/Kisah Inspirasi pembangunan akar umbi

Kisah Inspirasi pembangunan akar umbi

Hal pembangunan bola sepak, seperti yang Jang selalu tulis dalam beberapa artikel lepas, juga seperti yang Jang pernah bebelkan semasa menjadi kurator twt_bola seketika dahulu; hanya layak dan sesuai dibincangkan oleh mereka yang benar-benar turun padang dan merasai sendiri ‘denyut nadi’ akar umbi pembangunan bola sepak itu sendiri. Dengan kata lain, jika kau tidak pernah turun padang, melihat dan merasai sendiri denyut nadi itu tadi, maka kau tidak layak bercerita tentang pembangunan.

Setuju?

Pembangunan bukan sekadar mengumpul kanak-kanak dalam satu akademi dan kau ajar mereka bermain bola. Ianya bukan sekadar masalah transisi dari akademi ke peringkat senior atau masalah akademi yang tidak mempunyai pertalian dengan mana-mana pasukan senior. Ianya terlalu kompleks merangkumi semua lapisan tetapi ianya tidak mustahil dapat dipermudahkan. Semuanya mesti bermula dengan azam dan keinginanan yang sama, ditambah dengan disiplin yang jitu.

Akademi bola Negeri Sembilan dulu hancur kerana tiada sefahaman diantara guru sekolah dimana kanak-kanak itu belajar dengan jurulatih serta ibubapa. Pertembungan 3 penjuru yang tidak menguntungkan sesiapa. Siapa nak jawab bila seorang emak pelajar akademi yang meraung bila akademi ditutup dan mengadu; anak dia tak pandai belajar sebab sibuk main bola, sekarang akademi tutup, anak dia nak jadi apa? boleh PBNS jawab? Sekolah? MB boleh tolong?

Bercakap tentang akademi dan pembangunan, Jang ada berbual dengan seorang tokoh jurulatih akademi yang cukup berpengalaman. Mengikut katanya, kita sudah temui Ronaldo dan Messi versi Malaysia 5,6 generasi sebelum NFDP diwujudkan. Maksud beliau, setiap tahun Malaysia ada kanak -kanak yang cukup power hasil latihan akademi yang dijalankan atas usaha sendiri. Maksudnya lagi, kalau kau benar-benar mengikuti pembanguan akar umbi, kau tahu yang Malaysia mampu melahirkan pemain atau bakat muda yang sangat hebat. Jika benar kata beliau, kemana hilangnya ‘Ronaldo dan Messi’ Malaysia ini?

Jika di Seremban, hampir separuh ‘Ronaldo dan Messi’ ini sambung belajar dan separuh lagi berakhir dengan bekerja di kilang Samsung/Motorola. Bukan mereka tidak boleh tunggu, tetapi tiada siapa yang menunggu mereka. Persatuan bola negeri sibuk nak ambil pemain luar, recycle pemain yang di reject pasukan lain dan lebih setan maknaling kudu, ambil pemain naturalisasi – macamlah mereka hebat sangat! (untuk rekod; Jang belum jumpa lagi pemain naturalisasi yang lebih hebat dari dari darah Jawa Amri Yahyah)

Bila tiada kumbang yang mahu menghirup madu dari bunga-bunga yang wangi maka pertumbuhan atau pembiakan menjadi terencat dan bunga akan mati. (boom!)

Inspire BudakBola Junior adalah salah satu akademi bola yang wujud di Seremban. Jang sudah beberapa kali turun dan merasai denyut nadi akar umbi, melihat mereka berlatih, bermain dalam pertandingan dan berbual dengan jurulatih mereka. (untuk rekod 2016 Jang sudah turun lebih 20 kali melihat pembangunan akar umbi sukan bola sepak dan ragbi di seluruh Negeri Sembilan – dan kebanyakkanya tidak ada kene mengena dengan badan persatuan yang menjaga sukan tersebut)

Jurulatih sangat berperanan membentuk kanak-kanak sehingga mereka mampu menguasai dan memahami apa itu permainan bola sepak. “Tiada kanak-kanak yang terus tahu bermain bola, semua mesti diajar dan diberi latihan keras” kata jurulatih Inspire kepada Jang. Sepanjang latihan, Jang lihat mereka begitu serius, tiada peluang untuk santai bergelak ketawa, apatah lagi cuba menjadi star – pasti akan dikenekan hukuman dari jurulatih. Mental dan disiplin yang bagus mesti diterap dari peringkat awal. Mereka hanya ‘bergembira’ apabila kejayaan telah dicapai. Perkara asas ini adalah benda sama yang dilalui oleh superstar seperti Drogba, Ronaldo, Messi dan yang lain.

Ibubapa juga diberi pemahaman secukupnya tentang erti sokongan terhadap perkembangan kanak-kanak. Mereka bukan sekadar menghantar anak bermain bola dan membayar yuran setiap bulan tetapi juga disiplin menjadi penjaga kepada anak yang ingin membesar sebagai pemain bola sepak. Kau ingat mereka tak bertekak dalam grup whatsapp? Semua itu dapat dikendurkan apabila mereka benar-benar faham peranan masing-masing.

Baru-baru ini Akademi Inspire BudakBola Junior telah menjuarai kategori bawah 10 tahun SingaCup 2016 di Singapura. JUARA tau? Nombor dua akademi NFDP- ATPP dan ketiga Imran Soccer Academy dari Indonesia. Lebih manis, pemain Inspire, Muhammad Qahir Dzakirin menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan 14 gol! Naik nafsu bola sepak Jang melihat aksi dan gambar mereka di laman FB Insipre https://www.facebook.com/s2soccerkidsinspire/

15027625_1223822047675082_5513377494213320575_n

Bukan mudah untuk menjadi juara apatah lagi pertandingan ini disertai banyak pasukan dari beberapa negara. Tambahan kos perlu ditanggung sepenuhnya oleh Inspire dengan sokongan ibubapa pemain. Bukan mereka tidak minta bantuan kewangan atau sponsorship tetapi alahai, Jang nak bagi detail kat sini pun tak sampai hati. PBNS? Mereka sibuk dengan blue print ‘sistem’ pembangunan bola sepak dibawah kendalian pengarah teknikal bangsa Jerman. Bukan standard mereka nak layan akademi anak Melayu akar umbi yang bersepah di Negeri Sembilan ini.

Pemain Inspire terpaksa bermalam di Johor Bahru kerana faktor matawang yang teruk, mereka tak cukup modal untuk tidur di Singapura. Jam 2.30 pagi kene bangun, jam 3 pagi sudah beratur di Tambak Johor dan kemudian sambung tidur dalam van ditepi padang sehingga jam 7 – semua ini kenangan terbaik bagi mereka dalam mengharungi kehidupan impian sebagai pemain bola sepak. Kesusahan berlatih dan bangun jam 2.30 pagi mereka balas dengan menjuarai pertandingan. Manisssss!

15073536_1288069104570528_1085317511099445475_n

Menariknya semasa di johor Bahru, Inspire mendapat sumbangan dari sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, Tag, hanya melalui FB Mesengger sahaja! Ada banyak lagi kisah menarik tentang pembangunan dan Jang percaya bukan Inspire BudakBola Junior sahaja ada ceritanya. Artikel ini juga bukan ditumpukan khas kepada Inspire tetapi kepada semua akademi yang prihatin kepada pembangunan bolasepak akar umbi dan terutamanya kepada badan yang berwajib melihat kepada pembangunan ini supaya lebih berlapang hati membantu. Tak guna menang piala sampai hujung dunia bila dilaman sendiri kita dilayan macam Rohingya (penghapusan etnik, tau?) dan tugas mudah yang orang kita mampu lakukan diberi kepada orang luar yang kononya lebih hebat. Kisah Inspire BudakBola Junior adalah satu kisah inspirasi kepada semua.

Kita ada ramai ‘Ronaldo dan Messi’ yang sedia terlatih, berdisplin dan paling utama, anak jati akar umbi yang hanya menunggu peluang untuk diserap ke pasukan utama. Mereka menunggu peluang tetapi jika tiada siapa menunggu mereka – kerana asyik memberi peluang kepada orang lain- maka berhentilah kau semua menjadi manusia yang menjaga bola sepak. Baik kau kerja SWM kutip botol plastik dan tin untuk dikitar semula.

Pemain yang kita lihat sekarang di liga Super dan Perdana adalah buah-buahan. Ada yang manis, banyak pula yang busuk dan ada yang tidak cukup masak. Kebanyakan persatuan bola memetik buah-buahan yang sama dari pokok yang tumbuh dilaman orang. Berbahagi-bahagi sesama sendiri buah-buah yang telah diracun dan diawetkan. Entah kenapa tiada yang mahu menanam sendiri dari anak benih, melihat akar menjalar, diberi baja dan memastikan pokoknya tumbuh dilaman sendiri dan membesar dengan sehat lalu menjadi pemain bola sepak yang sangat berkualiti.

Faham?

Kongsi artikel ini: