/Kenapa bola sepak kita cepat MELINGKUP terjawap!

Kenapa bola sepak kita cepat MELINGKUP terjawap!

Begitu meriah sambutan yang diberikan oleh pencinta bola sepak tempatan terhadap survey yang Jang lakukan pagi tadi. Rata-rata menjawap atau menyalahkan pengurusan sebagai punca bola sepak kita cepat MELINGKUP. Pengurusan kewangan yang gagal, tiada fanbase, angkuh, membayar gaji terlalu tinggi, tidak ada passion, bersifat populis, bukan budaya, pemilihan pucuk pimpinan melalui undi yang tidak sah (wow!), rasuah, chingey, kurang zat, sibuk Insta story, media sosial takda engagement, pantang ditegur, syok sendiri dan kaki report.

Semua jawapan adalah tidak salah. Cuma, bagi Jang, semua itu bersifat akhiran atau penghujung kepada permasalahan sebelum MELINGKUP. Maksud Jang, perkara pokok kepada permasalahan tadi tidak disentuh. Mujur Jang ada untuk beritahu jawapan yang paling tepat kerana semua sedia maklum, Jang sentiasa betul. Hmmmmm

Melihat senario permasalahan bola sepak untuk musim 2019 ini, terus terang Jang kata ianya sangat-sangat buruk. Jang akan kagum dan tabik jika liga masih berjalan seperti biasa Februari nanti. Tetapi mengenal kepada sifat semulajadi KORANGS semua yang mudah lupa kepada perkara pokok, maka kita akan terus menikmati perjalanan liga seperti tiada apa-apa berlaku. Masalah gaji perlahan-lahan akan jadi terpencil dan dilupakan. Apabila pasukan yang kau sokong menang, kau terus bersorak gembira, walhal kau tahu yang gaji pemain masih sangkut semenjak 2017. Banyak pasukan dibubarkan atau sepatutnya tidak layak lagi memasuki pertandingan etapi masih ada. Hanya Tuhan dan mereka yang berkuasa sahaja tahu. Pasukan tak sampai setahun jagung ditubuhkan dengan gah, baru 2,3 musim bermain kemudian sudah hilang, gagal dikesan radar.

Ini menimbulkan persoalan, kenapa pasukan cepat MELINGKUP?

Jawapannya boleh berbagai dan bermacam serta kompleks atau mudah tetapi pattern kepada permasalahan ini adalah sama iaitu pasukan bola kita kebanyakkannya bermula dari atas, bukan dari bawah. Terbalik! Kita bermula dari pucuk pokok tanpa dahan, batang dan paling penting, tanpa akar yang kuat memegang tanah. Pasukan bola sepak kita tidak bermula dari komuniti. Apakah sifat pokok yang tidak berakar dan berbatang kuat? Apabila datang angin kuat, pokok akan tumbang menyembah rumput. Cuba kau senaraikan nama pasukan yang telah kembali ke alam baka dan kau lihat, adakah mereka bermula dengan komuniti? Mulakan dengan MPPJ, Public Bank atau MK Lands.

Asas kepada kekuatan pasukan bola adalah komuniti (penduduk atau liga atau pasukan). Komuniti adalah safety net kepada pasukan apabila terjatuh. Komuniti adalah safety boat kepada kapal besar yang berlayar dilautan. Kapal yang berlayar dilautan tanpa safety boat adalah kerja gila! Titanic tenggelam dan ramai terkorban kerana safety boat tidak cukup. Maknanya apa? Komuniti kena kuat dan ramai. Komunitilah yang sepatutnya menghasilkan pemain melalui liga mereka.

Jang terpaksa mengambil contoh pasukan Felda United. Sepatutnya pasukan Felda United boleh menjadi sebuah pasukan swasta yang sangat kuat dan takkan goyah walau dilanda perubahan kerajaan, walau dilanda kemelut pucuk pimpinan dicantas dan Isa Samad direhatkan. Felda United sepatutnya menjadi sebuah pasukan kaya raya kerana bisnes mereka bertaraf global. Duit mereka berbillion tetapi kenapa gaji sangkut? Kenapa ada ura-ura pasukan Felda United mahu dikembalikan ke alam baka?

Kerana mereka bermula dari atas dan tidak turun sepenuhnya keperingkat tandan sawit.

Mungkin mereka menubuhkan pasukan dari Menara Felda yang gah di Persiaran KLCC dengan tanggapan semua peneroka Felda akan menyokong pasukan mereka. Sepatutnya Felda mesti bermula dengan komuniti mereka sendiri. Mereka mesti bermula dari bawah, dari Felda Pasoh, Jelai, Palong, Keratong, Felda Mawi World dan makwenya sapa ntah, Felda-felda serata Malaysia yang sangat banyak dan luas serta mempunyai beratus ribu penduduk. Mereka sepatutnya memulakan liga sendiri diantara gugusan Felda dan apabila liga mereka sendiri telah kuat dan ada fanbase baru tubuhkan satu pasukan besar Felda United. Percayalah, kalau ianya bermula dari komuniti bawahan Felda, kemana sahaja pasukan ini pergi bermain, semua penduduk Felda akan turun menyokong sebab hati mereka telah lama bersama Felda.

Jika proses ini dilakukan secara terbalik, iaitu dari atas turun kebawah, ianya akan jadi pelik. Macam suruh Kak Ijat dan laki dia bela lembu dalam projek feedlot. Maksud Jang, mana ada dalam dunia ini orang bela lembu naik Mercedes S Class, pakai driver, baju sut Armani? Kat Texas, mereka naik kuda, pakai jeans dan boot. Jika tidak boleh mengubat luka yang berulat dikaki lembu, jangan berniat nak jadi pengembala lembu. Mestilah melantik orang yang tepat untuk tugas yang betul, baru akal dia sampai. Sama kes dengan pasukan bola, jika tak pernah rasai denyut nadi anak Felda menaikkan tandan sawit ke atas lori (berat setannnn!) jangan la tertanya-tanya jika anak peneroka Felda tidak mahu sokong mereka. Dah la yang mencari duit, bersusah payah dibawah pokok sawit adalah golongan peneroka bawahan, sudah tentu timbul dihati mereka rasa cemburu dengan gaji besar pemain Felda yang bukan dari kalangan mereka. Berbeza jika pemain itu datang dari komuniti Felda, walaupun seorang, Jang yakin, satu gugusan Felda akan turun menyokong.

Felda United hanyalah contoh yang Jang terpaksa gunakan kerana jika pasukan sekaya dan seramai ini kaumnya boleh goyang, bayangkan pasukan seperti Felcra FC (Almarhum), UITM, UKM, Negeri Sembilan, Kelantan, Petaling Jaya FC, Perlis Northern Lion yo!, PKNP, PKNS (buat rumah lagi tak?) dan banyak lagi. Sense of belonging, penglibatan komuniti dari bawah adalah asas dan akar pasukan. Jika semua ini terjaga dan dibajai, isu-isu besar lain akan cepat diperbaiki. Jika rasa diri tinggi dan berkuasa diatas, ingatlah, komuniti bawahan yang hina dina inilah yang bakal meniupkan sangkakala kepada riwayat pasukan. Bak kata orang, macam lidi penyapu la. kalau ada 5 batang je, begitu mudah dipatahkan. Kalau ada 5000 batang dan diikat menjadi satu, ianya jadi kuat dan tidak mudah nak dipatahkan.

Segala permasahan tadi, seperti duit, management, sponsor, blahblah hanyalah masalah dihujung pokok yang membawa kepada terlingkupnya pasukan tetapi jika ada komuniti yang kuat (seperti kebanyakan pasukan luar) rasanya ia dapat diselesaikan dan takkan berulang lagi. Kalau berulang juga setiap tahun masalah yang sama, maknanya itu komuniti ahli neraka.

Jang,
Komuniti Kampung

Nota: Untuk rekod telah banyak pasukan dan liga komuniti bola sepak wujud sekarang dan kita mesti beri mereka sokongan kerana mereka lebih dekat dengan kita.

Buapak Bolasepak Beradat