/Kelayakan Piala Asia: Hong Kong vs Malaysia, siapa pemenang natural?

Kelayakan Piala Asia: Hong Kong vs Malaysia, siapa pemenang natural?

Malaysia perlu menang dan mendapat 3 mata malam ini jika mahu layak ke Piala Asia kerana selepas perlawanan ini, mereka akan bertemu Korea Utara (entah bila dan dimana) dan Lebanon di tempat lawan dan agak sukar untuk menang kedua perlawanan tersebut. Rekod Nelo Vingada juga tidak berapa sedap semenjak mengambil alih pasukan Malaysia (bukan nak kata rekod sebelum beliau ambil alih itu sedap) tetapi kalah kepada Lebanon dan seri dengan Hong Kong sebelum ini bolehlah dianggap beliau tidak memberi impak berbeza seperti diharapkan.

Beri masa lagi? Masa hanya untuk pasukan remaja, sekolah, pembangunan dan akar umbi. Untuk pasukan senior, kita boleh bagi semua kecuali masa.

Barisan pemain pilihan Nelo Vingada, boleh kata hampir serupa atau tidak banyak perubahan. Kurang periksa pula Jang, kenapa kita seperti miskin pilihan pemain atau adakah hanya ini sahaja barisan pemain dalam liga Malaysia yang boleh diharap, boleh diketengahkan, boleh dibawa memahami taktikal dan sebagainya. Jang bukan apa, jika ada pemain yang tidak pun mendapat tempat sebagai kesebelasan utama pasukan mereka sendiri atau baru pulih dari kecederaan dan tidak mendapat kecergasan sepenuhnya untuk bermain (match fitness) tetapi masih dipilih, maka ini secara langsung adalah satu tamparan ke muka pemain lain yang sangat baik, sangat cergas, bermain kesemua perlawanan pasukan mereka sebagai pemain utama dan mempunyai match fitness. Jika ada la. kalau takda, bagus la. Tapi Jang percaya juga pada pilihan Nelo dan TCH.

Berbeza dengan pasukan Hong Kong dibawah kendalian Kim Pan-gon yang diberitakan menukar 7,8 pemain mereka untuk perlawanan malam ini. Jang pun tak pasti pemain mana atau bagaimana proses naturalisi mereka tetapi jika perlawanan di Melaka lepas diambil kira, boleh lah dikatakan mereka memilih pemain bangang sebagai naturalisasi. Imbas kembali perlawanan terdahulu, beberapa peluang terbuka depan gol yang disia-siakan serta satu tendangan penalti lemah yang ditampan penjaga gawang kembali semula ke kaki… tendang keluar pulakkkk! …. bookie pun malu tunjuk muka la kalau macam tu punya main.

Kedua pasukan memilih kebergantungan kepada pemain naturalisasi untuk menyempurnakan misi. Jang memang tak berapa nak blah dengan konsep naturalisasi ini kerana belum berjumpa lagi pemain yang jauh kualitinya berbanding pemain tempatan walaupun mereka dilahirkan dibawah teres Anfield. Bagi Jang pemain naturalisasi adalah sama seperti buah epal dan anggur yang kita import dari Australia dan dijual di dalam pasaraya sejuk. Kita hanya tahu manisnya selepas kita beli dan gigit dan selalunya kita jumpa yang tidak berapa nak manis sangat, sekadar tak masam saja. Sedangkan buah-buahan tempatan yang kita tanam dan jaga dan bajai sendiri kita biarkan dijual lambak ditepi jalan. Ewah! Itu cerita lain.

Kembali kepada perlawanan; semua orang mahukan kemenangan kepada pasukan negara malam ini. Berbekal hanya 1 mata (kurang satu perlawanan) Malaysia terpesorok dibawah sekali dalam kumpulan. Pendokong bola sepak sudah melihat banyak pasukan lain yang layak ke Piala Dunia seperti Egypt dan Iceland. Kita melihat video bagaimana Mohammad Salah menjaringkan gol penalti saat akhir (minit 95) untuk Egypt dan bagaimana mereka meraikan kejayaan ini. Takkan sampai alam ini musnah dan dibakakan, kita hanya mampu sebak melihat aksi penyokong lain layak ke Piala Dunia? Penat tau tak! Costa Rica dan Iceland, kenapa mereka boleh layak? Pakai pemain naturalisasi ke mereka?

Hmm..cepat keluar topik Jang ni bila meroyan tapi maksud Jang ialah, nak juga kita ni merasa gembira pasukan Malaysia layak ke Piala Asia. Salah ke? Apa itu pun salah keeee?

Adakah pemain dan pengurusan kita dapat mencapai kemenangan malam ini? Mampukah mereka mengawal emosi mereka jika terdapat keputusan yang tidak memihak kepada mereka? Bolehkah pemain kita bertahan sehingga wisel penamat kerana kita kadang-kadang leka atau koyak disaat akhir. Apa ramalan anda tentang perlawanan malam ini?

Ramalan Jang, jika pemain naturalisasi pilihan Hong Kong bermain baik, mereka akan menang 2 gol tanpa balas. Ikut sejarah, Jang selalu ramal terbalik.

Gambar pinjam Asiana.my

Kongsi artikel ini: