/Kuasa Penyokong : #BongkarPBNS

Kuasa Penyokong : #BongkarPBNS

Apa yang berlaku di Melaka hanya orang yang terlibat saja tau cuma Jang nak ulang sekali lagi, tiada provokasi atau sebarang percubaan mahu mencari pasal dengan penyokong Melaka atau Polis. Melaka, Polis dan penyokong Nogori bersahabat baik. Semua menjalankan tugas masing-masing termasuk wartawan akhbar Harian Metro, jadi tak perlu kita nak marah dengan tajuk atau laporan mereka.

Apa yang berlaku di Melaka boleh juga diibaratkan sebagai kapal Titanic yang melanggar bongkah ais. Walau bongkah ais nampak kecil dan sejuk tetapi didasarnya besar dan kukuh. Kapal Titanic yang berlayar angkuh dilautan dan dikatakan tidak akan tenggelam namun akhirnya patah dua lalu mereput didasar laut dek kerana bongkah ais tadi. Cukup Jang bermetafora sebagai mukadimah.

Dimanakah salah dan silap penyokong sehingga mereka ditangkap dan dilokap? Apakah saktinya bola sepak sehingga ramai penyokong sanggup meninggalkan anak, isteri, rumah dan kerja demi pasukan? Menyabung nyawa dijalanraya untuk memberi sokongan kepada pasukan. Berhabis ribuan ringgit dalam satu musim untuk Negeri dan apa mereka dapat dengan tangkapan dan lokap? Kerjaya mereka mungkin dalam bahaya, yang masih bersekolah pula akan trauma. Hanya kerana bola sepak, passion dan demi Negeri Sembilan.

Apa PBNS buat selama 4 tahun pasukan terumbang ambing diliga Perdana? (Untuk rekod, Jang tak kisah liga mana pun) tetapi bagaimana mereka menjalankan tugas, itu yang menjadi tanda tanya semua golongan penyokong. Menjadi tanda tanya kerana mereka di PBNS langsung tidak mahu bercerita dengan penyokong. Semua benda mereka nak sembunyikan, macam bola sepak Negeri Sembilan ini hanya untuk mereka saja (dan kroni) kita penyokong ni datang tengok sudah la.

Tetapi zaman sekarang adalah zaman maklumat. Bila penyokong dah muak, mereka akan mula tak senang duduk dan mula bertanya dan mengorek. Menariknya, ada saja yang mahu berkongsi maklumat. Mungkin yang mahu berkongsi itu tadi juga sudah muak dengan kerenah politik PBNS. Berikut, maklumat yang dikorek dan diberikan kepada Jang untuk pengetahuan semua dan apa yang penyokong mahukan;

  1. Presiden tidak mendapat maklumat sepenuhnya situasi pasukan dan pengurusan. Jika ada 10 hal penting, hanya 3 saja yang sampai ke pengetahuan Presiden. Maka, presiden hanya tahu hal yang elok saja. Situasi ini secara tidak langsung memberi imej buruk kepada Presiden yang juga Menteri Besar NS.
  2. Siapa bertanggungjawab mengatur penukaran dan pengambilan pemain import? Adakah kehendak jurulatih atau persatuan? Mengikut maklumat, penukaran pemain import Nabbout dan Chianese adalah kerana penolong jurulatih yang memberi rating 4/10 kepada kedua pemain ini. Bagaimana pulak boleh bagi rating rendah kepada pemain top scorer? Jang diberitahu kerana mereka banyak tidak menyudahkan peluang yang terhidang. Oh Tuhanku! Soalnya, bagaimana penolong jurulatih pulak yang lebih berkuasa dari Gary Philips, ketua jurulatih NS? Bagaimana penolong jurulatih boleh meyakinkan pengurus dan EXCO? Adakah ada desakan dari agent pemain dan ada yang mendapat habuan setiap kali berlaku penukaran pemain? Orang boleh menuduh dan berfikir bukan-bukan kerana PBNS sendiri buat diam, tidak telus.
  3. Adakah penangkapan penyokong di Melaka atas arahan PBNS? Kenapa PBNS tidak mahu melakukan rundingan dengan kumpulan penyokong?
  4. Penyokong mahu sesiapa yang terlibat dengan kegelapan bola sepak Negeri Sembilan agar berundur secara terhormat. Dah sah mereka semua tidak berkemampuan untuk melakukan sesuatu yang bernas untuk bola sepak Negeri Sembilan. Tidak pernah kisah dengan jumlah kehadiran penyokong ke stadium (mana ada buat promosi suruh datang stadium) Scoreboard di stadium yang kejap menyala, selalu padam, parking yang teruk dan sesak, tiada kemeriahan seperti memasang lagu ketika perlawanan berhenti rehat dan sabagainya. Semua benda basic yang boleh difikirkan oleh pelajar tingkatan 5 sekolah tetapi kakitangan serta ahli yang berhormat PBNS takda idea dan malas berfikir. Kenapa?
  5. Mulakan penswastaan pasukan Negeri Sembilan. Esok dah masuk 2018 baru nak ambik tahu hal penswastaan lepas tu kata tak bersedia dan minta tangguh.
  6. Afiq..Oh Tuhanku!
  7. Jangan bangkang Jang!

Banyak persatuan bola sepak yang akhirnya akur dengan kehendak penyokong bukan kerana tidak berjaya tetapi tidak telus dan disyaki ada unsur rasuah dan politik. Selangor FA memberhentikan khidmat jurulatih mereka dan 2 anggota exco juga meletak jawatan kerana mereka tidak layak dan telus dalam menanggung tugas. Penyokong Pahang FC juga mendesak hal yang sama. Terengganu FA juga didesak kerana telah beberapa kali merehatkan jurulatih dan juga presiden. Kuasa penyokong mampu mengubah hala tuju pasukan dan memastikan mereka yang tidak telus diberhentikan.

Kini tiba giliran kita, penyokong Negeri Sembilan pula untuk bertindak! Kita tidak berniat mahu merusuh atau bersikap kurang ajar. Kita hanya mahu PBNS dan Presiden bertindak dan mengurus pasukan dengan betul, telus dan kehadapan. Jika ada yang bengkok, luruskan. Jika tdak boleh juga diluruskan; patahkan! – seperti patahnya badan kapal Titanic.

Jang dengan ini memulakan kempen #BongkarPBNS. Bongkar ni ada dua maksud; pertama siasat dan kedua bangun dari tidur. Kita akan siasat dan pastikan mereka dikejutkan dari tidur yang lena. Hmm..selama ini Jang bukanlah kisah sangat, tapi kalau kawan-kawan Jang dah sampai kene tahan lokap, takkan Jang nak diam?

Pastikan kempen ini berjaya dengan share dan hashtag secara meluas di media sosial agar semua penyokong Negeri Sembilan tahu dan bertindak.

#KuasaPenyokong #BongkarPBNS