/Kisah Tragis Penyokong Pahang

Kisah Tragis Penyokong Pahang

Kekalahan Pahang kepada JDT tidak akan menjadi iktibar yang baik kepada Pahang. Tapi kalau difikirkan semula, apa jenis kekalahan dan malapetaka yang boleh menjadi iktibar kepada Pahang? Bauksit? Tanah runtuh dan penggondolan tanah serta banjir di Cameron Highland? Pembalakan haram dan halal maa? Semua itu dipandang lesu bagaikan aliran Sungai Pahang yang menanggung kesakitan akibat kegagalan orang Pahang sendiri.

Baca ulasan syahdu Masao Sato yang cuba menggaitkan freemason, dajjal dan illuminati dalam kemelut Pahang.

Ulasan Pahang vs. JDT

Bebola mata aku merenung jauh ke arah skrin gergasi digital yang berada di sudut kanan Stadium Darul Makmur. Pahang 0 JDT 5 terpapar dengan cukup jelas di skrin gergasi digital tersebut. Aku mengalih pandangan ke bawah sedikit iaitu ke arah Elephant Army, mereka semua terduduk dan suasana agak sunyi di teres itu. Suasana yang janggal dan sangat berbeza daripada kebiasaan. Mereka tidak lagi riuh bersorak dan lincah berjoget seperti di awal perlawanan.

Kemudian aku memusingkan kepala dalam ukuran 45 darjah ke arah kanan. Seorang kakak yang memiliki sosok agak gempal berpakaian jersi kuning pekat Pahang dan di sekeliling lehernya dililit mafla Tok Gajah menjerit-jerit , walaupun begitu getaran yang keluar daripada mulutnya tidak dapat sampai ke bahagian Cochlea yang berada di bahagian dalam telinga aku. Mungkin kerana sudah bertahun-tahun aku tidak mengorek telinga, sisa pepejal telah mengeras hingga menghalang getaran untuk sampai ke bahagian Cochlea yang berfungsi untuk menyerap frekuensi getaran dan menghantar maklumat tersebut ke bahagian otak untuk diterjemah dan difahami. Tapi dari riak wajah dan bahasa tubuh kakak tersebut aku memahami keperitan yang ditanggung beliau.

Selepas melihat gelagat kakak tersebut, bebola mata aku liar memerhati keadaan sekeliling. Penyokong bagai sudah hilang nafsu untuk menonton perlawanan yang tidak berperikemanusiaan tersebut, mereka lebih senang bermain telefon pintar.

Kawan aku yang berada di sebelah tiba-tiba bersuara dengan nada yang sedih seperti baru putus cinta,
“aku harap Pahang tak kena 6-0”.

Lebih kurang 3 saat selepas perkataan itu keluar dari mulut beliau, Jorge Pereyra Diaz meledak gol ke-6 dan melengkapkan tragedi hitam 6 jahanam di Stadium Darul Makmur.

Tiba-tiba peristiwa yang berlaku ketika dalam perjalanan dari kampong halamanku di Kuala Lipis ke Stadium Darul Makmur menguasai fikiran. Aku menaiki bas Lin Siong ke Kuala Lumpur dan kemudian menukar bas lain menuju ke Kuantan. Perjalan tersebut memakan masa agak panjang selama 6 jam. Ketika di perhentian bas Pekeliling di KL, aku dan kawanku berehat untuk santapan tengah hari di sebuah restoran yang agak berprestij. Aku memilih restoran itu kerana namanya yang sangat menawan “Restoran Nasi Ayam Sedap”. Seorang Mak Cik tua yang berkulit cerah dan berwajah jernih menghampiri kami untuk mengambil tempahan.

Kawan aku meminta Nasi Ayam Penyek. Mak Cik tersebut jawab dengan riak muka tak bersalah,”tak ada”.

Kawan aku meminta nasi ayam berempah. Sekali lagi jawapan yang sama, “tak ada”.

Kawan aku yang kelihatan kecewa pun cakap, “Bagi nasi ayam biasa je lah”.

Aku pun membuat pesanan yang sama nasi ayam biasa dan milo ais. Tanpa diduga Mak Cik tersebut menanya soalan yang agak aneh, “Milo ais tu nak bubuh susu ke ?”.

Aku cakap, “mesti lah bubuh susu, kenapa mak cik?”.

“Susu tak ada, kalau anak nak mak cik kena pergi beli dekat kedai dulu”, mak cik tersebut membalas.

“kahkahkahkah apa kejadah kedai ni, susu pun tak ada.”, aku bermonolog dalam hati.
“Tak apa makcik, bagi air sirap je lah”.

Walaupun ujian yang ditanggung oleh aku tersebut agak berat namun aku tetap bersabar dengan penuh keimanan dan ihtisab. Entah dari mana tiba-tiba datang seorang kakak menghantar nasi ayam dari restoran berdekatan. Rupa-rupanya “restoran nasi ayam sedap” tersebut tak ada nasi ayam dan terpaksa menempah nasi ayam dari restoran lain dan diberikan kepada kami berdua. Kakak tersebut meminta bayaran sebanyak RM6 untuk sepinggan nasi ayam.

Aku tersedar dari lamunan dan fikiran aku kembali ke Stadium Darul Makmur. Aku bercakap dalam hati, “Celaka! peristiwa aneh di restoran nasi ayam sedap tersebut sebenarnya petanda Pahang bakal di “nasi ayam” kan oleh JDT. Harga nasi ayam tersebut RM6, tempoh masa aku menaiki bas dari Kuala Lipis ke KL dan ke Kuantan pula memakan masa selama 6 jam. Keputusan perlawanan pula 6-0. Aku cemas kerana algorithm nombor tersebut mempunyai kesinambungan dan titik persamaan. Mungkin gerakan freemason dan rostchild yang merancang segala agenda yang berlaku sepanjang hari ini. Aku hairan kenapa aku yang menjadi sasaran gerakan sulit bawah tanah freemason dan rostchild tersebut. Aku hanya seorang sampah masyarakat yang hanya memiliki RM10 dalam simpanan Bank Islam milik aku. Ahh persetankan lah freemason dengan rostchild, baik aku fokus tengok perlawanan ni sampai habis.

Usai perlawanan, semua pemain Pahang menuju ke bilik persalinan kecuali Ketua pasukan Matthew Davies, Nejc Potokar, Saarvindran dan Mickey yang menuju ke arah teres penyokong untuk menenangkan hati penyokong Pahang dan meminta maaf. Walaupun kekalahan 6-0 tersebut adalah kemaluan yang sangat besar untuk ditelan, aku menelan kemaluan yang sangat besar tersebut dengan hati yang redho. Aku bangun dari tempat duduk dan memberi tepukan sebagai penghargaan kepada pemain Pahang yang bertungkus-lumus sepanjang 90 minit yang sangat azab tersebut. Nejc Potokar menanggal baju dan seluar lalu memberi kepada penyokong Pahang yang terpilih. Dalam keadaan separuh bogel beliau berjalan dengan kepala tertunduk menuju ke bilik persalinan.

Ini adalah kisah benar yang dialami oleh aku. Sekarang aku akan mengulas beberapa perkara penting dalam perlawanan tersebut :

1.Perlawanan Bersandar Kepada Statistik

Sebenarnya keputusan perlawananan 6-0 tidak menggambarkan situasi keseluruhan di atas padang. jika disukat bersandar kepada statistik, Pahang melakukan 12 percubaan dan 6 percubaan tepat ke arah gol manakala JDT pula melakukan 14 percubaan dan 9 percubaan tepat ke arah gol. Namun yang menjadi jurang pemisah antara 2 pasukan ini adalah dari sudut ketajaman penyudah di hadapan gawang gol. Pahang mempunyai 4 peluang terhidang di hadapan gol, 2 peluang daripada faisal rani yang melambungkan bola tinggi dari jarak 3 meter dari gawang gol dan satu peluang lagi ketika situasi satu lawan satu menentang penjaga gol yang terkena tiang. Mickey pula lincah menggelecek pertahanan JDT untuk masuk ke dalam kotak penalti namun sepakannya tersasar keluar. D.Saarvindran juga gagal memanfaatkan peluang di depan gol dengan penyudah yang mengecewakan. Pemain Pahang berupaya dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencipta peluang yang banyak namun produk terakhir iaitu gol gagal dihasilkan.

2.Pertahanan Yang Pegun Seperti Kayu Mati

Dalam bola sepak ada dua bentuk cara bertahan iaitu zonal marking yang memerlukan pemain pertahanan mengawal ruang dan man-to-man marking adalah cara bertahan klasik iaitu mengawal pemain lawan. Namun pada perlawanan tersebut pertahanan Pahang hanya pegun memerhati bola dan tidak melakukan sebarang tekanan terhadap pemain lawan. Pemain pertahanan Pahang tidak agresif dan tidak fokus sepanjang perlawanan. Sejujurnya tahap pertahanan pemain Pahang lebih teruk daripada pemain amatur. Sekadar berdiri pegun melihat bola, tidak melakukan terjahan ketika situasi di ambang kritikal dan tidak fokus dalam bertahan. Aku sendiri tidak pasti sama ada pertahanan Pahang pada malam itu adalah manusia yang hidup atau kayu tunggul yang mati.
3.Anugerah Lev Yashin Untuk Nasril Nourdin
Walaupun teruk dihentam di awal musim, penjaga gawang Pahang ini semakin mendapat momentum dan beliau juga berjaya mengurangkan berat badan dalam masa yang singkat. Ketika di Larkin, beliau ibarat penjaga gol pasukan shaolin soccer yang bertubi-tubi membuat aksi menyelamat tidak masuk akal dan semasa di Stadium Darul Makmur beliau membuat satu aksi penyelamat luar biasa dengan melayangkan diri menyelamatkan bola yang menuju ke penjuru atas gol. Jika tidak kerana Nasril Nourdin, mungkin margin yang lebih besar akan diperoleh JDT. Keupayaan penjaga gol kebiasaan disukat bersandarkan tiga ciri penting iaitu refleks, keupayaan menghalang bola lintang dan hantaran bola (ball distribution). Refleks beliau tidak tumpah seperti Gigi Buffon, beliau juga bijak menghalang hantaran bola lintang seperti Petr Cech tetapi kelemahan ketara penjaga gol berpengalaman ini adalah dari segi hantaran bola yang tidak sampai ke garisan tengah padang. Andai Lev Yashin, penjaga gol lagenda negara Soviet masih hidup pasti beliau akan menangis sambil melutut melihat aksi menyelamat yang sukar diterima akal oleh Nasril Nourdin.

Mutiara Hikmah
Bekas penyerang Manchester United, Eric Cantona yang pernah digantung selama 9 bulan kerana aksi tidak bermoral dengan menerajang seorang penyokong bola sepak dan beliau juga pernah berlakon dalam filem porno pernah menungkapkan satu mutiara hikmah yang boleh kita sama-sama hayati ;

“Anda boleh menukar fahaman politik anda, anda boleh menukar isteri anda tetapi anda tidak boleh menukar pasukan bola sepak yang disokong”