/Konspirasi Jadual Nak Jatuhkan Siapa?

Konspirasi Jadual Nak Jatuhkan Siapa?

Kalau kita tidak marah dengan apa yang berlaku, bermakna kita pada bila-bila masa saja rela menjadi Lembu yang dicucuk hidungnya, boleh ditarik ke hulu ke hilir tanpa bantahan. Jika disuruh main, kita main, jika disuruh diam kita diam. Kita kene beri reaksi, contohnya pemain dan staff pasukan kebangsaan ketika melawan Hong Kong baru-baru ini, jika pemain kita berlenggang kangkung saja masuk ke bilik persalinan selepas perlawanan tamat, mesti kita anggap pemain tidak punya perasaan dengan tindakan pengadil (walau tindakan tersebut betul) dan tidak kisah dengan keputusan perlawanan melibatkan negara. Tetapi apabila pemain dan staff meluahkan perasaan mereka dengan menyerang pengadil perlawanan, kita anggap mereka emosi berlebih-lebih. Maknanya apa?

Kita mesti emosional kerana kita bermain dengan perasaan. tetapi meluahkan perasaan tetap ada hadnya.

Pertukaran jadual, walau apa pun alasannya, tetap memberi impak kepada semua orang, jika tidak impak besar, impak kecil. Malah, jika tidak ada impak pun. boleh saja diada-adakan impak itu untuk menampakkan salah kepada pihak yang bertanggungjawab. Mungkin dengan tujuan untuk memberi pengajaran atau peringatan supaya tidak mengulangi lagi kesilapan tersebut atau ada motif lain yang hanya Tuhan saja lebih mengetahui. Tak kisah! asalkan beri emosi dan rasional. Jika tidak, kita akan dianggap sebagai lembu yang dicucuk hidungnya.

Separuh akhir Piala Malaysia dianjak sedikit tarikhnya dari jadual asal yang dijangkakan pada 13/14 ke 15hb. Ini bagi memberi peluang kepada pemain yang mewakili negara untuk mendapat rehat yang cukup selepas baru pulang dari Hong Kong. Dimana silap dan salahnya tujuan penganjakan jadual itu? Pemain tidak boleh berehat? FMLLP tidak melihat jadual asal FIFA/AFC untuk perlawanan Hong Kong? Permainan ditunda ke hari Jumaat siang? Esok nak Raya? Kita puasa? Kita malu dengan orang Jepun sebab gagal mengikut masa yang ditetapkan? Semenjak bila pulak? Stadium telah ditempah oleh orang lain? Jualan tiket merudum jika 15hb sebab esok nak kerja? Ater! ajernya iyer!

Beribu sebab dan alasan lagi untuk kita marah tetapi akhirnya akur untuk bermain pada 15hb kerana itulah tugas pemain dan pasukan, bak kata B. Sathianathan, adalah menjadi tugasnya menyiapkan pemain untuk bermain walau dipadang mana pun. Menjadi tugas penyokong pula untuk menghadirkan diri memberi sokongan.

Jadual ini ada 2 secara umumnya;

  1. Jadual besar yang melibatkan orang ramai
  2. Jadual kecil melibatkan diri sendiri.

Mana yang perlu dan boleh diubah untuk kepentingan bersama? jadual 1 atau 2? Penyokong ubah atau ejas la sikit jadual masing-masing untuk hadirkan diri ke stadium. Hari Selasa atau Rabu atau Jumaat boleh datang sebab kita dah ubah dan susun jadual kita. Kita ikut la jadual besar, takkan nak suruh jadual besar diubah demi mengikut jadual kecil kita. Tak sesuai!

Jang sendiri menjadi mangsa perubahan jadual apabila kitaran pengeluaran Majalah Ultrajang (majalah bola sepak no. 1 Malaysia) untuk bulan 8 terpaksa ditangguhkan sebab jadual liga bercuti demi Sukan SEA. Puas Jang nak menjawab dengan pengiklan Jang yang telah membayar ruang iklan untuk 3 edisi sekaligus, bukan ratus-ratus tapi puluh ribu! (saja nak kabor biar nampak sedap) tapi Jang hadap juga sebab menjadi tugas Jang menyediakan majalah untuk peminat bola sepak.

Duduk diposisi sedap diatas, baik sebagai ADUN, CEO atau presiden, normal la kalau ada yang cuba jatuhkan. Jang masa jadi ketua kelas 5 Manggis (sekolah rendah) dulu pun ada murid lain cuba gulingkan Jang dengan menuduh Jang mencuri pensel tekan dia (mechanical pencil) padahal Jang bukan curi tapi pinjam tak bagitau saja. Mana boleh dapat duduk sedap saja tanpa sedikit dugaan dan gegaran. Lagi-lagi mentadbir sukan no.1 kegemaran negara. Kalau rileks sangat nanti kita leka dan ambil mudah. Tekanan ini bagus untuk jadual dan kerja yang lebih baik dimusim akan datang.

Tidak ada konspirasi dan tidak ada siapa yang akan jatuh kerana rata-rata peminat hanya menekan, belum menolak.

Jang,

Bekas Ketua Kelas 5 Manggis.