April 20, 2024

LP1 | Negeri Sembilan 1-3 JDTII

3 min read

Betapa lega jiwa yang kelam dan fikiran yang ‘sengaja diributkan’ apabila liga bola sepak tempatan menaikkan sauhnya yang begitu lama terendam dalam laut dalam, untuk Negeri Sembilan kembali memulakan satu lagi pelayaran yang belum tentu pelabuhannya.

Adapun, sebelum kapal yang membawa pasukan Negeri Sembilan melayari lautan yang nampak tenang, kita telah melalui beberapa siri perlawanan persahabatan yang tidak memberangsangkan. Kalah menang bukan perhitungan pada perlawanan pemanas badan, namun jumlah bolos yang tinggi memberi satu petanda mudah, iaitu kapal kita mudah bocor.

Bagaimana mahu belayar dengan kapal yang mudah bocor? Adakah kita mahu teruskan juga pelayaran ini dan bersedia untuk karam, 4 batu nautika dari pantai Port Dickson? Adakah nakhoda kapal masih mahu berlembut dan membiarkan anak kapal menebuk lubang yang lebih besar?Persoalannya, adakah semua tahu berenang dan berharap kapal lain akan datang menyelamatkan mereka?

Sepak mula menentang JDTII di Paroi adalah satu amaran bahawa laut akan bergelora tanpa belas dan membawa ribut datang untuk menghempas. Baru 2 minit 15 saat pelayaran, Arif Aiman Hanapi, pemain muda berumur 18 tahun membuat larian debut yang cukup mempersonakan dari belah kiri, menewaskan beberapa pemain pertahanan Negeri Sembilan dengan gerak tari kaki yang lincah lalu melepaskan satu tendangan untuk gol pertama JDTII.

Tak silap Jang, gol itu dikira jaringan sendiri pemain pertahanan Negeri Sembilan, Matheus Villa apabila bola terkena kaki beliau. Jika benar, ini tidak adil dan tak senonoh. Sepatutnya gol mesti diberi kepada Arif Aiman. Susah payah anak kecil itu bermain dengan kelas tersendiri. Jang diberitahu, Arif Aiman adalah bekas pelatih NFDP batch pertama (bersama Kancil) yang diserap JDT. Nampak? Muda, 18 tahun, terus main first 11. Mental kuat dan ada keyakinan dengan kebolehan sendiri.

Arif Aiman terus mempamer aksi menghairahkan sepanjang permainan. Larian beliau deras dan menjadi trend atau DNA di JDT, iaitu seorang pemain sayap mesti mampu melepaskan diri dengan menewaskan marker mereka. Dalam kes Arif Aiman, bek Negeri Sembilan, Danial Hadri ternyata tidak mampu menjaga beliau apabila Arif Aiman kerap mengkucar-kacirkan keadaan dan membuat satu crossing solid untuk Fernando Rodriguez menanduk untuk gol ketiga JDTII.

Bagaimana dengan gol kedua JDTII? Kau tanya sendiri ke Matheus Fernandez Vila Real, bek tengah bangsa Brazil.

28 minit pertama, bola langsung tidak sampai kedalam kotak penalti JDTII. Adakah Negeri Sembilan memang memilih untuk bertahan sepanjang setengah jam pertama? Hanya Tuhan yang lebih mengetahui. Tetapi jika bertahan menjadi pilihan, kenapa begitu mudah dibolosi? Kita tidak menyerang dan kita tidak bertahan, jadi kita buat apa? Diakui, bahagian tengah JDTII, dikawal kemas oleh Gary Steven Robbat dan Syamel Kutty tapi apa maknanya semua ini?

Memasukkan Ahmad Azriddin dan Selvam pada masa kedua jelas mengubah rentak dan jiwa pasukan. Kita bermain bagaikan baru dibuka hijab untuk melihat gawang pasukan lawan lalu kita terangsang untuk menyerang. Gol Negeri Sembilan dihasilkan melalui tandukan Igor Luiz yang menerima bola hasil sepakan percuma Nakatake. Untuk rekod, hanya itu sumbangan Igor Luiz sepanjang 90 minit.

Jang nampak peranan Azriddin mematahkan pergerakan JDTII menjadi tunjang kepada kesimbangan perlawanan. Sementara Selvam melakukan larian-larian deras, walau tidak menhasilkan apa-apa namun cukup buat pertahanan JDTII tarpaksa berhati-hati dan bekerja keras. Tahniah Azriddin dan Selvam.

Apapun, kredit kepada coach Sazali Saidun kerana menurunkan barisan pemain muda. Jang lihat senarai pemain kita, ada 10 pemain tengah dan 9 pertahanan, tidak mungkin 19 pemain ini tidak boleh bermain sebagai satu pasukan, satu idea dan satu misi. Anak muda sifatnya mestilah ghairah dan berani mati. Jika ribut menggoncang kapal, takkan anak muda lari ke perut kapal untuk sembunyi? Jang tanya, jika kapal Negeri Sembilan karam dilautan luas, ada ke kapal lain akan datang menyambar pemain ini untuk diselamatkan?

Hanya 3 mata di Cheras mampu membuatkan laut menjadi tenang dan burung Camar terbang rendah lalu hinggap ditiang kapal.

Tahniah kepada 2,758 penyokong yang hadir dalam upacara melepaskan kapal belayar.

kredit gambar: MFL/Hafis Abun

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.