/Jersi Negeri Sembilan bukan untuk kau pakai dipagi Hari Raya!

Jersi Negeri Sembilan bukan untuk kau pakai dipagi Hari Raya!

Tengahari semalam Jang berkesempatan ke majlis tertutup pengenalan pemain Negeri Sembilan di hotel Allson Klana, Seremban. Entah kenapa ianya diadakan secara tertutup, Jang lupa pulak nak bertanya, macam tertutup pula mulut Jang tadi. Tapi sebagai anak negeri yang tinggi budi bahasa, Jang bersangka baik. Mungkin ini adalah sesi memperkenalkan pemain Negeri Sembilan kepada sponsor, kepada VVIP yang berusaha, kepada pengarah-pengarah jabatan yang bijaksana dan juga kepada pihak media.

Mungkin akan ada satu lagi sesi pengenalan pemain kepada peminat pula. Yelah, yang susah payah turun stadium, meredah malam, hujan dan penat menjerit memberi sokongan sepanjang musim adalah peminat, bukan datuk-datuk, bukan VVIP, bukan pengarah-pengarah jabatan atau media.

Bukan PBNS tak pernah buat sebelum ini. Musim lepas diadakan sesi pengenalan pemain di Center Court Paroi. Punyalah panas tapi penuh stadium sepak takraw tu dengan kehadiran peminat yang datang bersama keluarga. Semua orang seronok dan puas sebelum K. Devan bawa pasukan kita masuk gaung. Kenapa untuk musim ini diadakan secara tertutup? PBNS nak lari dari siapa? Peminat?

Berbalik kepada cerita di Allson Klana tadi. Ketika Jang masuk kedalam dewan, Tok Mat sedang memperkenalkan pemain diatas pentas. Semua muda-muda belaka. Tak silap pemain yang paling tua (senior) adalah Syed Adney yang akan menjaga gawang Negeri Sembilan. Pemain lain semua berumur sekitar 25 tahun. Masa Jang umur 25 tahun dulu, Jang cergas untuk 90 minit masa permainan tanpa jurulatih kecergasan, jadi Jang jangka pemain kita semua ini mampu bermain cergas selama 90 minit juga. Kalau tak…siap la!

Selepas itu Jang pun duduk semeja dengan kapten kita, Taylor Regan, Daniel Ting,Syed Adney,pemain baru dari Selangor (lupa tanya nama) dan Joel Chianese untuk jamuan makan tengahari. Selepas makan, Jang pun mula berbual dengan mereka semua dan bertanya, adakah mereka tahu kedudukan bolasepak Negeri Sembilan sepanjang 2 musim lepas. Jawapannya, mereka tahu dan sudah dibincangkan bersama. Jang tanya lagi, adakah mereka sedar penyokong diluar sana marah? Juga mereka tahu dan kapten Taylor berazam mahu mengembalikan semula keyakinan peminat. Kapten Taylor Regan mahu 10,000 penyokong turun ke stadium!

Jang juga ada berbual kecil dengan bekas pemain Selangor tetapi isinya terpaksa dirahsiakan. Selepas itu Jang berbual hal-hal lain dengan mereka. Tak manis pula asyik bercerita hal bola. Taylor Regan menceritakan hal tattoo di kedua tangannya. Setiap satu ada kaitan tentang famili beliau. Lepas itu dia suruh Jang buat tattoo juga. Itulah namanya budi bahasa.

Menyentuh tentang jersi Negeri Sembilan, bagi Jang ianya bukan buruk dan juga tidaklah hebat sangat. Ianya ‘just nice’. Macam jersi sebelum-sebelum ini juga. Jersi adalah kosmetik, bersifat luaran dan tidak mempengaruhi stamina, taktikal mahupun air muka. Jersi mesti bersifat praktikal dan kelelakian. Kalau nak melawa je, patut la syarikat kosmetik beria nak jadi sponsor. Siapa kata jersi Negeri Sembilan buruk? Apa kau pakai baju Raya ke masa main bola? Tiunasing!

Warga bola Negeri, mari kita sama-sama turun ke stadium Paroi. Kita rapatkan barisan, kita menjerit bersama, kita emosi bersama, kita beri sokongan pada pasukan baru ini. Jika mereka tidak bermain baik, kita maki bersama. Walau kita bukan Datuk atau pengarah yang berperut gendut menghisap cerut, tapi kita telah lama ada bersama Negeri Sembilan, lebih lama dari Matrix Concept!

Ingat! Musuhnya Habis Binasa!