/Jika bukan cinta, maka bom akan menyatukan kita.

Jika bukan cinta, maka bom akan menyatukan kita.

Keganasan dan keselamatan bukan terletak pada dalam dan tebalnya poket kita. Ianya juga bukan terletak pada hujung pedang atau sumbu bom. Bukan pada pengganas dan bukan pada pelampau agama. Pada zaman sekarang ini, keganasan, perang dan keamanan, semuanya dimulakan oleh fahaman politik. Didalam politik tadi terdapat anutan ideologi yang berbeza, hak dan kefahaman yang tidak dapat dipuaskan dan paling keji, keuntungan dari penindasan.

Apa yang tiada dari kesemua itu adalah cinta.

Cinta sesama insan, cinta pada hak dan kebenaran dan paling suci, cinta pada keamanan. Hidup tanpa rasa cinta dan belas bolehlah diumpamakan sebagai zombie. Tau nak makan dan menghisap darah orang saja. Bom meletup dimana-mana setiap hari. Di Sudan, Syria, Perancis atau Malaysia. Yang membezakannya hanya skala letupan, jenis letupan dan kasualiti. Mengikut kata seorang sahabat yang bekerja di Iraq, bom meletup selang sehari. Ada bom kereta, ada bom lori tanker atau apa saja. Kalau sedang minum kopi dikedai dan ada bom kereta meletup diseberang jalan, mereka akan tinjau dulu, kalau ada kematian bawah 10 orang, mereka akan sambung minum macam biasa. Kalau berpuluh yang mati, baru mereka akan rasa tak selamat dan balik rumah.

Kita kat Malaysia, ada eksiden motor terlanggar belakang kereta pun jem setengah jam.

Cinta pada bolasepak selalu menyatukan umat manusia dan ianya telah banyak kali terbukti. Walau berbagai fahaman dan kepercayaan politik, semuanya ditinggalkan diluar stadium. Walau berlainan agama, masih boleh bermain dalam satu pasukan, saling menyokong dan meraikan dengan berpelukan. Pemain bolasepak telah dididik untuk bersikap professional dalam mencintai sukan tersebut. Mereka akan diadili jika bersikap kasar, diberi amaran, dilayangkan kad dan jika terus mempamerkan kebencian dan keganasan, akan diarah keluar padang dan digantung.

Penonton juga mempamerkan rasa cinta mereka dengan penuh bersemangat. Walau kadang-kadang terjadi juga perkara keganasan tetapi dapat ditangani. DI  England, ramai penyokong yang disenaraihitamkan atas sebab keganasan. Pada hari perlawanan, mereka dilarang menghampiri stadium hatta jika berada dua stesen (keretapi) lagi dari stadium, mereka akan dikesan polis dan diarah balik. Hanya penyokong yang benar-benar cintakan keamanan bolasepak sahaja dibenarkan berada didalam stadium. Inilah keindahan bolasepak. (Malaysia entah bila la nak buat pemantauan begini)

Semalam, kita dikejutkan dengan kejadian bom di Perancis ketika perlawanan bolasepak diantara France menentang Germany di Stade De France. Seorang lelaki yang mempunyai tiket cuba masuk kedalam stadium yang memuatkan 80,000 penyokong. Sekuriti yang mencurigainya telah menahan lelaki tersebut yang terus meletupkan dirinya. Seorang lagi meletupkan dirinya diluar stadium selepas beberapa minit. Bayangkan jika kedua lelaki tadi berjaya masuk dan meletupkan diri mereka ketika didalam stadium. Ini akan mencetuskan panik dan akan berlaku banyak kematian akibat berebut keluar dan dipijak. Itu distadium yang mempunyai ramai sekuriti dan steward yang menjaga tangga. Ok, bayangkan Bukit Jalil full house, stadium yang langsung takda steward jaga, tangga dan pintu masuk penuh, RELA yang hanya periksa botol air….ahhh..Malaysiaku!

Semalam juga kita melihat cinta dan belas kepada kanak-kanak menghimpunkan 2 pasukan yang terdiri dari superstar bolasepak dunia bermain. Terlalu ramai superstar sampai Jang tak tahu nak kagum yang mana pada zaman muda mereka. Ronaldinho terlalu hebat, Figo, Pires, Beckham, Scholes, Cafu…Jang cuma mengimaginasikan mereka ketika muda dan bermain dalam satu pasukan. Mampus keeper kene buat kerja! Cuma Kluivert, masa muda dan tua sama saja lembabnya. Untuk bercerita pasal superstar dan game semalam mungkin perlukan satu post baru kerana ianya terlalu indah. Alex Ferguson kembali berjalan ditepi padang dan duduk dibangku simpanan…ahhhh orgasm!

Dalam bolasepak wujud unsur keganasan dan keamanan tetapi cinta terlalu besar untuk dikalahkan.