berpuas hati adalah musuh kepada keselamatan. Maka perlulah kita beringat ketika kita masih dalam keadaan yang selesa.

Ada beberapa insiden buruk pernah berlaku sebelum ini yang boleh kita jadikan pengajaran. Contohnya, peristiwa Heysel, Bradford City dan National Stadium Peru. Tetapi untuk kali ini abang memilih Hillsborough sebagai sandaran. Sebab utama abang memilih peristiwa Hillsborough adalah disebabkan abang pernah membaca laporannya. Laporan tersebut antara yang paling lengkap abang pernah jumpa berkaitan kemalangan di stadium bola sepak setakat ini. Tambahan pula ianya merupakan sejarah kemalangan bola sepak terburuk di England. Sehinggakan ianya mempengaruhi tradisi bola sepak sehingga ke hari ini.

Eh, bukankah England sudah bermain bola secara sistematik sejak tahun sebelum perang dunia pertama lagi. Mustahil mereka tak ada guidelines untuk mencegah daripada kejadiaan ini terjadi. Betul, mereka pada waktu itu sudah pun mempunyai manual tentang keselamatan di stadium yang dinamakan The Green Guide. Walaupun dengan Green Guide, mereka masih tidak dapat mengelak perkara tersebut terjadi. Sebab itu aspek keselamatan perlu disemak dari semasa ke semasa.

 

Hillsborough Disaster

Di petang yang tenang pada tanggal 19 April 1989. Perlawanan separuh akhir Piala FA di antara Liverpool FC menentang Nottingham Forest FC di stadium Hillsborough. Sembilan puluh enam pencinta bola sepak, terdiri daripada kanak-kanak dan orang tua. Tidak pulang ke rumah pada malam tersebut.

Mereka bersesak-sesak sesama sendiri di antara pagar di bahagian depan dan penyokong yang baru tiba di bahagian belakang. Kemudian di waktu kemuncak, pihak berkuasa membuka pintu pagar secara penuh dan mengakibatkan penyokong berebut-rebut untuk masuk ke teres stadium melalui terowong. Penyokong yang lemas mula panik dan mula mementingkan diri sendiri lalu menolak mereka yang lebih hadapan sehingga mereka tersepit di pagar. Sembilan puluh enam mangsa mati lemas dan 799 lagi cedera. Mangsa paling muda waktu itu berusia 10 tahun (Sepupu Steven Gerrard).

Disebabkan peristiwa ini, setiap tahun keluarga mangsa, penyokong-penyokong dan kakitangan Liverpool FC berkabung di atas peristiwa berdarah ini. Tidak dapat digambarkan kesedihan mereka dan seluruh warga kota tersebut turut merasai bersama. Tuduh menuduh berlaku, namun sampai sekarang masih tiada siapa yang dipertanggungjawabkan.

Apakah punca sebenar yang menyebabkan malapetaka ini berlaku? Ada 800 pegawai polis di kawasan padang pada hari itu tetapi masih lagi tidak dapat membendung kejadian ini daripada terjadi. Pada tahun 1990, Lord Justice Taylor telah mengeluarkan laporan penuh hasil siasatan tentang kejadian Hillsborogh. Lord Justice Taylor menggariskan beberapa penyebab yang secara langsung ataupun tidak langsung yang mengakibatkan tragedi ini berlaku. Beliau juga ada memberi beberapa pandangan untuk mengelakkan ianya daripada terjadi lagi di kemudian hari.

Berkali-kali abang baca dan memahamkan laporan daripada Lord Taylor ini untuk dapat kita manfaatkan bersama. Abang akan huraikan satu persatu selepas ini bermula dengan punca-punca terlebih dahulu.

 

Keadaan Keselamatan Stadium Yang lemah

Pada waktu itu, keadaan stadium itu sendiri serba kekurangan. Teres-teres stadium dalam keadaan  yang menyedihkan. Tiada emergency exit,  malahan longkang di antara padang dan teres stadium tidak wujud. Pagar-pagar yang ada pada waktu itu terlalu tinggi berserta kawat duri. Terowong masuk pula tidak nampak kawasan hadapan. Yang paling utama tiada bangku duduk dan penyokong semua lebih gemar berdiri.

Kesemua ini serba sedikit mempengaruhi kejadian malang tersebut. Reka bentuk stadium sangat mempengaruhi aspek keselamatan. Pernahkah kita tertanya kenapa stadium banyak pintu walaupun bukan semuanya digunakan? Ketika peristiwa Hillsborough pintu masuk dan pintu keluar adalah sama. Ketika mangsa-mangsa terhimpit, ada yang terpaksa memanjat tingkat atas stadium kerana hanya mahu menyelamatkan diri. Ini salah satu punca kejadian ini berlaku menurut Lord Taylor.

 

Kegagalan Pihak Berkuasa

Walaupun nampak seperti tidak adil, Lord Taylor merumuskan kegagalan pihak berkuasa bertindak pada hari tersebut menjadi punca utama peristiwa ini berlaku. Abang juga setuju dengan beliau kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka yang mempunyai kuasa untuk bertindak jika berlaku kecemasan. Pihak berkuasa pula tidak bersetuju dengan kenyataan Lord Taylor. Lantas menyalahkan sikap penyokong Liverpool pada hari tersebut dan mengatakan ianya punca utama sebab peristiwa ini terjadi. Menjadikan lebih teruk, akbar The Sun juga mereka-reka cerita tentang kejadian petang itu sehinggakan seluruh kota Liverpool memboikot akbar tersebut sampai ke hari ini.

Ada sebab lain juga yang mempengaruhi kejadian ini. Contohnya kehadiran Hooligan dan pengaruh alkohol. Tapi abang tak nak cerita tentang hal ini kerana masih lagi sensitif dikalangan penyokong bola sepak Malaysia. Jadi hasil daripada punca ini, apakah yang kita boleh pelajari? Abang explain di perenggan yang berikut.

 

Mengutamakan Tahap Keselamatan Yang Tinggi

Abang nak tanya sikit. Jika berlaku kemalangan di stadium negeri masing-masing. Misalnya stadium runtuh. Apakah langkah yang perlu kita lakukan? Adakah pihak stadium ada memberi garis panduan tindakan kecemasan di stadium masing-masing? Seperti yang abang nyatakan sebelum ini semasa peristiwa Hillsborough. Apabila manusia panik, mereka akan mula mementingkan diri. Bila penting diri mulalah tingkah laku yang membahayakan berlaku. Jika keadaan teratur dan semuanya tenang, pasti kemalangan jiwa dapat dielakkan.

Pagar-pagar juga perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh FIFA. Tidak terlalu tinggi dan juga tidak mempunyai kawat besi yang akan membahayakan penyokong jika ada berlaku kecemasan. Ini stadium bukan penjara. Penyokong juga perlu memainkan peranan penting. Pagar yang ada sekarang pun orang dah redah masuk macam mana nak ada pagar rendah macam EPL.

Polis dan pihak stadium perlu bertanggungjawab penuh jika sebarang insiden berlaku. Mereka perlu diberi kuasa penuh jika berlaku kecemasan. Penyokong pula perlu mengikut arahan pihak berkuasa. Jika melawan, tindakan haruslah dikuat kuasakan serta merta. Jika kena pukul dengan polis sebab melawan ketika kecemasan, jangan salahkan polis balik.

 

Numbered tickets matching numbered seats

Selain daripada perlunya tahap keselamatan yang tinggi,  bangku duduk penuh perlu diaplikasikan. Sedihnya, Ini dipandang sebelah mata pada pihak pengurusan stadium di seluruh Malaysia. Jika boleh, nombor tiket dengan nombor bangku perlu diselarikan seperti cadangan Lord Taylor. Bagi abang, ini sangat penting untuk dibuat atas beberapa sebab.

Pertamanya, dengan duduk, lebih mudah pihak pengurusan untuk membuat crowd control. Misalnya jika ada apa-apa kes yang berlaku terhadap seseorang, sudah tentu akan lebih mudah dikesan pihak pengurusan kerana semua penyokong masih duduk. Hanya penyokong yang ada kecemasan sahaja yang akan berdiri.

Keduanya, ia dapat membanteras jenayah ulat tiket dan curi-curi panjat masuk stadium. Hanya menggunakan CCTV dari jauh dah tahu siapa masuk secara haram. Siapa yang tiada tiket pasti akan berdiri. Simple!

Yang terakhirnya, dapat mendisiplinkan penyokong. Tengok bola elok duduk supaya nampak lebih teratur. Tapi tak adalah bermaksud semua penykong perlu duduk sentiasa. Untuk penyokong-penyokong seperti Ultras, mereka dibolehkan berdiri dan menyanyi dengan syarat masih berdiri di kawasan bangku masing-masing. Tak nampak bila nak gol? Bila hampir gol semua berdirilah sekejap dan kemudian duduk balik. Barulah macam EPL. Lagi satu jangan melompat-lompat pandang belakang macam fans Man City. Macam gayat pulak abang tengok, tahulah baru belajar tengok bola.

 

Bersambung…..

 

 

P/S: Korang rasa apa yang perlu ditambah untuk keselamatan stadium di Malaysia ini?

 

 

Tom Bombadil – Di teres batu stadium keramat Paroi

 

 

Kongsi artikel ini: