/LIGA SUPER : Hala tuju Nismilan

LIGA SUPER : Hala tuju Nismilan

Meriah betul suasana di negeri beradat ni sejak Nismilan diumum naik ke Liga Super musim depan. Tidak lagi bernafas dalam lumpur. Terasa bagai menghirup udara segar sebelum embun di hujung rumput disejat terik mentari. Belum kira mantai malam semalam sempena menyambut kehadiran semula Nismilan di Liga Super. Adalah sesuatu yang wajar untuk meraikan berita ini. Setelah setengah dekad Sekalian Yang Setia berkejaran pada hari Jumaat untuk tiba ke STAR demi menyaksikan pasukan kesayangan beraksi, musim depan tiada lagi. Dengan santainya kita semua boleh turun ke STAR tanpa perlu terkejar-kejar. Nak ber’away day‘ pun senang. Tiada lagi golongan yang sakit perut, pening kepala, tayar motor pancit, kereta tak boleh start, pada hari perlawanan selepas ini. Betul tak?

 

Khabarnya, persiapan Nismilan untuk musim depan hampir siap sepenuhnya. Ini petunjuk positif. Jadi apa target Nismilan musim depan? Adakah kita akan mencabar kejuaraan liga? Ataupun merangkul Piala FA atau Piala Malaysia? Atau nak sapu semua sekali?

 

Realistiknya, berdasarkan pemain yang kekal dan dikhabarkan menyertai Nismilan, berada di mid table pada penghujung musim depan adalah mencukupi. Bukan lah bererti pemain boleh beraksi sambil lewa. Tidak! Tetapi pasukan perlu distabilkan untuk kembali mencabar kejuaraan pada masa akan datang. Kejayaan dalam bola sepak tidak pernah datang bergolek. Sifat sabar dan tidak putus asa perlu diiringi dengan harapan untuk berjaya. Kalau nak tau lebih lanjut tentang erti sabar ni, tanyalah penyokong Liverpool.

 

Untuk saingan Piala FA dan Piala Malaysia pula, tiada masalah untuk mara sejauh mungkin sekiranya kedudukan di Liga Super sudah kukuh. Nampak tak hubung kait dia? Kalau Liga Super pun mencungap esok, tak payah la beriya sangat nak pergi jauh dalam Piala Malaysia. Pasukan gergasi dunia pun realistik dalam mencapai target mereka, berdasarkan pemain dan kedudukan mereka dalam liga. Itu belum kira pemain injured, suspended.

 

Kecederaan kepada pemain memang tak dapat dielakkan. Tapi kita boleh cuba sehabis baik untuk mengelakkan ia berlaku. Selebihnya kita serah kepada qada’ dan qadar. Mengamalkan squad rotation antara langkah penting untuk mengelakkan pemain cedera atau keletihan. Jika musim lepas, Nismilan dilihat tidak mempunyai squad depth untuk mengamalkan perkara ini, berdasarkan pemain yang sedia ada dan  dikhabarkan menyertai Nismilan musim ini, seakan-akan perkara ini mampu diamalkan. Secara tidak langsung, pemain sedia ada mampu diberi rehat yang lebih apabila tibanya musim jadual padat. Liga kita mana pernah jadual tak padat. Tak gitu?

 

Dengan hype yang ada sekarang ni, tak mustahil perlawanan pertama di STAR musim depan akan menjanjikan suasana meriah. Selain daripada mengekalkan momentum kemenangan untuk menarik penonton ke stadium, corak permainan yang menarik dan agresif perlu dipamerkan oleh pasukan. Den boleh cadang je la benda-benda macam ni. End of the day, barisan kejurulatihan yang akan buat keputusan. Kenapa den bagi cadangan ni? Lihat sahaja pasukan Kedah ketika musim terakhir mereka di Liga Perdana. Corak permainan menarik dan possession football mereka berjaya menarik penyokong untuk memenuhkan stadium dan rata-ratanya kekal sehingga kini. Takkan la Nismilan dan penyokongnya tak boleh buat macam tu?

 

Perkara terakhir ialah jadikan STAR kubu kita! Pastikan setiap lawan yang akan bertandang ke STAR berasa gerun. Lihat JDT, berapa puluh perlawanan mereka tidak tewas di Larkin? Lawan yang bertandang ke stadium mereka sedikit sebanyak pasti mentally distracted dengan rekod tersebut. Sebelum mula perlawanan, mereka dah menang secara psikologi ke atas pihak lawan. Kelebihan-kelebihan macam ni yang kita mahukan.

 

KESIMPULAN :

Untuk berjaya dalam bola sepak, semua pihak harus mainkan peranan. Apa peranan penyokong macam kita? Terus bagi sokongan kepada pasukan. Kritik lah jika mahu. Maki lah jika perlu. Yang penting sokongan tetap perlu diberikan. Dalam memberi sokongan, jangan dipadamkan harapan untuk menang. Sebab tanpa harapan, mungkin Nismilan tak naik pun Liga Super musim depan. Begitulah pentingnya harapan ni.

 

Berdasarkan pemain yang ada sekarang, jujurnya den memang tak sabar untuk saingan liga bermula musim depan. Korang ni semua dah tahu ke belum line-up Nismilan musim depan ni? Kalau belum, tunggu la 20 haribulan ni. PBNS akan buat majlis pelancaran pasukan dan jersi baru. Tapi tak pasti la sama ada penyokong boleh datang ke tak. Kita tunggu la nanti.

 

P/S : Dah main hari Sabtu ni janganlah bagi alasan tak turun stadium pulak. Rugi tahu tak?

 

Sekian,

MUSUHNYA HABIS BINASA!

Kid.

 

 

Kongsi artikel ini: