/Kata-kata Semangat Buat Penyokong Dan Pemain Negeri Sembilan 2018

Kata-kata Semangat Buat Penyokong Dan Pemain Negeri Sembilan 2018

Tujuan abang Tom menulis artikel pendek ini adalah untuk membakar semangat penyokong-penyokong dan pasukan Negeri Sembilan untuk perlawanan pertama Liga Super 2018 di Paroi pada Rabu 07 Febuari 2018 ini. Sengaja abang Tom meletakkan penyokong di depan sebelum pasukan kerana abang Tom yakin nilai penyokong lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan nilai pemain bola sepak. Kemungkinan penyokong-penyokong inilah akan menjadi titik survival pasukan Negeri Sembilan di Liga Super 2018.

Dalam hierarki bola sepak, abang Tom berpendapat darjat penyokong sentiasa berada di atas pemain dan staff. Kita bayangkan bola sepak ini seperti unggun api. Jika kayu api itu umpama pemain, arang umpama pegawai-pegawai bertugas dan abang Tom sebagai minyak. Penyokong pula adalah umpama oksigen, yang membuatkan api tersebut terus menyala. Cuba kita buat unggun api di Marikh, ianya pasti tidak akan menyala kerana Marikh tak ada oksigen. Nampak tak?

Pada bulan lepas, terdapat perlawanan di antara Huddersfield dan Liverpool yang abang Tom boleh jadikan contoh. Di perlawanan ini, pasukan Huddersfield tidak menyerang sehinggakan lima minit terakhir dan ketinggalan 3-0. Kita fahamlah mereka bukan pasukan pilihan tetapi tidak adil untuk penyokong-penyokong yang hadir melihat pemain-pemain mereka sebegitu di tempat sendiri. Namun, penyokong-penyokong mereka tidak berhenti menyanyi dan memberikan semangat pada pasukan mereka. Sehinggakan Steve Mcmanaman kagum lantas menganugerahkan man of the match kepada penyokong Huddersfield dan mengkritik pasukan Huddersfield tidak memberikan reaksi yang sepatutnya.

Baru-baru ini, kita tengok rata-rata penyokong Malaysia juga memberi reaksi yang positif ketika pasukan kebangsaan bawah 23 tahun menentang pasukan negara Running Man. Mereka bermain dengan semangat dan cara bermain bola sepak yang sebenar. Tidak menang tapi membanggakan. Ini juga kami mahukan daripada pemain-pemain pasukan Negeri Sembilan. Bukankah itu sudah cukup untuk menunjukkan penghargaan untuk penyokong-penyokong Negeri Sembilan?

Jadi abang Tom menyeru kesemua penyokong-penyokong pasukan Negeri Sembilan. Baik di Kuala Pilah mahupun Bahau. Baik di Seremban mahupun Liverpool. Marilah kita sama-sama membakar semangat pasukan kita. Biarlah kita menjadi oksigen yang tidak nampak pada zahir tapi penting kepada unggun api skuad Rusa ini. Penuhkan stadium keramat Paroi ini dengan lautan kuning dan paluan gendang. Tunjukkan kepada orang Kuala Lumpur cara bermain bola yang sebenar. Tanamkan perasaan takut kepada pasukan lain bila bermain di Paroi ini. Untuk pemain-pemain pula, tunjukkan kami cara bermain Negeri Sembilan yang terkenal. Dengan semangat, kekuatan dan agresif. Kami cabar kamu semua buktikan pada Rabu ini!

 

P/S: Jumpa di Paroi sekalian yang setia.

Kongsi artikel ini: