/Lima Sebab Kenapa Negeri Sembilan Sengaja Tidak Ke Liga Super 2020

Lima Sebab Kenapa Negeri Sembilan Sengaja Tidak Ke Liga Super 2020

Sekarang ni jika kita berbual tentang Negeri Sembilan ke Liga Super 2020 ini memang hanyalah berbual kosong. Pedulikan pengadil tak bagi penalti bila pemain UiTM hand ball tempoh hari (pada pendapat abang Tom dan VAR memang patut penalti), pedulikan kad merah kepada pemain Negeri Sembilan itu tidak betul. Jika kita menang dengan UiTM pada perlawanan akhir sebelum ini pun abang Tom yakin Negeri Sembilan tidak layak untuk berada di Liga Super 2020. Ini pendapat abang Tom sendiri. Mungkin boleh sama dengan penulis Ultrajang yang lain mungkin juga boleh berlainan. Kami di Ultrajang sentiasa berbeza namun objektif kami masih sama. Kau baca lah huraiannya seperti di bawah :

 

Gol Set Piece

Jika ada pasukan yang perlu pasukan lawan gigil bila sepakan percuma, tentu Negeri Sembilan adalah pasukannya. Kebanyakkan gol-gol Negeri Sembilan datang daripada sepakan percuma, corner ataupun susulan daripada kedua-dua ini. In menandakan game play Negeri Sembilan itu tidak ada.Ini bukan pasukan hoki ataupun drama Gol dan Gincu nak cari gol set piece sentiasa. Seperti artikel sebelum ini abang Tom pernah katakan pasukan yang banyak gol set piece ini selalunya kuat di bahagian pertahanan namun Negeri Sembilan adalah sebaliknya. Ini berlarutan sehinggalah ke perlawanan yang terkahir.

Ingat! Ini bukanlah disebabkan pemain yang ada tapi lebih kepada corak permainan. Jika kita tukar seluruh pasukan pun ia akan kekal seperti ini. Jadi tak boleh bagi alasan bila naik ke Liga Super, tukar line up lain jadi masalah ini akan selesai. Tukar tayar mahal kereta Wira tak menyebabkan ianya menjadi Civic. Simple!

 

Melepaskan Gol Mudah

Pasukan lain tak perlu usaha lebih untuk membolosi back four Negeri Sembilan. Hanya perlu menunggu Negeri Sembilan membuat silap dan terus mengambil peluang. Di situ kita nampak Negeri Sembilan sangat mudah melepaskan gol dan tidak bersedia untuk jumpa pasukan yang lebih garang. Ada juga beberapa keputusan pengadil yang abang Tom rasakan berat sebelah namun itu tidak boleh dijadikan alasan. Ada juga pengadil melebihkan kita dan ada beberapa kali kita melawan dengan 10 orang pemain lawan dan kesemua perlawanan tersebut kita tidak ambil kesempatan.

Sekali lagi ini bukan masalah pemain tetapi masalah corak permainan. Tak banyak ubah pun dari segi pemain bawah kita tapi kenapa dahulunya solid? Tak perlukan pemain import pun untuk back four kita dahulu. Ianya perlukan masa untuk dibaiki dan abang Tom yakin Mat Zan adalah orang yang sesuai untuknya.

 

Mat Zan Perlukan Masa

Jika ada ura-ura ingin memecat Mat Zan, abang Tom antara orang yang lantang menentang. Bagilah masa pada beliau. Satu tahun terlalu pendek untuk pusingan cycle hidup pasukan bola sepak ini. Jika berniaga mamak pun perlukan tiga tahun untuk break even, inikan pula pasukan bola sepak yang dipengaruhi bermacam-macam ragam dan cabaran. Ya, abang Tom setuju Mat Zan nampak tidak ada gaya juara pada tahun ini. Tetapi tidak adil kita ukur dari masa satu tahun. Sabarlah, bini kau tunggu kau janji bawa melancong pun boleh sabar bertahun-tahun ini kan tunggu Mat Zan pulihkan pasukan.

Dah berapa banyak kali kita pecat pengurus tiap-tiap tahun ataupun setengah tahun. Menyalahkan pengurus daripada pelbagai warganegara sehingga Asri Ninggal yang tidak kena mengena pun dimaki. Ada ke yang menjadi selepas diganti? Mungkin bukan pengurus yang bermasalah sebenarnya, tapi sifat sabar kita dalam membuat keputusan yang bermasalah.

 

Pemain Muda Perlu Dibentuk

Banyak pemain muda kita masih dalam development. Dzulfahmi contohnya. Beri mereka masa dan percaya kepada mereka. Depan gol tak gol, lepas gol mudah, tahan bola tak betul, dan overlap takut-takut. Ini semua petanda pemain kita tak ada konfiden. Jadi apa kita kena buat sebagai penyokong? Kita support anak muda ini bukan kita maki mereka (Ada masa perlu juga maki tapi bukan sentiasa). Nak maki dua puluh empat jam pergi tengok wrestling lah bukan bola.

Abang Tom tak mahu ulas panjang bab ini kerana bab seterusnya adalah reason utama kenapa Negeri Sembilan kena menolak Liga Super 2020.

 

Liga Super Belum Bersedia Untuk Negeri Sembilan

Liga Super baru sahaja mengeluarkan berita enam pasukan Super di dalam akbar baru-baru ini. Kalau Negeri Sembilan masuk ke Liga Super habislah enam-enam pasukan ini. JDT pada dasarnya memang tertunggu-tunggu pasukan yang layak menjadi pesaing mereka. Jika kita lihat enam tahun sebelum ini, tiada pasukan yang mampu memberikan persaingan. Ini kerana pasukan tersebut, Negeri Sembilan masih lagi dalam mood ‘league holiday’.

Jika Negeri Sembilan sudah sedia, baru JDT perlu berjaga. Abang Tom yakin satu Malaysia dahulunya tertanya-tanya siapalah yang mampu memberikan pesaingan untuk JDT ni. Maaf abang Tom terpaksa pecah tembelang. Pasukan tersebut ialah Negeri Sembilan. Jika EPL ada Liverpool dan Manchester City, La Liga ada Barcelona dan Real Madrid maka Liga Super ada Negeri Sembilan dan JDT. Negeri Sembilan adalah pasukan elit yang sebenar di Liga Super cuma masa tersebut masih belum tiba. Gila ke apa pasukan lain tak sabar nak jumpa kami.

 

Kesimpulan

Berdasarkan lima sebab utama ini, adalah logik dan benar Negeri Sembilan tidak perlu untuk naik ke Liga Super 2020. Kalau ditawarkan abang Tom harapkan Negeri Sembilan menolak secara bermaruah. Biarlah tiba-tiba Pahang dan Kedah jadi pasukan feeder sekalipun Negeri Sembilan perlu menolak tanpa befikir dua kali. Bagi penyokong maruah lebih utama daripada duit. Untuk pemain mereka kejarkan habuan tak menjadi masalah. Tapi you must earn it. You reap what you sow. Maruah Negeri Sembilan perlu dijaga. Biarlah every year is liga perdana year, namun maruah pasukan terunggul di Malaysia ini masih perlu dijaga tidak seperti pasukan Selangor.

 

P/S: Bak kata SGSA, elok juga stay Liga Perdana. Senang sikit nak parking.

 

– Tom Bombadil, agensi orang dalam naik Liga Super-