April 20, 2024

Ilmu Nyepi Diri Sebagai Pedoman

3 min read

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Izinkan Jang berkongsi serba sedikit tentang ilmu nyepi diri dan berkurung bagaikan burung dalam sangkar. Jang menerima ilmu ini ketika menuntut di pesantren Kobong Bogor kira-kira 27 tahun yang lalu. Ilmu ini Jang rasakan sangat berguna pada ketika ini, justeru Jang terpanggil untuk mendedahkannya agar dapat digunapakai oleh khalayak. Harapan Jang, selepas ilmu ini diamalkan, maka PKP dapat berlangsung dengan jayanya.

Sebelum itu, kita sedia maklum, dalam usaha menghentikan rantaian wabak dari terus berleluasa, kita sendiri kena putuskan sebarang bentuk hubungan dengan manusia lain. Kita mesti membunuh sebarang bentuk kehendak dan keperluan dahulu jika mahu virus ini mati. Masalahnya, keperluan dan kehendak telah lama menjadi tuhan yang kita anuti ajarannya dengan taat.

Kita juga telah terlalu lama rasa bebas bagaikan burung pipit yang terbang rendah menghisap semua jenis bunga, termasuk bunga pisang. Kita terlalu biasa tekan minyak ketika lampu kuning menyala, masuk simpang tak bagi signal dan paling win, memandu sambil layan whatsapp, bagaikan kitalah manusia paling penting dalam dunia ini. Segala bentuk undang-undang kita langgar dengan rasa tenang kerana undang-undang itu ada hanyalah sekadar untuk ada. Justeru apabila sampai masa kita diminta akur pada undang-undang Kawalan Pergerakan Terhad, kita anggap ianya sama seperti undang-undang jalanraya yang lain. Disinilah kita tersilap.

Kita terus keluar bersidai ditepi ladang sawit, ditepi simpang, di taman permainan dan di port main dam seperti hari biasa. Lebih sadis, kita anggap keluar melepak adalah satu cabaran menduga kejantanan kawan-kawan lain. Siapa tak berani keluar, dia penakut.

“Alaaa..takkan takut kot? jum la lepak”

Tidak ada langsung lahir dalam jiwa kita satu semangat untuk patuh kepada undang-undang. Kenapa? Sebab kita tidak dididik dan didakwah dengan betul kepentingan menjaga dan mengikut undang-undang. Memang tidak ada pun kempen atau propaganda berterusan dilakukan oleh kerajaan tentang kepentingan menjadi warganegara yang patuh undang-undang. Cuba lihat Kempen Anti Dadah yang diperkenalkan pada tahun 1983 oleh Tun M dengan hasrat membebaskan Malaysia dari gejala dadah menjelang 2015 (32 tahun berkempen namun masih belum bebas sepenuhnya) tetapi sekurang-kurangnya semua orang tahu Akta 39B dan semua orang takut untuk jadi pengedar dadah kerana sedia maklum, ada orang kampung mereka kembali ke alam baka melalui tali gantung. Inilah kesan berkempen secata berterusan tentang undang-undang.

Justeru, antara perkara menarik yang boleh kita saksikan dalam kemelut ini ialah sejauh mana rakyat Malaysia benar-benar akur kepada undang-undang pergerakan terhad ini dan jika dalam masa kecemasan ini pun masih ramai yang degil, maka anggap sajalah undang-undang picisan lain juga tidak berpeluang untuk dilaksanakan dengan jaya. Hal ini boleh dilihat dengan meriahnya jalanraya dan pasar tempat orang membeli belah seperti tiada wabak dan tiada undang-undang.

Jang harap, period ini dijadikan waktu terbaik mendidik warga Malaysia menjadi celik dan patuh kepada undang-undang sebagaimana mereka taat kepada kehendak dan keperluan mereka. Penguatkuasaan semua undang-undang dan pemantauan dari pihak berkuasa juga mesti sama dalam apa jua situasi. Jika kerajaan tegas, rakyat jadi patuh dan jika muncul lagi wabak atau bencana atau kecemasan selepas ini, rakyat akan lebih mudah diajar, disusun dan tindakan mudah dilaksanakan.

Kali ini kita mungkin tersilap dan terlewat tetapi takkan kita tidak mahu belajar sedikit untuk kegunaan masa hadapan?

Ilmu nyepi diri itu lain kali aje Jang ajar, sebab dah panjang sangat ni. Hmmmm. Pesan Jang, janganlah kau semua begik amat-amat. Jangan diuji undang-undang dan jangan diuji kekebalan antibodi dalam melawan penyakit. Jang doakan semua dalam keadaan sehat dan semoga Tuhan bebeaskan Malaysia dari wabak ini.

Ingat! dengan adanya undang-undang pun dunia masih kalut, bayangkan jika hanya ada buah kundang dijadikan pedoman.

Jang,

Nyepi Diri

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.