April 24, 2024

LP15: Negeri Sembilan berdendam dengan pengadil

3 min read

Perlawanan Liga Perdana ke 15 malam tadi diantara Negeri Sembilan menentang UKM benar-benar menduga dan mencabar keimanan Jang sebagai seorang lelaki budiman. Mujur Jang sentiasa mengamalkan istighfar dalam diri dan 3 Qul sebagai benteng dari Jang melakukan perkara diluar batas manusia budiman. Kalau tidak, mahu juga Jang memanjat pagar dan ajak pengadil bertumbuk. Atau mungkin Jang ajak 2,3 orang penyokong sekelian yang setia untuk bergumpa dengan pengadil, penjaga gawang UKM dan sesiapa sahaja dalam padang. 3 lawan 5 pun ok, janji puas.

Mujur juga perlawanan dilakukan selepas kita berbuka dan bertarawikh. Kalau semasa lapar, Jang yakin, kita akan riot!

Bagi Jang, corak permainan yang ditunjukkan oleh pasukan Negeri Sembilan agak baik dan bernafsu berbanding sebelum ini. Import baru bangsa Brazil, Igor Luiz benar-benar memberi impak kepada corak serangan kita. Gandingan beliau bersama Almir Neto, benar-benar menjadi. Banyak counter attack bermula dari gerakan mereka berdua tetapi sayang penyudah masih tumpul. Kebanyakan percubaan yang dilakukan tepat ke penjaga gawang. Beberapa crossing yang cantik juga ternyata tidak membuahkan hasil, UKM ternyata memberi saingan yang kompetitif. Mereka berjaya menghasilkan gol hasil sedikit kecuaian pertahanan kita.

Berat hati Jang nak kata tetapi itulah, pemain muda tempatan kita berada sedikit dibawah par. Mungkin mereka masih muda dan perlu menimba banyak pengalaman lagi. Kudrat Igor, Almir dan Shunsuke Nakatake tidak mampu untuk menutup kelemahan tenaga tempatan. Mat Zan dan pemain tempatan tiada pilihan selain dari meningkatkan lagi permainan kepada 200%. Kerana terlalu jelas kelemahan mereka dan ini mengakibatkan usaha pasukan untuk menghasilkan gol terbatas. Adakah Jang terlalu demanding? Perlukah kita berlebih kurang dengan tenaga tempatan? Jawapannya tidak! Menjadi terbaik dan beri 100% belum cukup kerana mereka sebenarnya boleh menjadi hebat dan memberi 200%.

Jangan selesa dengan latihan yang diberikan oleh jurulatih, kena tambah lagi usaha sendiri seperti Lee Tuck.

Adakah Pengadil pernah belajar di UKM?

Bagi Jang, perlawanan malam tadi juga dicemari dengan aksi kekasaran yang berterusan dari kedua pasukan. Pemain kedua pasukan memilih untuk saling membalas kekasaran yang mereka terima. Almir Neto dan Igor Luiz kerap menjadi mangsa terjahan dan asakan kasar dan mereka juga membalasnya. Permainan kerap terhenti kerana kekasaran, pemain cedera (dan itu belum lagi pura-pura cedera seperti mahu kembali ke alam baka) dan pergeseran yang mesti diamankan. Ini membuang masa dan membunuh momentum permainan.

Disinilah Jang lihat kelemahan pengadil perlawanan malam tadi. Beliau GAGAL MELAKSANAKAN TUGAS SEBAGAI PENGADIL. Beliau sepatutnya menunjukkan kepada pemain bahawa beliaulah yang paling berkuasa didalam padang, bukan melayan kerenah pemain. Jang lihat, pemain UKM mengambil kesempatan diatas kelemahan pengadil untuk melambatkan masa permainan. Apabila stretcher telah dibawa masuk, masih lagi mahu bertekak dan berdrama membuang masa. Sepatutnya pengadil mengarahkan pemain segera diangkat keluar untuk rawatan. Pengadil LEMAH! LEMAH! LEMAH! dan penakut! Entah apa yang beliau takutkan untuk membuat keputusan. Ini bukan liga di Indonesia, kenapa takut sangat nak herdik pemain supaya berhenti berdrama dan meneruskan permainan. Lemah! tak sekolah! ketinggalan keretapi! Liberal! cepat percaya! mudah ditipu! penakut! Semualah!

Jang marah bukan kerana keputusan berat sebelah, bagi Jang, berat sebelah itu subjektif tetapi lemah mengawal permainan itu yang buat Jang berang. Tambahan pula telah banyak kes kelemahan pengadil tempatan yang panas baru-baru ini. Hampir kesemua penyokong diteres stadium hilang pahala puasa dek kelemahan pengadil ini. Mereka beratib memaki segala bentuk makian yang tidak sedap didengar telinga lelaki budiman Jang. Jang bukan marah mereka memaki tetapi Jang marah dengan teknik makian mereka yang kurang kemas. Biar Jang ajar; memaki mestilah berirama, sekata dan secara berjemaah, baru jelas dan sampai. Kalau nak jerit sorang-sorang kat hujung sini, sorang kat tengah, sorang kat atas, tak sampai dan jelas makian itu. Lain kali kene buat secara ramai-ramai satu stadium, baru ada akal sikit orang yang kita maki itu.

Selepas tamat permainan, berlaku insiden diluar padang diantara kem pengurusan/pemain simpanan Negeri Sembilan tetapi biarlah orang yang pergi stadium sahaja nampak dan tahu. Lagi satu Jang nak tambah, pemain jangan rasa rendah diri dilaman sendiri. Ini rumah kita, jangan biarkan tetamu datang dan buat kurang ajar.

Jang,
Lelaki Budiman

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.