/Logo baru Pahang FC miskin idea?

Logo baru Pahang FC miskin idea?

Tak manis kalau Jang biarkan hal logo Pahang FC atau P.F.C ini lepas begitu saja tanpa melihatnya dari sudut sukar. Bukan niat Jang nak menyibuk hal bola Pahang, tapi bila Jang berbual dari hati ke hati dengan seorang penyokong tegar Pahang yang menentang logo baru ini, Jang terpanggil untuk menyibuk sekali. Kene pulak bila Jang diberitahu logo ini mirip logo Liverpool FC (LFC) dan CEO Pahang juga adalah penyokong Liverpool, terus menaik spirit Roy Keane Jang nak menyibuk.

Memang kalau dilihat sekali imbas (atau seratus kali imbas) logo baru Pahang ini saling tak tumpah macam logo LFC. Adakah designer logo ini menciplak idea logo LFC atau adakah idea logo ini datang dari CEO Pahang sendiri? Takkan hal bola Pahang mengikut selera peribadi? Tak manis…atau designer kroni? Jang sekadar bertanya je.

Logo baru ini juga nampak jinak. Kepala seekor gajah yang dilihat dari sudut sebelah tepi dengan belalainya masuk kedalam (atau kebawah) tidak menggambarkan ciri penuh seekor gajah yang garang. Kalau kepala gajah dari depan dengan telinga yang kembang serta nampak 2 gading yang tajam, serta belalai yang mencanak naik, mesti lebih cantik. Baru boleh ‘naik minyak’.

Pilihan warna juga mesti tepat dan berahi. Jang rekemen warna merah bauksit pada logo dan tulisan serta berlatarbelakangkan warna biru laut Kuantan, baru boleh pergi jauh dan ada identiti tersendiri. Ini baru saja keluar, terus dicop ciplak! Designer, selalunya bila orang kata design dia ciplak, dia akan malu dan terus tukar profession jadi kameraman orang kawin. Entah la.

Ramai juga yang mahu diadakan pertandingan mencipta logo baru Pahang FC ini. tetapi itu oldskool dan membuang masa. Sebab nanti pemenangnya pun pilihan kroni juga jadi eloklah terus kroni buat, tidaklah membuang masa orang ramai memerah otak mencipta design.

Apapun, biasalah, bila benda baru keluar memang akan ada yang suka dan tidak suka. Lama-lama nanti benda itu jadi biasa dan dapat diterima dengan hati terbuka. Dulu pun tidak semua faham dan suka dengan idea Fiesta Media Idola yang dibawa oleh Tengku Muda Pahang, tapi lama – lama orang Pahang pun suka dan ramai turun ke stadium memberi sokongan.

Rasanya Pahang FC masih belum terlambat untuk menukar semula logo mereka ini. Bukan sebab tak cantik, jinak, dugong atau ciplak, tetapi kerana mendengar rintihan peminat. Tanpa peminat, logo apapun tak berguna. Sesekali dengar juga kemahuan peminat sebab mereka yang keluar duit dan tenaga datang ke stadium menyokong bola Pahang. Mereka tak sama dengan yang dibayar gaji besar untuk Pahang FC. Nampak?

Dah la, membazir data juga bercakap hal bola Pahang ni.