/Inter SBP91 2017: SMAP Labu juara berganda!

Inter SBP91 2017: SMAP Labu juara berganda!

Tak manis kalau Jang tak update kejohanan Inter SBP 5 Sebelah 2017 diantara semua sekolah berasrama penuh Malaysia batch 91 yang berlangsung di Sports Planet Kota Damansara semalam. Kalau Jang tak silap, ini adalah edisi ke 7 kejohanan. Pertandingan atau kejohanan diantara alumni sekolah ini, tak kisah apa jenis sekolah atau sukan pun, adalah sangat istimewa. Aktiviti ini dapat memupuk semula semangat ukhuwah dan silaturahim diantara rakan persekolahan dan diantara semua sekolah lain yang hanya dapat bertemu setahun sekali diacara sebegini. Selain dari menyambung semula perseteruan lama dizaman persekolahan (kali ini dalam mood ceria) ianya adalah medan menguji stamina dan tahap kekuatan fizikal semua pemain. Almaklumlah, jiwa dan keinginan serta nafsu nak buat ‘turning’ tu masih membara, tapi bila bola sampai, badan dan otak tidak selari lagi. hmmm..

Suasana di Sports Planet Kota Damansara bagaikan piknik besar-besaran. Meriah dengan kehadiran keluarga besar SBP. Ramai yang hadir bersama keluarga (bersama girlfriend takda) Walaupun kedudukan sekolah berjauhan (sekolah seluruh Semenanjung menghantar wakil) tetapi hampir kesemuanya sudah saling kenal mengenali selepas beberapa edisi penganjuran bersama. Sekurang-kurangnya kenal muko lah!

15 buah sekolah berasrama penuh menghantar wakil pasukan masing-masing dan dibahagikan kepada 4 grup, A,B,C dan D. Ada juga yang menghantar 2 pasukan (A dan B) seperti Smap dan Sdar. Edisi kali ini majoriti dikuasai oleh sekolah Sains. Sains Muar Johor (3 pasukan), Sains Selangor, Sains Raub, Sains Syed Putra Perlis, Sains Machang, Sains Faris Petra, Sains Dungun juga Mozac – Muzaffar Shah. (SESMA menarik diri last minit) Sekolah Sekolah Tunku Jaafar (STJ) Kuala Pilah hadir dengan jersi kuning Malaysia (Gold Flake) power sekolah ni main sebab kalahkan team Jang 7-0 dalam perlawanan pertama. Maso tu Jang pisat-pisat laie dari Seremban, boleh la.

Edisi kali ini dianjurkan oleh Sekolah Sains Muor. Memang penganjur bergilir-gilirlah diantara sekolah, baru adil. Tahniah Sains Muor kerana memastikan kejohanan ini berjalan lancar.

                                                            

Menariknya, majoriti pemain masih kekal cergas dan berstamina mengharungi satu hari perlawanan. Lucunya segala macam minyak disapu, minyak panas, minyak sejuk, minyak lintah, minyak tupai. Jual minyak pun ada! Balut lutut, ankle, makan madu, telan catuaba – semuanya bagi memberi kekuatan badan dan stamina. hmmm. Bukan apa, main bola ni kekadang kita mudah lupa diri bila dah syok. Mujur tidak ada kejadian atau kecederaan teruk berlaku. Seliuh terkehel sikit tu biaso la dan mujur paramedik dan ambulan disediakan oleh penganjur.

Dipendekkan cerita, kita terus ke cerita sedap iaitu perlawanan akhir diantara SMAP vs SDAR, dua buah sekolah yang berpengkalan di Seremban. Imbas kembali, perseteruan kedua buah sekolah ini dalam hal bola sepak memang panas bermula semenjak tahun 1989 lagi. Bergaduh dari dalam padang sampai town Seremban! Tapi itu dulu la, zaman bebudak dimana akal fikiran jatuh no.2. Sekarang takda dah sebab SDAR pun dah duduk Rantau dan murid masa kini bergaduh komen di laman FB saja. Badan pun tak sakit-sakit.

Kedua pasukan berentap hebat dan sedikit robust kerana alang-alang dah masuk final, kedua pasuan mesti mahu menjadi juara. SMAP Labu turun sebagai bekas juara 5s 2015 sementara SDAR sebagai bekas juara 7s edisi pertama. Defender SMAP Labu, Azbenz dan Chemek berperanan mengekang serangan SDAR yang boleh dikatakan agak kental. Jentera serangan SMAP Labu diketuai oleh Sujak dan Temin, dua gandingan penyerang berbisa (baik didalam atau luar padang) berjaya menghasilkan gol kejuaraan melalui jaringan cantik Sujak. SDAR berjaya juga membuat beberapa percubaan namun penjaga gawang SMAP, Mat Over, tangkas menepis bagaikan masih berumur 15 tahun lagaknya! (Mat Over dinobatkan sebagai penjaga gawang terbaik kejohanan) SMAP menang 1-0. Memang satu final game yang kompetitif.

Tahniah kepada semua pasukan dan pemain yang hadir. Semoga jalinan kemesraan diantara satu sama lain berkekalan. Paling utama, semoga kita semua dianugerahkan kesihatan dan kekuatan badan yang baik kerana itulah perkara paling mustahak sekali. Kalah menang adat bermain, paling penting, kita tetap hantar wakil demi reputasi sekolah masing-masing. Kita berjumpa lagi dalam kejohanan lain, 7 sebelah, bola padang dan sebagainya.

Selain nak bagitau SMAP Labu jadi juara, Jang harap selepas baca berita ini, kau dan kawan-kawan sekolah kau boleh la mula merancang  aktiviti sebegini pulak. Sedap berbual, bermain dalam satu pasukan dan kalah pun takda tekanan. Takkan habis reunion makan BBQ aje. Kemon! kita warga bola! TKC buat reunion pun ada main netball.

#BolasepakKitaSekolahKita

Kongsi artikel ini: