April 20, 2024

Liga Super: Pahang FC ingin berjalan ke Liga Perdana?

3 min read

Dimanakah salah dan silap pasukan Pahang sehinggakan Gajah dihutan naik minyak dan malu kepada warga rimba lain kerana menjadi simbol atau logo pasukan lemah. Mana Gajah nak letak muka bila binatang lain tersenyum-senyum? Pahang FC umpama telah melabuhkan sauh mereka didasar liga Super dan bersedia untuk melayar bahtera baru diliga Perdana.

Kita baca laporan Pepol Zainuddin yang terus menerus melepaskan geram beliau dengan kedudukan pasukan Pahang.

DNA Misteri – Pepol Zainuddin.

Sesungguhnya di negeri Pahang ini, banyak sekali perkara misteri. Kisah naga di Tasik Chini, masih menjadi misteri. Tahun lepas, siapa yang menjadi towkey melombong Bauksit juga kekal misteri. Tahun ini, rakyat Pahang atau penyokong bola sepak Pahang khususnya dihidangkan dengan satu misteri yang baru pula.

Pertengahan Januari lepas, sebaik sahaja laman rasmi facebook Pahang FC memuat naik satu gambar yang tertera senarai lengkap para pemain Pahang FC bagi musim 2016, ada satu persoalan besar bermain di fikiran saya. Siapa kesebelasan utama pasukan ini? Apa formasi pasukan ini? Siapa pemain utama, siapa pemain simpanan dan siapa pemain muda di dalam pasukan serba baru ini.

Menginjak ke awal Ogos, persoalan besar yang sama masih bermain di fikiran saya. Siapa kesebelasan utama pasukan ini? Apa formasi pasukan ini? Saya masih belum mendapat jawapan. Mungkin para peminat pasukan Pahang yang mengikuti perjalanan pasukan ini dari perlawanan pertama liga Super sehingga yang terbaru, kalah satu kosong kepada Kedah perasan akan hal ini. Sejak dari awal, ketika dikendalikan oleh coach Ahmad Shaharudin Rosdi, jika diperhatikan, kesebelasan utama pasukan Pahang akan sentiasa berubah pada setiap perlawanan. Cukup sukar untuk melihat kesebelasan yang sama diturunkan untuk satu tempoh masa yang panjang. Pemain juga sering diletakkan di posisi yang berbeza-beza. D. Saarvindran kadang di kanan, kadang di kiri. Fauzi Roslan, sekejap sayap kanan, sekejap striker. Rizua Shafiqi, kadang di sayap kiri dan mutakhir ini sering diturunkan di bek kanan. Nasril Nordin bermain sebagai striker sahaja yang masih belum menjadi kenyataan.

Mungkin para penyokong Pahang boleh mengambil sedikit masa untuk menyemak kembali senarai kesebelasan utama dari page facebook Pahang FC atau dari page penyokong, TokGajah.com dan lihat satu persatu dari perlawanan pertama dahulu sehinggalah pada perlawanan terbaru, untuk membuktikan bahawa persoalan saya ini ada betulnya ataupun sekadar andaian sahaja. Melihat kepada kecelaruan dalam pemilihan pemain dan letaknya posisi pemain, bolehlah dikatakan pasukan ini sudah ada ciri-ciri pasukan yang gagal. Maaf jika kenyataan ini agak keras bunyinya tetapi ciri-ciri pasukan yang berjaya ialah mereka ada kesebelasan utama yang tetap. Kesebelasan dan posisi pemain yang sentiasa berubah akan menganggu kelancaran permainan sesebuah pasukan sekaligus persefahaman tidak dapat dibentuk. Jadi, bagaimana pasukan ini mahu berjaya?

Mungkin, ini adalah petanda yang menunjukkan bahawa jurulatih sendiri pun tidak tahu siapa yang harus bermain dan corak permainan yang bagaimana mahu diterapkan. Liga Super sudah berlangsung sebanyak 16 perlawanan, tidak termasuk perlawanan di Piala FA, di Piala Malaysia dan segala perlawanan persahabatan yang telah dilalui, mustahil masih belum jumpa satu kesebelasan utama yang boleh diharapkan untuk mencipta kemenangan. Ubahlah situasi ini segera jika tidak mahu melihat away game pasukan Pahang musim depan ialah di Stadium UiTM Shah Alam, dan bukan di Stadium Shah Alam.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.