/Kenapa Juara Bertahan Selalu Balik Awal: Edisi Jerman

Kenapa Juara Bertahan Selalu Balik Awal: Edisi Jerman

Apa khabar penyokong tegar skuad bapa segala kejuruteraan semua? Masih lagi bersedih? Janganlah begitu. Ini adalah normal dalam bola sepak. Tidak manis bola sepak itu apabila menang sentiasa. Bak kata pepatah orang Minang, bola itu bulat (Memenangi anugerah pepatah paling simple tetapi jitu pada tahun 1996). Kadang-kadang kita menghina Brasil dengan gelaran tujuh satu, tahu-tahu orang hina kita balik dengan menggunakan Korean SON Goku. Benda biasa!

Pernahkah kita bertanya, kenapa pasukan juara bertahan ini selalunya akan balik awal? Jika kita mengimbasi sejarah seperti budak-budak Liverpool menceritakan tentang sejarah mereka, kita akan lihat situasi juara bertahan balik awal ini bukannya perkara baru. Perancis pada tahun 2002, Sepanyol pada tahun 2014 dan beberapa contoh lain yang tak perlu abang Tom senaraikan untuk menghina pasukan juara bertahan ini. Sampai ramai yang percaya badi juara bertahan itu benar dan hasil daripada perbuatan illuminati.

Seperti biasa, abang Tom dan rakan-rakan Ultrajang cuba menganalisa mengapa perkara ini terjadi untuk para pembaca. Ramai di antara kami memberikan pendapat masing-masing. Tetapi pendapat yang paling menarik hati abang Tom mestilah datang daripada pendapat abang Tom sendiri iaitu hilangnya motivasi untuk menjuarai World Cup. Ya, hanya kerana motivasi negara kuat seperti Perancis dan Jerman terkandas begitu sahaja selepas menjuarai World Cup edisi sebelumnya. Ini sebenarnya adalah hukum alam yang mungkin kita terlepas pandang.

Kenapa Motivasi

Setiap manusia mempunyai kemahuan ataupun motivasi tersendiri untuk menjayakan sesuatu. Motivasi wujud di dalam karier, pelajaran, malahan bola sepak sendiri. Ini yang keep us going bak kata orang Senaling. Jika Tom Hanks dalam cerita Castaway menjadikan kotak kurier yang terakhir sebagai motivasi untuk beliau terus hidup, samalah juga pada tiap-tiap pasukan yang menjadikan cita-cita mengangkat Piala Dunia sebagai motivasi. Jika objektif telah tercapai, menjadi sifat manusia untuk melupakannya. Jerman yang motivasinya kurang (bukan hilang secara total), lebih mengambil mudah dalam bertahan dan mencari gol. Kita masih boleh berbeza pendapat tentang faktor kehilangan kelibat Thomas Muller dan Mesut Ozil namun hakikatnya keseluruhan pasukan Jerman hilang motivasi untuk berjaya. Tapi kenapa situasi ini tidak berlaku di liga ataupun tournament seperti UCL?

Ini kerana liga, UCL dan pertandingan sepertinya mempunyai nilai yang lain. Masih ada unsur duit padanya dan nilai kesetiaannya berbeza. Ada perbezaan bermain untuk negara sendiri dengan kelab yang mungkin mereka tak pernah tahu wujud pun sebelum menyertainya (Misalnya Riyad Mahrez yang menyangka Leicester City adalah kelab ragbi). Pendek kata bermain untuk kelab lebih kepada pekerjaan dan bermain untuk negara lebih kepada kemegahan. Ini dapat dibuktikan dengan cara mereka bermain. Kalah satu perlawanan pun sudah cukup untuk mereka mengalirkan air mata. Air mata yang sebenar bukan seperti Neymar! Tambahan pula, kita tidak boleh menukar-nukar pemain untuk meningkatkan motivasi pasukan dengan menukar pemain-pemain baru seperti di kelab masing-masing.

Kesimpulan

Jadi apa solusi untuk mengekalkan motivasi pada pasukan? Setakat ini abang Tom masih tak dapat fikirkan apa jawapan untuk persoalan ini. Tapi yang abang Tom boleh nyatakan kelibat pemain utama yang sentiasa dahagakan kemenangan menjadi unsur utama untuk menaikkan motivasi sesuatu pasukan. Walaupun pasukan tersebut sudah menjadi juara. Mereka ini seolah-olah harimau buas yang tidak pernah puas dengan seekor mangsa. Sebab itu World Cup ini lebih banyak dikaitkan dengan individu seperti Pele, Diego Maradona,  Ronaldo, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Ijat Neymar. Relevan tak andaian abang Tom?

 

P/S: Hah, bagi pendapat masing-masing kenapa juara bertahan selalu balik awal? Nak tengok bijak ke tak bijak masing-masing.

 

– Tom Bombadil, Ketua Jurutera Kilang Adidas –

 

Kongsi artikel ini: