/Kenapa Nuor Muso perlu RM12 juta untuk jadikan Kelantan power?

Kenapa Nuor Muso perlu RM12 juta untuk jadikan Kelantan power?

Banyak betul berita bola tempatan yang sedap-sedap Jang terlepas sebab bercuti panjang. Berita Kelantan dengan Qu Puteh, berita logo baru Pahang yang ‘cute’, berita perpindahan pemain yang cuba disensasikan ala-ala eropah dan sebagainya. Inilah kemeriahan bolasepak tempatan yang dekat dihati kita. Berita duit banyak dengan takdok pitih juga boleh dimeriahkan kalau kene pada strategi masing-masing.

ultrajang.com memulakan tahun baru 2016 dengan menyiarkan satu artikel tulisan Han Oryza tentang kemelut bolasepak Kelantan.. tentang pitih la..apo lagi! Bagi Jang, Qu Puteh dah menang banyak bila berita beliau mahu menaja pasukan Kelantan disensasikan, pasukan Kelantan pula masih belum tau menang atau kalah.

Baca!

Menurut sumber Astro Awani 29 Disember 2015, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Annuar Musa mendakwa The Red Warriors (TRW) memerlukan dana lebih 12 juta untuk membentuk pasukan bola sepak yang ‘power’.

Katanya lagi, RM4 juta diperlukan untuk seorang pemain import. Ini bermakna jika TRW membeli 3 import, maka kos RM12juta dihabiskan begitu saja dengan belanja kasar lebih RM300,000 sebulan bagi setiap pemain.

Entahlah kenapa mahal sangat sebab pemain import paling tinggi bayaran dalam Liga-M musim lalu pun gajinya baru RM250,000 sebulan (Patricio Julian Rodriguez – JDT). Apakah Annuar meletakkan nilai gaji pemain import JDT (RM200K ke atas) sebagai penanda aras untuk jadi pasukan yang kuat?

Ataupun ‎Annuar bermaksud RM300K sebulan itu sememangnya kos asas untuk menanggung seorang pemain import yang bagus di Malaysia dengan purata gaji RM50K – RM70K sebulan, termasuk kos tambahan lain seperti insurans perubatan, sewa rumah, kereta, tiket kapal terbang, bonus, elaun, pakej penuh Astro, dan potongan Yapeim serta GST. Agaknyalah.

Jika RM12 juta untuk pemain import yang bagus, mungkin RM12 juta lagi diperlukan untuk membayar gaji semua pemain senior dalam pasukan.

Itu belum masuk lagi gaji tenaga kerja bukan pemain seperti presiden, pengurus, jurulatih, penolong jurulatih, pakar fisio, drebar bas, budak Milo, admin laman web/FB, fotografer, video grafik dan ketua tim sorak. Jangan lupa pula kos utiliti dan senggara sepanjang musim seperti WiFi, komputer, buku tulis, pen, bola, wisel, kon, ubat Yoko-Yoko, ubat spray kaki cramp, minyak cap kapak, mentol bilik terbakar, bil air dan api, 100 Plus botol besar, bip, kiub ais, katering, tiang gol, tiket pergi balik (bas dan kapal terbang), belanja sate, karaoke, saman parking, denda FAM sebab fans baling suar dan lain-lain. Mahu makan RM12 juta lagi.

Nah, setiap pasukan di Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM36 juta setahun untuk membentuk sebuah pasukan bola sepak yang kuat. Jika bijak melakukan perbelanjaan berhemat, kos masih lagi berlegar sekitar rm20 juta setahun.

Kebiasaannya, sumber dana FA negeri diperoleh daripada hasil kutipan tiket yang kemudian perlu dibahagikan kepada pihak pengurusan stadium, FAM dan FA pasukan lawan. Suntikan dana turut diterima daripada FAM yang menerimanya daripada bajet tahunan Kerajaan Persekutuan. Ini termasuk dana Majlis Sukan Negeri yang menerimanya daripada bajet tahunan Kerajaan Negeri. Kemudian ditambah pula duit tajaan pihak korporat dan sesiapa saja entiti yang berkenan menghabiskan duit kompeni mereka di kaca tivi yang stail rakamannya masih ditakuk 80-an.

Masalah berlaku apabila bajet FAM dan MSN dikurangkan atau dihadkan pada sesuatu musim. Ini bergantung kepada bajet FAM (Persekutuan) dan MSN (Negeri), di mana kedua-dua badan itu amat dipengaruhi kuat faktor politik semasa. Kalau MB penggal itu lebih berminat sukan hoki, mungkin bajet hoki dilebihkan. Kalau Menteri Belia dan Sukan minat gimrama, mungkin bajet gimrama dilebihkan. Begitulah sepak terajangnya bola sepak kita.

Jadi, nampak tak keperluan kenapa setiap FA negeri perlu bangkit berdikari dan mengurangkan kebergantungan mereka kepada FAM dan MSN? Kenapa perlu tunggu FAM letak tarikh dan syarat tertentu untuk FA negeri mula swastakan liga? Dan kenapa kita masih lagi bengap kerana berterusan menyalahkan FAM yang bengap? Sedangkan FA kita pun bengapnya lebih kurang sama juga. Kita pula? Ya, kita saja yang tidak bengap. Kannnn…

Akhir kalam,  BolaSepakDemoWajahDemo