/Jendela perpindahan dan tingkap duit.

Jendela perpindahan dan tingkap duit.

Jadual yang berubah-ubah dan tidak menentu adalah permainan bolasepak kita bersama FAM. Itu semua kita sedia maklum dan walaubagaimana kita berkicau pun, tidak didengari oleh mereka yang berada dalam bangunan kebal itu. Kadang-kadang sampai timbul rasa musykil, takda kalendar ke dalam bilik mesyuarat mereka? Itu hal jadual perlawanan, jadual pengambilan pemain pun mereka buat macam mendafatr anak nak ke sekolah saja. Sekolah mula Januari, bulan 12 mesti semua dah siap.

Mujur untuk musim depan, Football Malaysia (atau FMLLP) telah mengambil langkah awal dalam menentukan jadual pengambilan pemain baru untuk pasukan. Mereka telah lama menghidu dan mengkaji permasalahan ini dan melihat jadual lama FAM sebagai tidak relevan dengan musim bolasepak. Mari kita lihat jadual lama pengambilan pemain dari FAM, kita ambil contoh untuk tahun 2014;

1. Sepakmula Liga Malaysia 2014 pada 18 Januari 2014

2. Pendaftaran akhir pemain adalah pada 4 Disember 2013

3. Jendela perpindahan/pendaftaran pemain baru bulan April adalah pada 23 Mac sehingga 23 April 2014.

Jika mengikut tarikh diatas, pasukan mesti mengikat kontrak pemain import/tempatan sebelum sepak mula liga dilakukan iaitu kira-kira sebulan lebih awal. Pasukan benar-benar dapat menguji kekuatan pemain mereka hanya kira-kira 2 bulan (atau kira-kira 7-8 kali perlawanan) sebelum jendela perpindahan dibuka semula pada 23 Mac. Pasukan dan jurulatih terpaksa menilai prestasi sebenar pemain mereka dalam masa singkat ini. Jika kita baca keratan akhbar, banyak pasukan tidak dapat melaksanakan pemindahan pemain ini dalam tempoh tersebut.

Football Malaysia juga mengesan tabiat membeli pemain diluar waktu perpindahan antarabangsa mengakibatkan pasukan kita hanya dapat memikat pemain-pemain lebihan yang tidak diambil oleh mana-mana pasukan lain. Ramai pemain import yang berkualiti telah pun diikat oleh pasukan luar yang mengamalkan jendela perpindahan standard antarabangsa. Jika kita terus membuka jendela perpindahan mengikut kalendar FAM, selamanya kita hanya dapat membawa masuk pemain yang gagal memikat kelab luar untuk bermain dengan pasukan kita.

TEMPOH PEMAIN TEMPATAN / PEMAIN ASING

Pendaftaran Pertama

23 November 2015 – 14 Februari 2016
Jam 12.00 tengahari  (Jam 11.59 malam untuk import)
Pendaftaran Kedua

20 Jun – 15 Julai 2016
Jam 12.00 tengahari (Jam 11.59 malam untuk import)

Jadual baru yang dikeluarkan oleh Football Malaysia diatas adalah lebih relevan. Pasukan dapat menilai prestasi pemain mereka selama beberapa bulan sebelum mengambil keputusan untuk membeli pemain lagi, jika perlu. Jang percaya, Football Malaysia telah pun mengkaji perkara ini secara professional. Pasukan mempunyai banyak masa lagi sebelum benar-benar berpuashati dan mengikat pemain yang mereka mahukan. Pemain juga diberi tempoh masa yang cukup untuk membuktikan mereka layak diberikan kontrak.

download

Pasukan Jang, Negeri Sembilan terkenal dengan kecekapan mengurus dan menandatangani kontrak pemain lama sebelum tempoh masa tamat. Ini menunjukkan mereka tidak buat kerja last minit. Cuma kalau ikat cepat-cepat pun tapi bunko, tak guna juga.

Itu belum kes agen yang mencari pemain import di Amerika Selatan yang bermain di liga kelas 3 dengan gaji semurah RM1,500 sebulan. Agen akan memberi mereka kontrak lumayan bermain di Malaysia dengan skala gaji RM20K – 30K sebulan, sudah tentu mereka sanggup meninggalkan negara mereka. Tapi syaratnya, agen tadi mahukan RM5K setiap bulan dari pemain tadi. Masih lagi berbaloi untuk pemain Amerika Selatan tadi terbang ke Malaysia dengan gaji RM20K, diberi rumah dan kereta berbanding dengan bermain dalam liga di negara mereka.

Itu baru seorang pemain, kalau 5 orang, agen dah makan RM25K setiap bulan selama pemain tadi bermain. Kita sibuk dengan jendela perpindahan, agen seronok dengan mesyuarat tingkap.

Jangan kata Jang tak bongkar!