/LESEN: SARAWAK FA BAKAL TURUN LIGA?

LESEN: SARAWAK FA BAKAL TURUN LIGA?

Hutang dan laporan kewangan yang tidak beraudit dengan sempurna, EPF dan cukai tertunggak, adalah musuh dalam selimut bola sepak kita. Ianya adalah salah satu isu utama kebanyakan pengurusan pasukan yang selama ini disorok dibawah karpet usang pejabat persatuan. Pemain terpaksa meneruskan saja permainan, dengan gaji yang sekejap ada sekejap ‘advance’ demi kelangsungan hidup.  Nak buat perangai, takut nanti terus digugurkan atau disenaraihitamkan, maka terpaksalah pendam perasaan sahaja. Mengambil contoh, pemain Kuantan FA baru-baru ini yang akhirnya mengambil langkah mendedahkan masalah mereka selepas 11 bulan bersabar, bermain bola dengan kudrat yang tidak berbayar. Sedih?

Disinilah kenapa perlesenan itu penting. Hanya pasukan yang benar-benar menjaga kewangan mereka, membayar cukai, EPF dan gaji pemain serta lain-lain dengan betul dibenarkan bertanding. Jika tidak, pasukan ‘kejam’ pun elok saja menjadi juara liga. Janji itu ini tapi habuk pun tarak. Isu kewangan yang melibatkan gaji ini begitu buruk dan lebih memburukkan, ianya sudah dianggap biasa atau basi dan dijadikan alasan penyokong ketika pasukan kalah.

Mengambil contoh mudah, ketika Negeri Sembilan sedap dipuncak liga, takda siapa sebut pasal gaji. Apabila permainan merudum dan akhirnya gagal ke liga super maka antara perkara pertama yang keluar dari mulut penyokong ialah;

“Persatuan tak bayar gaji la tu!”

Pasukan yang tidak melengkapkan lesen FAM tidak akan dibenarkan bermain di liga super untuk musim 2018. Lengkap sikit-sikit boleh merayu. Rasa tak boleh nak lengkap, macam Sarawak FA ini, dimana pasukan mereka akan bermain dimusim depan? Liga Perdana? Apa pasukan bermain diliga perdana tak perlu ada lesen ke? Tak perlu buktikan pengurusan bayar gaji pemain sepenuhnya, bayar cukai, EPF,Perkeso, charge stadium dan sebagainya? Entahla, Jang kurang periksa pulak. Lihat grafik dibawah untuk kedudukan lesen pasukan. Hanya Terengganu yang telah selesai sementara Negeri Sembilan dan PKNP telah mencapai 97%.

 

Grafik oleh: Labun Bola

Jang kongsikan berita dari SarawakVoice mengenai kesulitan Sarawak FA menyempurnakan lesen mereka untuk pemahaman semua.

———————————————

KUCHING: Sarawak mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super 2018 apabila isu pelesenannya berhadapan masalah yang gagal diselesaikan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais berkata, mereka tidak ada pilihan memandangkan FMLPP memberi tempoh sehingga 16 Oktober depan, untuk persatuan itu menghantar dokumen dan menyelesaikan hutang tertunggak kepada badan-badan wajib, bagi membolehkan lesennya diperbaharui.

“Badan-badan berwajib ini ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja dan Perkeso.

“Masalahnya sekarang, kami tidak tahu-menahu dan tidak ada kuasa untuk mengetahui tentang jumlah hutang tertunggak itu, kerana ia diuruskan oleh pengurusan terdahulu iaitu FAS FMG Sdn Bhd,” katanya dalam sidang media khas selepas mesyuarat exco persatuan itu sebentar tadi.

Difahamkan jumlah hutang tertunggak terbabit menjangkau hampir RM1 juta.

Kata Posa, pihaknya hanya dapat menyediakan laporan kewangan interim yang diminta FMLPP iaitu dari bulan Januari hingga Jun tahun ini, seperti yang dikehendaki.

“Selebihnya, laporan kewangan beraudit untuk tempoh 2012 hingga 2016.

“Kami tidak mempunyai dokumen tersebut dan ia ditadbir oleh pengurusan lama.

“Kami pun tidak pasti jika mereka memiliki wang untuk membayar tunggakan terbabit,” kata Posa lagi.

Katanya, beliau hanya menyertai persatuan ini pada Januari lalu, dan hanya dapat bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku sejak beliau mengambil alih.

“Itu pun kita telah membayar kompaun mencecah puluhan ribu berkait hutang-hutang ini,” jelasnya.

Katanya, perbincangan dengan pengurusan FAS FMG Sdn Bhd telah dilakukan pada 11 September lalu dan mereka bersetuju untuk membayar hutang piutang mereka, manakala pihak kita menanggung segala hutang atas nama FAS.

FAS FMG Sdn Bhd didaftarkan pada 17 Disember 2008 dan pengerusinya ialah bekas presiden persatuan itu, Datu Sudarsono Osman.

Kata Posa lagi, pihaknya akan merayu kepada FMLPP bagi memohon penangguhan notis sebelum 16 Oktober ini, kerana isu yang dialami oleh persatuan itu agak rumit.

“Kita mahu perkara ini diselesaikan sebaik mungkin, termasuk laporan audit yang teratur.

“Dan ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu,” katanya lagi.

Kata Posa lagi, pihaknya akan bekerja keras untuk menyelesaikan isu ini agar seboleh-bolehnya, pasukan Sarawak kekal bersaing pada musim depan.

Hadir sama Setiausaha Agung FAS, Razali Dolhan.

——————————————–

Pada Jang, antara yang positif dari berita ini ialah ketelusan pasukan Sarawak mengakui mengalami kesulitan menyelesaikan hutang tertunggak dan mungkin tidak dapat lesen bermain diliga super. Juga keseriusan FAM dalam memastikan setiap pasukan benar-benar bersih dan jujur sebelum diberikan lesen. Harapannya, tidak adalah urusan lesen yang diselesaikan secara gelap, terbang, kedai kopi dan sebagainya. Jika mahu pasukan dan pemain yang bersih dan bebas masalah, lesen ini adalah langkah awal yang perlu dipandang serius. Jika lesen boleh diejas sesedap rasa demi kelangsungan pasukan yang bermain diliga super, maka eloklah kita kekal saja diliga perdana, lebih kompetitif dan asli.