/Jika tak mampu ikut resmi JDT, ikutlah resmi Padi.

Jika tak mampu ikut resmi JDT, ikutlah resmi Padi.

Maksud Jang, resmi padi disini ialah resmi pasukan Kedah. Mereka agak konsisten dalam membentuk pasukan yang solid setiap tahun. Ya, walau ada turun naik, Kedah Maju 2010 pernah terjerumus ke Liga Perdana, namun 4 tahun kebelakangan ini, mereka berjaya mengekalkan kedudukan yang baik dalam Liga Super. Mereka juga kurang kontroversi (hal politik mereka kita toksah bincang) dan mereka ada (walau bukan sentiasa) memberi peluang kepada pemain muda untuk menyerlah. Seingat Jang, semenjak awal 90an, Kedah sentiasa mendapat sokongan padu penyokong mereka sehingga kini. Penyokong mereka bukanlah suci belaka, konsep menang puji, kalah maki juga ada diamalkan. Namun, kehadiran penyokong Kedah adalah lebih baik (dari Selangor, misalnya) Kali terakhir mereka turun ke Paroi dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia lepas, kedatangan mereka sama banyak dengan jumlah penyokong Negeri Sembilan! (maknanya, penyokong Negeri Sembilan pun handal, simple!)

Tapi, itu semua boleh dilawan dan dipertikai, jika kau semua mahu. Namun, ada satu perkara yang Jang anggap sangat luarbiasa untuk sebuah pasukan seperti Kedah lakukan, iaitu mengambil Aidil Sharin Sahak dari Temasik sebagai jurulatih mereka. Ini buat Jang kembali menulis! (Ya, Negeri Sembilan juga ada ambil V. Sundramoorthy dari Temasik, tapi itu cerita lain)

Selepas kehilangan Tan Cheng Hoe kepada pasukan kebangsaan pada 2017, Kedah memberi peluang kepada bekas pemain mereka, Nidzam Adzha untuk membimbing pasukan, namun hanya semusim menuai padi. Selepas itu Kedah beralih kepada beras import (Ramon Marcote) untuk memberi makan kepada Anak Kedah, namun hanya bertahan selama 4 bulan sahaja. Kedah kembali semula kepada Nidzam Adzha (juga 4 bulan sahaja bertahan) dan kemudian dibimbing oleh Azzmi Aziz selama 2 bulan. Selepas padi menguning, Kedah berubah selera mengambil Aidil Sharin Sahak dari Home United (Singapura) untuk turun ke bendang.

Selalunya dalam situasi biasa sebuah pasukan besar seperti Kedah, FA mereka akan dengan segera mengambil atau disogokkan dengan jurulatih otai seperti Azraai Khor (yang pernah beri kegemilangan treble kepada mereka) atau mana-mana jurulatih lain untuk berlawan resume – siapa paling banyak bawa Piala Malaysia/FA/Sumbangsih kepada pasukan untuk menjadi jurulatih. Bagaimana Kedah boleh beralih kepada Aidil Sharin adalah satu misteri yang Jang berminat untuk tahu. Memang Aidil ada rekod cemerlang di Singapura, tetapi Kedah boleh melihat melangkaui Tambak memang copy ori.

Kedah juga menggunakan khidmat pemain veteran mereka (yang belum berlesen) untuk menjadi jurulatih kepada pasukan sekolah. Bekas pemain veteran merangkap jurulatih tidak berlesen ini jugalah yang secara automatik menjadi scout kepada ubi-ubi baru untuk dibawa kehadapan. Nampak tak apa lagi kelebihan dari situasi ini? Ya, kebajikan bekas pemain terjaga dan diguna sebaiknya, jadi mereka tidak terabai (mengadu kat Harian Metro jual goreng pisang, misalnya) Walau gaji tidak lagi besar seperti semasa bermain, tetapi mereka masih berada dilapangan yang mereka suka, iaitu bola sepak.

Kebanyakan bekas pemain ini juga ada ilmu kerana mereka dahulu pun berlatih dibawah jurulatih luar, seperti Robert Alberts. Bekas pemain seperti Tan Cheng Hoe, Azmi Mahmud, Azraai Khor, Radhi Mat Din dan ramai lagi adalah contoh bekas pemain yang digunakan kembali oleh pasukan Kedah. Perasan tak, Tan Cheng Hoe begitu hebat bersama Kedah dan kemudian berjaya bersama pasukan kebangsaan. Tetapi ramai jurulatih sebelum ini begitu hebat bersama pasukan (Pahang, misalnya) tetapi tersungkur ketika bersama pasukan kebangsaan? Apa beza falsafah kedua jurulatih itu tadi? Eloklah kau fikirkan sendiri. Asyik Jang je kena fikir.

Jang dengar, Aidil Sharin bebas dan berani menentukan pasukannya. Dia tidak ada masalah untuk simpan pemain import jika mereka tidak perform. FA tidak akan ganggu pemilihan pemain oleh jurulatih. Inilah semangat yang kita mahu. Pemain import yang tidak perform mesti diajar bukan sentiasa diturunkan kerana gaji mahal, main macam setan pun turunkan jugak.

Bagi Jang, banyak pasukan mengeluh dan akan kata JDT bolehlah, ada anak Sultan jadi presiden, duit banyak, tiap tahun boleh jadi juara. Baiklah, jika FA lain tidak mahu pandang ke Selatan, Jang nak rekemen naik ke Utara pulak. Belajarlah dengan Kedah. Mereka FA biasa saja macam FA lain, takda anak Raja. Tapi mereka gunakan apa yang ada. Mereka percaya kepada DNA pemain generasi baru mestilah dilatih oleh seorang jurulatih baru, muda dan yang ada falsafah. Jurulatih lama untuk target dan menang piala domestik ini is so yesteryear!

Kedah hilang Akhyar Rashid, Syazwan Zainon, Akram Mahinan, Liridon, Halim Saari dan Tan Cheng Hoe tetapi mereka tenang. Mereka tidak jadikan kehilangan bintang sebagai satu alasan. Mereka kembali menjuarai Piala FA dan layak ke final Piala Malaysia dengan pemain baru, muda dan jurulatih bukan recycle.

Untuk pasukan Jang, Negeri Sembilan, ambillah pengajaran dari pasukan Kedah. Gunalah jurulatih muda yang ada taktikal dan jangan ganggu kerja jurulatih. Biar jurulatih tentukan semua hal dalam padang. Jangan nak dengar jolokan dan bisikan orang luar dari persatuan untuk ambil orang ini, ambil jurulatih ini dan sebagainya. Kerana jika Negeri Sembilan merudum, bukan orang luar yang akan dikecam penyokong, tetapi persatuanlah yang akan menerima balanya.

Jangan ikut resmi lalang, makin tinggi, makin menjulang, meliuk lintuk mengikut arah angin tetapi tidak kemana.

Jang,
Biar Jaso Jadi Konangan

Buapak Bolasepak Beradat